'Mereka tak perlu bayar apa-apa' - Exco Perak jamin kes 6 pelajar Matrikulasi dikompaun akan selesai segera


Enam pelajar kolej Matrikulasi Perak Gopeng yang dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dan meletakkan di bawah dagu pada 19 April 2021, hari ini boleh menarik nafas lega. 


Ini kerana kerajaan negeri telah memberi jaminan bahawa mereka tidak perlu membayar satu sen pun dan kes itu akan diselesaikan. Dengan itu, mereka boleh memberikan fokus pada peperiksaan. 


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, masalah itu menemui jalan penyelesaian selepas pihaknya berjumpa dengan Pejabat Kesihatan Negeri. 


"Untuk makluman semua, pelajar ini, mereka tidak perlu membayar apa-apa pun dan saya beri jaminan kes ini akan selesai. Keputusan yang dicapai dan mendapat kerjasama semua pihak ini sangat baik dan membantu pelajar yang datang dari keluarga asnaf. 


"Justeru, isu ini tidak perlu diperbesarkan lagi untuk memberi ruang kepada enam pelajar berkenaan menduduk peperiksaan dengan tenang," katanya. 


Mohd Akmal menasihatkan orang ramai khususnya warga Perak sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan masalah yang sama berulang kembali. 


Sumber: Harian Metro

'Tajuk itu tidak tepat & mengelirukan' - Bukit Aman Nafi Timbalan KPN sifatkan ugutan rogol yang diterima Ain Husniza sebagai gurauan


Bukit Aman hari ini menafikan laporan berita yang mendakwa Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani menyifatkan laporan berhubung ugutan rogol yang diterima oleh pelajar, Ain Husniza, sebagai 'gurauan' adalah tidak tepat dan tidak benar.


Bukit Aman memandang serius dengan laporan media berkenaan dan menegur tindakan pihak media berkenaan yang hanya menggunakan sebahagian kenyataan yang menimbulkan kekeliruan kepada pembaca.


Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara, Superintendan A Skandaguru berkata, pelaporan itu boleh mencetuskan kegusaran masyarakat, mencemarkan kredibiliti siasatan polis, selain wujudnya spekulasi negatif terhadap mangsa kes. 


"Menurut kenyataan itu, ungkapan 'mungkin gurauan' adalah maklum balas kepada wartawan mengenai aspek yang sedang disiasat dan tidak bermaksud isu berkenaan 'hanya sekadar gurauan' seperti mana digambarkan portal terbabit. 


Tiada mana-mana aspek dalam kes berkenaan pernah dianggap sebagai gurauan. 


Antara tajuk berita yang didakwa mengelirukan itu ialah 'Deputy IGP Describes Rape Threat Against Teen As 'Maybe' A Joke', dan 'Pelajar Wanita Dihina, Diugut Rogol, Acryl Sani: Rakan Sekelas Mungkin Bergurau. 


Bukit Aman turut mengeluarkan transkrip media untuk membuktikan apa sebenarnya diperkatakan oleh Acryl Sani. 


Minit 09.20 - 09.31

SOALAN WARTAWAN TIDAK JELAS KEDENGARAN


Minit 09.31 - 10.39

TIMBALAN KPN: "Setakat ini yang saya diberitahu, pelajar berkenaan telah membuat dua laporan polis. Yang pertama, berkaitan dengan apa yang beliau rasakan, pendekatan guru tersebut tidak begitu 'proper'. 


"Dan yang kedua, malam semalam beliau juga membuat laporan tambahan berkaitan dengan mungkin gurauan dari rakan sedarjahnya yang beliau tidak dapat terima". 


Sumber: Harian Metro, Free Malaysia Today 

'Kalau kompaun dikurangkan kepada RM25,000 pun, kami tetap tak mampu nak bayar' - Peniaga Burger


Pasangan peniaga burger yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi melebihi had masa di tempoh PKP, mengakui banyak menerima panggilan dari pelbagai pihak yang menawarkan bantuan kepada mereka. 


Bagaimanapun, pasangan itu memilih untuk tidak menerima sebarang bantuan dari luar buat sementara waktu kerana masih menunggu proses rayuan yang telah dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu hari ini yang akan memaklumkan nilai kompaun baharu yang perlu dibayar kelak. 


Norlaili Shafien, 37, isteri kepada peniaga burger itu berkata, dia dan suaminya, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, tidak menyangka ramai yang prihatin dengan masalah yang menimpa mereka sehingga ada pelanggan tetap sudah menyumbang secara terus ke dalam akaun bank. 


"Saya dan suami bersyukur kerana viral itu menyebabkan ramai pihak mahu membantu kami termasuk mahu menyediakan khidmat peguam. Bagaimanapun, saya dan suami tidak mahu mengambil sebarang bantuan kewangan sebelum kami mengetahui jumlah kompaun yang perlu dibayar. 


"Pegawai di Pejabat Kesihatan memaklumkan, rayuan kami akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dan jumlah kompaun yang terkini perlu dibayar masih belum diketahui. 


"Apa pun saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlalu prihatin dan sanggup menghubungi kami sehingga lewat malam," katanya. 


Tambahnya, sekiranya diberikan diskaun untuk kompaun tersebut dari RM50,000 ke RM25,000, mereka tetap tidak mampu membayarnya kerana hasil pendapatan menjual burger tidak setanding dengan jumlah kompaun itu. 


Norlaili juga mengaku mereka melakukan kesalahan berniaga melebihi had waktu di tempoh PKP, tetapi mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian. 


"Saya mengakui kesalahan berniaga lebih waktu, namun saya juga mahu menjelaskan ketika kejadian tiada pelanggan dan kami juga tidak membuka meja sepanjang PKP. Kami hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pelanggan sahaja," katanya. 


Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan pihaknya akan meneliti semula kadar kompaun yang dikenakan itu. Kertas siasatan juga akan dibuka serta anggota atau pegawai yang mengenakan kompaun tersebut akan dipanggil untuk memberi penjelasan. 


"Pihak polis akan melihat dari semua aspek termasuk kewajaran serta rungutan daripada masyarakat tentang jumlah kompaun yang dikenakan. 


"Seterusnya akan merujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk nasihat dan pandangan selanjutnya," katanya. 


Sumber: Harian Metro

Guru mengaku pukul murid sampai berbirat sebab tak siapkan kerja sekolah


Polis telah mengambil keterangan seorang warga pendidik yang didakwa memukul murid tahun tiga sehingga meninggalkan kesan bengkak dan lebam dalam kejadian Khamis lalu.


BACA: 'Cikgu tibai Danish hanya sebab tak siap kerja sekolah' - Tangan murid berbirat, ibu dakwa anaknya dipukul cikgu menggunakan pembaris kayu sehingga pecah berderai

BACA: 'Hanya disebabkan adik tak jawab 2 soalan terakhir, cikgu terus hukum adik camni' - Ibu mangsa terkilan anaknya dipukul dengan pembaris kayu sehingga menyebabkan kecederaan


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, ketika diambil keterangan, guru di sebuah sekolah di Kuala Kedah itu mengaku memukul mangsa yang tidak menyiapkan kerja sekolah. 


Bagaimanapun, guru terbabit dikatakan sudah menyesal dengan perbuatannya itu. 


Khamis lalu, ibu kepada murid berusia sembilan tahun itu tampil mendedahkan gambar anaknya dipukul dengan menggunakan pembaris kayu sehingga pecah berderai dan serpihannya terkena pada wajah anaknya. 


Akibat dari perbuatan guru itu, mangsa mengalami kesan lebam dan bengkak di bahagian lengan tangan kiri, cedera di jari jemari ketika cuba menepis pukulan dan wajahnya calar serta berdarah akibat terkena serpihan pembaris kayu tersebut.


Kini, polis sedang menunggu laporan prestasi guru terbabit sebelum kertas siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. 


Sumber: Harian Metro

'Nak kenakan kompaun, mesti ikut garis panduan' - Menteri Takiyuddin


Langkah mengenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) mestilah dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.


Takiyuddin berkata kerajaan telah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah akta tersebut untuk dijadikan panduan kepada pihak penguat kuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.


"Mengikut garis panduan tersebut, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000.


"Pesalah-pesalah pula diberikan kadar pengurangan sebanyak 50 peratus sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh tujuh hari dan 25 peratus sekiranya dalam tempoh 14 hari," katanya menerusi kenyataan media hari ini.


Takiyuddin menjelaskan pindaan yang dibuat terhadap Akta 342 itu adalah untuk menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang menjadi kesalahan kerana menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara ini.


Katanya, segala tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan di bawah undang-undang adalah bagi mencegah dan memberi pengajaran kepada pelaku agar sama-sama bertanggungjawab dalam usaha memerangi pandemik itu.


Sumber: Bernama