Lelaki perut buncit berisiko tinggi mati di usia muda - Kajian

Kajian baharu yang diterbitkan British Medical Journal (BMJ) minggu lalu mendedahkan, individu yang mempunyai lemak berlebihan di bahagian perut berisiko tinggi untuk mati di usia muda tanpa mengira berat lemak yang dimiliki seseorang individu. 


Bagi wanita, setiap kenaikan lemak perut sebanyak 10 sentimeter meningkatkan risiko kematian sebanyak 8 peratus, berbanding kaum lelaki yang sebanyak 12 peratus. 


Sementara itu lemak di bahagian pinggul dan paha yang lebih besarp ula dikaitkan dengan risiko kematian awal yang lebih rendah. Ini mungkin disebabkan lemak di kawasan itu memberi kesan terhadap menstabilkan kadar kolestrol dan gula dalam darah. 


Dapatan tersebut dibuat berdasarkan analisis 72 kajian yang melibatkan lebih dari 2.5 juta peserta berusia antara 2 hingga 24 tahun. 


Kajian meneroka pelbagai ukuran berat badan di bahagian tengah badan dianggap sebagai faktor risiko signifikan untuk ketahanan metabolik yang merupakan penyebab diabetes, penyakit jantung dan banyak lagi.


Lemak di perut yang terlalu banyak akan membawa kepada pengumpulan jenis lemak atau dipanggil lemak viseral di sekitar pelbagai organ dalaman seperti hati, pankreas dan usus.


Lemak viseral disebut lemak aktif kerana mempengaruhi fungsi hormon dengan mengeluarkan protein yang membawa kepada peningkatan daya tahan terhadap insulin.


Ia juga dikenal pasti menjadi punca banyak penyakit berbahaya seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol berlebihan, penyakit jantung, barah dan Alzheimer.


Sumber: British Medical Journal, Astro Awani

'3 jam menanti, takkan 4-5 petugas ditempatkan di KLIA? Sehebat inikah KKM?' - Penumpang dari Sabah luah rasa kesal & pertikai persiapan KKM

Viral di media sosial seorang lelaki meluahkan rasa tidak puas hati kerana terpaksa menunggu lama untuk disaring selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Sabah. 


Umum tahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan bahawa mana-mana individu yang melakukan penerbangan domestik dari Sabah perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari bagi mengekang penularan wabak Covid-19. 


Arahan itu dikeluarkan susulan peningkatan kes secara mendadak terutamanya di Sabah yang juga baru-baru ini selesai Pilihan Raya Negeri (PRN). 


"Sudah tiga jam menanti tanpa taklimat/arahan spesifik, tanpa makanan dan minuman. Fikirkanlah anak-anak kecil dan warga emas yang ada. Kalau dah bersesak-sesak begini, tiada Covid-19 pun boleh kena jangkitan. 


"Takkan 4-5 orang sahaja Petugas Kesihatan yang ditempatkan di KLIA untuk buat saringan Covid-19 bagi ribuan penumpang yang terbang dari Sabah? 


"Hari ini Ahad, tambahan pula baru habis PRN Sabah, sudah pastilah banyak penerbangan dari Sabah. 


"Sehebat inikah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan YB Menteri Dr Adham Baba?" tulis lelaki itu pada jam 9.10 malam Ahad di Facebooknya. 


22 minit kemudian, KKM mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu di mana pihaknya telah menambah kakitangan di KLIA dan KLIA 2 untuk menjalankan ujian saringan terhadap semua penumpang dari Sabah yang tiba di pintu masuk domestik. 


Respon pantas KKM itu dipuji netizen namun dan dalam masa yang sama mengecam status Facebook lelaki terbabit yang dianggap tiada kesabaran dan mempersoalkan tindakan KKM yang dikatanya kurang bersedia dalam menghadapi situasi itu, sedangkan frontliner sedang bertungkus lumus setiap masa menjalankan tugas mereka yang berdepan dengan risiko kehilangan nyawa. 


Enggan status disalah ertikan, lelaki itu tampil menjelaskan bahawa, status Facebooknya itu adalah menggesa golongan warga emas, OKU, kanak-kanak dan wanita mengandung diberi keutamakan agar tidak turut serta dalam kesesakan yang memenatkan itu. 


"Isu utamanya adalah persiapan untuk melaksanakan tugas tidak dirancang dengan baik oleh pihak terbabit. 


"Pada awalnya kami dibiarkan sahaja selama beberapa jam tanpa penerangan dan juga arahan yang sepatutnya. Apabila makin ramai bersuara, barulah ada tindakan yang lebih baik. 


"Saya tetap menekankan perkara melibatkan golongan yang sepatutnya didahulukan seperti warga emas, OKU, ibu mengandung dan bayi, ibu yang membawa anak ramai, kanak-kanak yang sukar dikawal aktivitinya. 


"Sudah tentu kita tidak mahu mereka mengalami masalah atau timbul isu-isu yang tidak sepatutnya berlaku. 


"Kalau kena batang hidung ahli keluarga sendiri, pasti ada juga netizen yang gegak gempita menyalak, histeria dan huru hara. 


"Netizen memang mudah mengecam tetapi tidak merasai sendiri bagaimana keadaan kami tadi bersesak-sesak. Penerbangan mendarat setiap jam tetapi penumpang masih lagi terkandas kerana kekurangan kakitangan terbabit," katanya. 


Sumber: Facebook Pengadu dan Facebook KKM

Suami maut, isteri parah dilanggar pemandu mabuk

Lagi kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk di Lebuhraya SILK pada lewat malam Jumaat yang mengorbankan seorang penunggang motosikal, manakala pemboncengnya parah. 


Menurut sumber, kejadian yang berlaku pada jam 12 tengah malam Jumaat (25 September 2020) di Lebuhraya SILK berhampiran Balakong di mana kedua-dua mangsa merupakan pasangan suami isteri dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. 


Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dirempuh dari bahagian belakang oleh seorang pemandu yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol. 


"Suami tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira jam 3.30 petang tadi.


"Manakala si isteri pula patah kaki kiri dan lain-lain kecederaan yang masih belum dikenal pasti dan sedang mendapatkan rawatan di hospital sama," katanya. 


Kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk semakin menjadi-jadi bagaikan tidak memberi kesan dan keinsafan pada golongan kaki mabuk ini.


Justeru masyarakat menyeru pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap pemandu mabuk sama ada meminda peraturan sedia ada atau haramkan terus penjualan alkohol di negara ini. 


Tiada gunanya setiap penggal bertukar kerajaan atau menteri tetapi masalah yang sepatutnya dapat diselesaikan ini menjadi terlalu sukar hendak ditangani dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah demi menjaga hati beberapa pihak yang enggan keuntungannya terjejas. Apakah keuntungan sesetengah pihak berkaitan itu lebih penting berbanding keselamatan nyawa rakyat Malaysia?


Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS

Sunway Pyramid sahkan seorang kakitangan NIKE positif Covid-19

Sunway Pyramid mengesahkan sebuah premis peralatan sukan di kompleks beli belahnya ditutup pada Sabtu susulan salah seorang kakitangan kedai itu disahkan positif Covid-19. 


Menurut pengurusan pusat berkenaan dalam kenyataan medianya berkata, kakitangan premis Nike terbabit sudah mula dikuarantin mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 


"KKM juga telah mengenal pasti beberapa individu lain yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan dan sudah menjalankan proses saringan serta kuarantin. 


"Langkah proaktif juga telah diambil termasuk menjalankan proses nyah kuman dan pembersihan di premis yang terlibat," kata kenyataan itu yang juga orang ramai tidak panik dan mengamalkan penjagaan kebersihan diri yang baik. 


Sumber: Sunway Pyramid

'Maaf cik, penghuni sebelah....'

Setiap orang mempunyai pengalaman paranormal/mistik masing-masing. Ini sekadar perkongsian sahaja. Bagi yang lemah semangat, anda tidak digalakkan untuk terus membaca. 


SAYA pernah mengalami kejadian yang menyeramkan ketika bermalam di sebuah hotel. Dari luar, keadaan hotel ini kelihatan seperti biasa dan tiada apa-apa yang aneh. Tetapi entah kenapa saya berasa aneh ketika melangkah kaki masuk ke lobi. Awalnya saya fikir, mungkin badan saya berasa penat selepas melakukan beberapa aktiviti sebelum itu. 


Setelah mendapatkan kunci bilik, saya bergegas menuju ke bilik untuk berehat. Tetapi saya tetap rasa tak sedap badan. Saya cuba untuk baring sekejap dan kemudian mahu membersihkan diri. 


Hari pun sudah mulai gelap, harapnya selepas mandi segala kepenatan badan saya pun terus hilang. 


Selesai mandi, saya keluar dan terkejut tatkala melihat semua tingkap bilik terbuka. Sampai angin pun bebas masuk ke dalam bilik. Masa tu dah masuk waktu maghrib, saya pun bergegas menutup tingkap. 


"BANGGG!!" 


Terperanjat saya apabila pintu bilik mandi tertutup sendiri dengan begitu kuat sekali. Kali ini, meremang bulu roma seluruh badan. Saya tengok ke arah bilik mandi sejenak sebelum bersiap dan terus keluar dari bilik. 


Saya ceritakan insiden itu kepada rakan saya dan bertanya sama ada dia yang membuka tingkap bilik ketika saya sedang mandi. Namun dia menafikan dan menegaskan dia baru saja sampai di hotel serta belum sempat pun masuk ke dalam bilik. 


Jadi, siapa yang buka tingkap bilik tadi? 


Saya malas nak endahkan hal itu, badan pun sudah penat. Selepas masuk ke bilik, saya hanya fikir nak tidur. Tetapi malam itu saya langsung tak dapat tidur. 


Pelbagai benda yang saya lakukan. Chat dengan kawan, layan music sampailah ke aktiviti membaca buku. Biasanya mata saya akan terpejam dengan sendirinya apabila sudah keletihan. Mata melirik ke penjuru atas kanan handphone, tak terasa pun dah jam 12 malam. 


Mata sudah mulai berat, buku yang dibaca diletak ke tepi. Saat baru sahaja nak memejamkan mata, saya terpaksa bangun kerana terdengar suara kanak-kanak bergurau dengan begitu lantang sekali. Saya diam dan cuba mencari sumber suara itu yang semakin nyaring kedengaran. 


"Aduh! Mana mak bapak diorang ni? Takkan dah lewat macam ni pun belum tidur + buat bising?" 


Untuk pertama kali saya masih boleh bersabar, lama kelamaan saya berasa terganggu kerana keadaan semakin bising. Saya terus menghubungi bahagian kaunter agar mereka memberi teguran kepada jiran sebelah bilik. Tetapi jawapan balas dari pihak kaunter membuatkan saya tergamam seketika. 


"Maaf cik, penghuni di bilik sebelah kanan sudah check out awal pagi tadi dan sekarang bilik sebelah itu kosong," katanya. 


Sumber: Phinemo