(Video) '2 perempuan ni curi kereta dia!' - Pemandu Uber Eat maut angkara 2 remaja setan


Dua remaja perempuan berusia 13 dan 15 tahun didakwa atas pertuduhan membunuh dan mencuri kereta milik lelaki warga Pakistan yang ketika itu sedang menghantar makanan yang dipesan pelanggan di Washington D.C, Amerika Syarikat, dan insiden itu sempat dirakam oleh orang awam. 


Polis berkata, mangsa, Mohammad Anwar, 66, meninggal dunia di lokasi kejadian. Suspek bersenjatakan pistol renjat cuba merampas kereta Honda Accord itu tetapi mangsa berusaha menghalang dua suspek terbabit dengan terus duduk di bahagian pemandu serta pintu masih terbuka. 


Secara tiba-tiba kereta itu memecut laju ke depan dan nyaris melanggar kenderaan lain. Suspek yang dipercayai memandu kereta itu dilihat melanggar tiang penghadang jalan yang menyebabkan pintu kereta itu terhempas beberapa kali mengenai mangsa.


Beberapa saat kemudian, kereta Honda Accord milik Anwar  kemalangan dan mangsa dilihat tercampak ke ruang pejalan kaki dengan mukanya menghadap ke lantai. Manakala dua suspek terbabit memanjat keluar dari kereta itu tanpa sebarang kecederaan. Salah seorang suspek berkali-kali memberitahu dompetnya tertinggal di dalam kereta itu, tanpa sedikit pun mengambil tahu tentang mangsa yang telah mati akibat kemalangan itu. 


Video rakaman kejadian itu juga viral di media sosial dan telah ditonton lebih dari 6.8 juta kali sejak dimuat naik pada Sabtu lalu. 



Difahamkan, mangsa menetap di kawasan pinggir badan Springfield, Virginia dan bekerja sebagai penghantar makanan untuk syarikat Uber Eats. Sepertimana yang dinyatakan dalam perkongsian di GoFundMe, Anwar berhijrah ke Amerika Syarikat untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya. 


Kempen GoFundMe yang dilancarkan bagi pihak keluarga mangsa setakat ini telah meraih dana sebanyak $715,780 (Isnin 29 Mac 2021) yang akan digunakan untuk membiayai kos pengebumian dan beberapa tujuan yang berkaitan. 


"Anwar adalah seorang suami penyayang, bapa, datuk, bapa saudara dan rakan yang selalu memberikan senyuman apabila anda memerlukannya. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan kami sekeluarga pada waktu ini," kata keluarganya. 


Sementara itu, wakil Uber memberitahu stesen radio tempatan, mereka turut berduka dengan tragedi yang berlaku dan akan bersama dengan keluarga Anwar untuk menghadapi waktu yang sukar ini. 


Sumber: NDTV

(Video) 'Mati'in! Mati'in! - Lelaki terkena renjatan elektrik, mikrofon meletup ketika sedang berkaraoke


Baru-baru ini viral di media sosial video yang menunjukkan dua lelaki sedang asyik berkaraoke, tetapi berakhir dengan tragedi yang mengerikan. 


Pada awalnya, lelaki yang memakai jaket hitam sedang memegang mikrofon dan bernyanyi sambil memandang ke bawah dipercayai melihat lirik lagu. 


Beberapa saat kemudian, mikrofon yang dipegangnya itu meletup dengan kuat secara tiba-tiba sehingga menyebabkan mangsa tersentak, lalu terus terkulai. Bilik yang menjadi tempat berkaraoke itu juga dipenuhi dengan asap putih.


Letupan itu berlaku dipercayai akibat dari masalah litar pintas pada mikrofon yang digunakan oleh mangsa. Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kesakitan yang tidak tertanggung kerana terkena letupan.  


Sementara itu, rakannya yang memakai topi merah terkejut dengan kejadian itu, terus bangun dari tempat duduk untuk memadamkan suis elektrik. 



Kejadian itu berlaku di Indonesia, namun tidak dinyatakan dengan jelas bila tarikh sebenar kejadian. Walaupun begitu, video itu mengundang banyak reaksi netizen akan bahayanya menggunakan peralatan elektronik tiruan atau murah, lebih-lebih lagi tiada pengesahan keselamatan bahawa produk itu selamat untuk digunakan. - Agensi

(Video) 'Allahuakbar!' - Ramai penduduk bertempiaran lari, loji penapis minyak Petramina meletup & terbakar


Sebuah loji penapis minyak milik Pertamina di Indramayu di Jawa Barat, kira-kira 200 kilometer dari sini, terbakar dan meletup, menyebabkan lebih 20 penduduk cedera manakala ratusan penduduk berdekatan kawasan itu terpaksa dipindahkan.


Menurut laporan media tempatan, rumah-rumah penduduk dan masjid yang berdekatan loji berkenaan turut mengalami kerosakan akibat kesan letupan kuat.


Setakat 9 pagi waktu Indonesia Barat, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia mengenai kemalangan jiwa dalam insiden berkenaan.



Pertamina dalam kenyataan memaklumkan, sebuah tangki di kilang (loji) Pertamina Balongan itu terbakar pada pukul 12.45 tengah malam tadi, ketika berlaku hujan lebat dan petir di kawasan berkenaan.


"Punca kebakaran belum diketahui, saat ini Pertamina Balongan sedang fokus melakukan pemadaman api di kilang yang berlokasi di Desa Balongan, Kabupaten Indramayu, Jawa Barat, yang terletak kira-kira 200km dari Jakarta," menurut kenyataan itu.




Beberapa video kebakaran dan letupan dahsyat yang berlaku susulan kebakaran itu tular di media sosial di Indonesia. - Bernama

'Kalau dia anak jantan, letak jawatan sebagai menteri' - Zahid cabar, label Annuar Musa sebagai makhluk perosak


Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar seorang anggota UMNO yang menjawat jawatan Menteri, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk meletak jawatan. 


Beliau berkata, amaran itu diberikan kepada menteri berkenaan kerana sikapnya yang ibarat 'menikam daripada belakang'. 


Katanya lagi, jika bukan kerana individu itu merupakan anggota UMNO, menteri itu tidak akan sesekali dipilih mengetuai Kabinet Muhyiddin Yassin. 


"Kalau dia anak jantan, dia harus letak jawatan sebagai menteri. Ini makhluk perosak. Kalau bukan kerana UMNO, tidak akan ada dia dalam kementerian berkenaan.


"Bila jawatan yang telah menjadikan kegelian maksimum, mereka harus sedar tanpa kita (UMNO) perwakilan dan akar umbi, kita juga tidak akan pernah rasa kedudukan sebagai menteri semula," katanya.


Selepas mengulung sesi perbahasan PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam, Ahmad Zahid memaklumkan, Lembaga Disiplin akan meneliti tindakan yang akan diambil terhadap menteri itu.


Keputusan yang dibuat itu kelak bukanlah keputusan presiden, tetapi Lembaga Disiplin akan membawa perkara itu ke Jawatankuasa Pengurusan sebelum dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi. 


Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, kenyataan itu jelas ditujukan kepadanya dan menganggap tindakan Presiden UMNO mencabar anggota UMNO itu sendiri adalah tidak wajar. 


"Saya jujur, saya kata tidak wajar presiden mencabar sesiapa. Kalau kita galakkan budaya cabar-mencabar dalam parti, apa kata kalau orang lain pula cabar presiden? 


"Kita dah kata akan kekal dalam kerajaan sehingga PRU15, maka menteri-menteri kekallah di situ. Kenapa pula nak cabar menteri suruh berhenti?


"Saya jarang nampak di PAU orang bantai kawan sendiri, dengan isteri jangan marah lebih, nanti rujuk balik," katanya. 


Sumber: Sinar Harian, MalaysiaKini

Suspek mengaku letak 'spycam' dalam tandas wanita untuk kepuasan diri


Perbuatan keji seorang lelaki yang meletakkan kamera tersembunyi berbentuk pen di bawah sinki tandas wanita di tempat kerjanya di Batu Caves, terbongkar selepas alat perakam itu ditemui oleh pekerja wanita berusia 27 tahun, secara tidak sengaja. 


Difahamkan, pekerja wanita itu masuk ke dalam tandas itu pada jam 10.50 pagi 26 Mac 2021. Ketika dia tunduk berdekatan dengan sinki, dia ternampak alat perakam itu lalu mengambil dan membawa pulang untuk memeriksa kad memorinya. 


Alangkah terkejutnya mangsa apabila dia mendapati ada beberapa rakaman video yang merekodkan dirinya dan beberapa rakan wanita lain di dalam tandas itu. 


Mangsa turut ternampak wajah seorang pekerja lelaki yang direkod kamera itu ketika dia sedang meletak dan mengambil alat perakam tersebut.


Berdasarkan bahan bukti tersebut, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Selayang untuk tindakan lanjut. 


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan pihaknya ada menerima laporan dari mangsa. Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek untuk membantu siasatan. 


Siasatan awal mendapati, suspek berusia 41 tahun itu melakukan perbuatan terkutuk itu seorang diri bagi tujuan memuaskan diri. Suspek juga mengaku berbuat demikian sejak awal Mac lalu.


Suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. 


Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS