'Kami akan sentiasa ingat pengorbanan jihad anda sebab pantau kesihatan kami' - Surat dari tabligh buat petugas kesihatan rasa terharu


Kisah para tabligh semakin hari diperkatakan, apatah lagi apabila mereka terkait dengan isu wabak COVID-19. Di saat orang luar yang masih lagi sibuk menghentam, tetapi barisan petugas kesihatan memuji keperibadian mereka.

Seorang jururawat mendedahkan isi kandungan surat yang diberikan oleh seorang pesakit COVID-19 yang dikatakan merupakan seorang tabligh. Kandungan surat tersebut menyentuh hati mereka. Tulisan yang penuh tulus ikhlas itu diselitkan dengan doa dan juga penghargaan yang tidak berbelah bahagi kepada petugas kesihatan.

PESAKIT ini discharge petang tadi. Seorang tabligh. Then before dia balik, dia selit surat ni celah-celah kertas kat kaunter wad dalam dan takde bagitahu siapa-siapa pun. Maybe dia tahu dia tak boleh sentuh atau bagi kami apa-apa barang even kertas. Terharu.

Jangan kecam diorang. Dalam wad, diorang semua behave dan sangat mendengar kata. Kita kecam orang alim dalam kita tak sedar bila akhir zaman ni Allah tarik manusia yang golongan baik dan arif dengan ilmu agama dulu.

“Assalam semua pejuang-pejuang yang kami kasih dan sayang. Sentiasa kami akan ingat pengorbanan jihad anda sebab pantau kesihatan kami selama kami berada di Wad 26, Tingkat 5. Selamanya anda semua pejuang, layan kami dengan penuh kasih sayang.

“Tujuan saya tulis ni ialah nak share beberapa amalan untuk pejuang-pejuang semua. Sebab kami kasihan dan sedih lihat pengorbanan anda semua. Kami tahu anda letih dan bertarung nyawa untuk rawat kami. Anda pun ada family yang nak diuruskan tapi anda tetap bagi senyuman kat kami.

“Anda sembunyikan letih dan risau anda daripada kami. Kami tahu anda sembunyikan letih dan risau anda.

“Kami doakan anda semua kuatkan semangat untuk Allah dan Rasul. Sentiasa dalam rahmat Allah, diberi sihat afiah, dimudahkan segala urusan begitu juga family anda semua. Allahumma Amin.

Amalan yang ulamak share kat kita:
  • Baca selawat 3 kali
  • Al-Fatihah 3 kali
  • Al-Ikhlas 3 kali
  • Hasbi Allah Wani’ Malwakil 313 kali

Tutup dengan selawat 3 kali.
  • Tiup ke dalam air dan minum, inshaAllah
  • Allah bagi sembuh dan jaga kita semua.

Wallahu’alam

Sixpoints ذو الزخيري


'Jangan lupa bawa ibumu pergi follow up' - Doktor kongsi detik pesakit Covid-19 tinggalkan pesanan terakhir untuk anaknya


Setiap hari kita diberitakan dengan kematian angkara wabak Covid-19 dan di saat akhir mereka menghembuskan nafas terakhir, hanya para doktor dan jururawat yang menyaksikan kejadian itu. Tiada tangisan keluarga yang kedengaran, hanya doa dari kejauhan.

Perkongsian doktor ini meruntun jiwa netizen. Doktor berkenaan berkongsikan saat-saat terakhir pesanan yang diberikan oleh pesakit Covid-19 sebelum dia menemui ajalnya. Beberapa kali pesanan dititipkan oleh arwah kepada anaknya sehingga meninggalkan bekas di hati doktor tersebut dan rakan-rakannya.

WAKTU kami dapat tahu ada seorang lagi yang meninggal di Covid ICU kami malam tadi, kecoh di WhatsApp group doktor kami nak tahu pesakit mana satu.

“Which patient?”

“Is that the one Ki***/ Nah**** intubated?”

“Please don’t tell me that one!”

Bertalu-talu semua nak tahu pesakit mana satu. Sebabnya baru semalam rakan saya bercerita saat pesakit tersebut nak diintubasi dan kemudiannya ditolak masuk ke ICU. Dia meminta untuk call anaknya. Kami benarkan panggilan dibuat.

Perkara pertama dia cakap pada anaknya ialah:

“Jangan lupa bawa ibumu pergi follow up, jangan lupa bawa ibumu pergi follow up.”

Berulang kali dia pesan. Barangkali isteri dia pesakit kronik yang selalu berulang-alik ke hospital. Kemudian barulah dia sampaikan pesan lain seperti akaun bank, nombor pin dan sebagainya. Penutup bicara dia pesan lagi, jangan lupa bawa isterinya pergi follow up.

Penuh lelah dia berpesan. Antara nak tarik nafas demi hidup, rasa sedih tak dapat bersama orang tersayang dan sugul membayangkan maut yang bakal menjengah.

Selepas telefon barulah dia benarkan kami tidurkan dia untuk disambungkan ke mesin bantuan pernafasan. Memang dia suami yang sangat kasihkan isteri.

Kami yang dengar cerita kawan kami tu, bergenang-genang air mata. Sebab itu kami nak tahu sangat pesakit mana satu. Rupanya benarlah dia yang pergi. Sedihnya kami. Namun sedih lagi keluarga yang ditinggalkan. 

Orang pengasih ini memang Tuhan panggil awal kan?

Semua pesakit yang kami jaga ada tempat istimewa dihati kami.

(Video) ‘Napok payoh2, aku gi curi pita’ - Instapemes dikecam curi sanitizer di hospital, kemudian claim kakak dia doktor


Peningkatan kes wabak Covid-19 semakin membimbangkan. Orang ramai mula berhati-hati dengan situasi yang berlaku sekarang. Segala keperluan kebersihan diri dibeli dan disimpan untuk melindungi diri dan keluarga termasuklah topeng muka dan juga hand sanitizer. Dikatakan juga, stok untuk kedua-dua produk ini sudah habis di pasaran.

Umum berbicara mengenai keluh-kesah masyarakat kehabisan stok kedua-dua barangan tersebut, seorang gadis pula dikecam netizen kerana mengambil sebotol besar sanitiser yang diambil dari hospital. Gadis tersebut yang dikatakan merupakan seorang instafamous memuat naik gambar sanitizer di instastory dengan kapsyen “napok payoh-payoh, aku gi curi pita” (nampak payah sangat, aku pergi curi di hospital). 

Apabila dikecam oleh netizen, gadis tersebut menyatakan sanitizer tersebut diambil dari kakaknya yang juga merupakan seorang doktor. Dia juga menyatakan jururawat di hospital itu juga selalu membawa balik barang-barang di hospital.


Isu tersebut juga telah menarik perhatian seorang pekerja di farmasi. Dia memohon supaya masyarakat tidak mencuri sanitizer seperti yang dilakukan gadis itu. 

Menurutnya lagi, apabila sanitiser sudah habis, ward perlu pulangkan botol kosong kepada pihak farmasi, dan pihaknya akan membekalkan sanitiser yang baru.

“Saya kerja farmasi, tolong jangan curi sanitizer ni. Sebab bila dah habis, ward kena pulangkan botol kosong kepada farmasi baru, kita akan supply yang baru. Kalau dia tak ada botol kosong macam mana nak dapat lagi sanitizer? Jangan pentingkan diri,” katanya.

Seorang doktor juga meluahkan rasa marah dengan isu ini.  Lebih mengecewakan hand sanitiser yang telah telah diikat dengan wayar juga telah dicuri. Beliau menjelaskan betapa pentingnya hand sanitiser kepada petugas hospital. 

“Saya marah dan kecewa. Hand sanitiser yang dah diikat dengan cable wire pun boleh hilang. Bukan main cantik lagi perangai anda ye. Anda tau betapa pentingnya Hand sanitiser kepada petugas hospital? 

“Kami guna hand sanitiser setiap kali melihat pesakit dan bergerak dari satu katil pesakit ke katil yang seterusnya. Kami amalkan 5 Moments of Hand Hygiene bagi meminimakan risiko tersebarnya jangkitan antara pesakit. Kalau anda ambil Hand sanitiser kami bagaimana kami hendak rawat pesakit dengan selamat dan cepat? 

“Kami tau anda risau dengan COVID19. Kami pun risau juga. Tapi mengambil sanitiser hospital bukan caranya. Anda boleh sahaja basuh tangan dengan sabun selama paling minima 20 saat

“Anda bayangkan, jika kami ada 30 pesakit di wad dan 6 doktor yang hendak menunggu  giliran membasuh tangan setiap kali bergerak dari satu katil ke katil anda tahu berapa lama kami akan habiskan rondaan wad kami?

“Buat pesakit, pelawat atau pun kakitangan hospital sendiri, jangan ambil harta kerajaan! Bantu kami untuk bantu anda. Mengambil sanitiser kami tidak membantu kami. Anda membantu virus & bakteria,” tulis Dr. Mahyudin melalui Twitter.

Susulan dikecam teruk, instapemes itu segera menukar nama akaunnya bagi mengelakkan diri dari terus dikecam. Malah dia mengakui bahawa dia sebenarnya tidak mencuri, hanya memuat naik gambar tersebut dengan kapsyen 'bodoh' itu yang menjadi punca salah faham orang ramai.




Sumber: Fitri Mokh, Che Puan Kells, Dr. Mahyuddin

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April 2020 - PM


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April 2020. 

Keputusan itu dibuat bagi memastikan rakyat Malaysia bebas dari jangkitan wabak Covid-19 yang sehingga kini masih menunjukkan trend peningkatan.

"...pada masa ini kes-kes baru masih dicatatkan. Walaupun dalam tempoh beberapa hari yang lalu, jumlahnya agak mendatar. Kerajaan menjangkakan, kes-kes baharu akan terus dicatatkan dalam masa yang terdekat ini. 

"...justeru saudara-saudari mesti bersedia secara mental dan fizikal untuk duduk diam-diam di rumah bagi tempoh yang agak lebih lama. 

"Saya telah diberikan taklimat oleh KKM dan MKN, trend semasa menunjukkan kes-kes positif COVID-19 yang baru masih berlaku. Trend ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baru mula menurun. 

"Dan ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi tempoh masa yang lebih lama. Sehubungan itu kerajaan telah memutuskan tempoh PKP akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. 

"Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara saudari lebih bersedia. Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke KL hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama. Tunggu dulu. 

"Pejabat-pejabat yang masih ditutup tidak perlu dibuka sehingga sekarang. Jika ada perkara penting yang nak diuruskan dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang macam mana nak uruskannya."

Muhyiddin menggesa rakyat Malaysia kekal bertenang dan jangan panik, walaupun tempoh PKP telah dilanjutkan, rakyat tidak perlu menyimpan banyak makanan kerana bekalan masih mencukupi untuk semua. 

Beliau memahami ramai yang terkesan tetapi oleh kerana tiada pilihan, tempoh PKP terpaksa dilanjutkan untuk keselamatan rakyat. 

"Selain daripada itu, tempoh PKP akan dikaji dari semasa ke semasa. Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan membuat pengumuman mengenainya. Yang penting saya memohon supaya saudara saudari senantiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.

"Saya juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa," katanya. 

Gaji masuk, jangan berpusu-pusu ke bank dan pasar raya


Seperti sedia dimaklumi, semua penjawat awam menerima gaji pada hari ini, namun perlu diingatkan agar mereka terus kekal mematuhi peraturan kerajaan iaitu, mengehadkan perjalanan masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejak dikuatkuasakan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan memasuki hari kelapan hari ini.

Sebagaimana lazim pada hari penerimaan gaji, orang ramai dijangka menuju ke pasar raya dan pasar awam serta cawangan Mesin Teler Automatik (ATM) untuk mengeluarkan wang, dan melakukan pembelian barangan keperluan.

Menyahut nasihat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, orang ramai tidak digalakkan berpusu-pusu ke bank, bagi memastikan jarakan sosial dan keselamatan awam terjamin, dalam usaha mengekang wabak COVID-19.

Hari ini bukan kakitangan awam sahaja yang menerima gaji, tetapi ada juga sebilangan pekerja di syarikat swasta yang menerima kemasukan gaji lebih awal, termasuk mereka yang mendapat bonus daripada majikan masing-masing.

Selain gaji, Kementerian Wanita dan Keluarga turut memaklumkan seramai 500,000 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menerima wang bantuan itu hari ini.

Tidak mustahil orang ramai mengambil peluang dengan situasi ini, untuk keluar membeli keperluan asas, namun perlulah berjimat cermat, tidak panik dan khuatir, kerana kerajaan telah memberi jaminan bekalan barangan asas adalah mencukupi. 

Di Melaka, kerajaan negeri menyarankan rakyat yang ingin membeli barangan keperluan harian perlu datang awal ke pasar raya, bagi mengelakkan kesesakan berikutan kebanyakan premis di negeri itu, diminta mengehadkan kemasukan pelanggan pada satu-satu masa.

Justeru, atas dasar tanggungjawab bersama, orang ramai perlu memastikan jarak sosial ketika berada di tempat seperti pasar raya dan pasar awam, memakai penutup mulut dan hidung, mengamalkan kebersihan diri, menggunakan cecair pembasmi kuman dan hanya ketua keluarga dibenarkan keluar membeli barangan keperluan, atau menemani ahli keluarga untuk mendapatkan kesihatan.

Sepanjang PKP dikuatkuasakan sejak 18 Mac, peratusan pematuhan rakyat dari sehari ke sehari menunjukkan peningkatan dan telah mencapai 95 peratus, dan diharapkan kadar itu semakin bertambah baik bagi memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19, yang telah meragut 16 nyawa di negara ini, setakat malam tadi.

Selain itu, kerajaan juga mengingatkan orang ramai yang berada di kampung, agar terus berada di kampung halaman masing-masing, dan tidak pulang ke bandar buat masa ini.

Hal ini kerana, kerajaan mahu peratusan pematuhan rakyat kekal tinggi berikutan kesesakan di bandar ketika ini semakin berkurang dan jalan raya semakin lengang, hasil kerjasama bersepadu yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan pihak berkuasa tempatan.

Ismail Sabri berkata bagi membendung perkara itu, polis telah mengadakan sekatan jalan raya di 23 plaza tol di seluruh negara.

Orang ramai berhadapan dengan tindakan undang-undang jika mereka gagal mematuhi arahan dan nasihat polis untuk mematuhi PKP, yang pertama kali dilaksanakan di Malaysia.

Sumber: Bernama