KKM cadang PKP penuh di Selangor, tetapi bekas menteri KKM kata tak perlu sebab kadar kebolehjangkitan masih rendah berbanding negeri lain


Dua hari yang lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dan ketat di Selangor sekiranya negeri itu gagal membendung penularan Covid-19. 


Cadangan itu timbul setelah melihat kes positif di negeri itu meningkat saban hari, tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan kes. 


Mengikut status terkini Covid-19 pada hari ini, 19 Mei 2021, Malaysia mencatatkan 6,075 kes baharu yang menyaksikan Selangor masih lagi merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 2,251 kes. Diikuti dengan Johor - 669 kes, Kuala Lumpur - 660 kes, Kedah - 445 kes, Kelantan - 441 kes, Sarawak - 323 kes. 



Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Selangor tidak berhasrat untuk melaksanakan PKP secara menyeluruh. Sebaliknya mencadangkan pelaksanaan dibuat secara bersasar mengikut kluster. 


"Penambahbaikan perlu dilakukan sekiranya PKP penuh dilaksana, termasuk memberi perhatian serius terhadap kawasan yang mempunyai jangkitan Covid-19 paling tinggi. 


"Penduduk kawasan terbabit perlu dilakukan ujian saringan dan divaksin untuk memastikan perkara yang sama tidak lagi berulang pada masa hadapan. 


"Kita tidak mahu PKP seperti sebelum ini yang mana mereka tidak dibenarkan keluar dan apabila PKP itu tamat, kes akan kembali kerana kurang kesedaran terhadap kepatuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya. 


Sementara itu, Pengerusi Pasukan Khas Covid-19 Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PKP tidak perlu dilaksanakan kerana kadar kebolehjangkitan di Selangor masih rendah berbanding negeri lain seperti Kelantan dan Pahang. 


Pelaksanaan PKP secara menyeluruh katanya, hanya akan menjejaskan ekonomi negeri terutamanya peniaga kecil. 


Sumber: Harian Metro, KKM, Sinar Harian

'Gelap masa depan kau nak, dah ada rekod polis' - Remaja ditahan polis kerana keluar kenyataan mengganggu-gugat keharmonian masyarakat


Polis telah menahan seorang remaja di Kuching, Sarawak, untuk membantu siasatan berhubung video yang dimuat naiknya baru-baru ini dikatakan telah mengganggu keharmonian masyarakat. 


Persuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, suspek berusia 18 tahun itu telah ditahan di rumahnya di Taman Sukma, semalam.


Terdahulu sekumpulan orang awam datang ke rumah suspek pada malam Isnin kerana tidak berpuas hati dengan kenyataannya di media sosial, selepas video yang menunjukkan dirinya berbicara seperti terpaling pandai dalam konflik Palestin dan Israel sehingga melemparkan kata-kata yang tidak sewajarnya terhadap golongan penyokong Palestin. 


BACA: (Video) 'Kalau ilmu tentang Israel & Palestin belum cukup enuff, tak payah sibuk nak beri pandangan' - Remaja dihentak dengan helmet kuning gara-gara cabar netizen bertumbuk di media sosial 


"Suspek telah dibawa ke Balai Polis Gita dan disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi. Suspek akan ditahan reman selama empat hari sehingga 22 Mei," katanya. 


Polis juga menasihatkan orang ramai untuk tidak mengambil tindakan sendiri dalam menangani isu seperti ini. Sebaliknya, serahkan kepada polis yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap suspek. 


Selain itu, polis juga akan menjalankan siasatan terhadap lebih kurang 15 individu yang berkumpul di depan rumah suspek kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 


"Beberapa individu didapati tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal. Oleh itu, individu yang terlibat dalam kejadian itu diminta untuk datang ke balai polis untuk membantu siasatan," katanya. 


Sumber: Borneo Post

Penjawat awam umum sokongan terhadap Israel, positif dadah jenis morfin ketika merakam & memuat naik video tersebut


Seorang penjawat awam di Melaka yang mengumumkan sokongannya terhadap Israel secara terbuka dalam video dimuat naik di media sosial baru-baru ini telah ditahan. 


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 31 tahun itu terdahulu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk memberi keterangan berhubung video tersebut sehingga mengundang reaksi negatif netizen.


BACA: (Video) 'Israel punya jahat, aku suka' - Lelaki dipercayai penjawat awam umumkan sokong Israel secara terbuka


Keputusan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap lelaki itu mendapati, dia positif dadah jenis morfin. 


Siasatan awal juga mendapati, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika merakam dan memuat naik video tersebut di akaun Tik Tok miliknya. 


Suspek ditahan untuk siasatan berasingan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman selama dua hari. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan oleh suspek pada waktu kejadian. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988. 


Semalam viral di media sosial video yang menunjukkan suspek secara terbuka mengumumkan sokongan terhadap Israel kerana suka dengan cara puak zionis itu melakukan keganasan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin. 


Bagaimanapun, suspek bertindak memadamkan video tersebut setelah menyedari dikecam teruk oleh netizen. Tetapi video tersebut sempat dirakam oleh netizen yang memuat naik semula video itu di media sosial, menyebabkan ramai yang tampil mengecam suspek. 


Sumber: Sinar Harian

Individu umum sokong Israel zalimi Palestin akan dihukum penjara 10 tahun


Kerajaan Kuwait  mengumumkan hukuman penjara 10 tahun dan denda 5,000 Dinar (RM68,598) terhadap mereka yang menyokong Israel secara terang-terangan termasuk di media sosial, lapor MMNews.TV baru-baru ini.


Penasihat Bank Pelaburan, Usahawan dan Pasaran Modal yang terkenal di peringkat antarabangsa, Mir Mohammad Alikhan berkongsi berita mengenainya di media sosial minggu lalu.


“Kuwait mengumumkan undang-undang di mana sesiapa yang menyokong Israel secara nyata atau di  media sosial dari  Kuwait akan dipenjara selama 10 tahun dan denda sebanyak 5,000 dinar.


“Amaran itu mungkin kedengaran keras tetapi Tuan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan (Pakistan), saya berpendapat anda juga perlu melakukan ini,” katanya.


Terdahulu, Perdana Menteri Kuwait, Sabah Al-Khalid telah menegaskan prinsip dan keteguhan negaranya dalam mendukung pilihan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak mereka yang sah.


“Perjuangan Palestin masih mempunyai kedudukan penting dalam sejarah dan dunia Arab serta Islam,” kata Sabah pada sesi ke-75 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui pautan video.


Al-Sabah menekankan pentingnya usaha berterusan untuk melancarkan semula rundingan untuk mencapai perdamaian yang adil dan menyeluruh sesuai dengan Inisiatif Damai Arab.


Beliau menyeru Israel menamatkan pendudukannya di Genting Gaza  dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. – Agensi/Kosmo! 

Dah masuk Sabah, wajib kuarantin 14 hari - Menteri


Kerajaan Sabah menguatkuasakan arahan kuarantin wajib 14 hari ke atas individu yang masuk ke negeri itu berkuat kuasa esok dalam usaha mengekang penularan Covid-19, kata Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.


Masidi berkata individu yang berasal dari Sabah, penduduk tetap dan pemegang Pas Kerja yang bermastautin di negeri itu dibenar menjalani arahan kuarantin di rumah masing-masing.


Katanya, individu yang bukan berasal dari Sabah pula dikehendaki menjalani arahan kuarantin itu di hotel yang ditetapkan sebagai pusat kuarantin iaitu 16 hotel di Kota Kinabalu dan satu di Tawau atas biaya sendiri.


"Pengambilan ujian (saringan Covid-19) PCR (Polymerase Chain Reaction) dengan keputusan negatif adalah diwajibkan bagi setiap individu yang ingin masuk ke Sabah seperti sebelum ini.


"Kemasukan ke Sabah bagi pegawai-pegawai kerajaan adalah dibenarkan tertakluk kepada pegawai yang mempunyai surat rasmi bertugas di Sabah," katanya menerusi kenyataan semalam.


Masidi berkata kerajaan negeri juga membenarkan kemasukan pelabur asing bagi tujuan melabur di negeri itu, bagaimanapun mereka perlu mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas kemasukan daripada kerajaan negeri.


Sementara itu, dia berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesan dua kes penularan Covid-19, kedua-duanya melibatkan individu dari Labuan yang pulang untuk meraikan Aidilfitri di Tawau.


Dia berkata kes pertama melibatkan pasangan suami isteri yang pulang ke Ladang Abaka, Tawau pada 7 Mei, dan mereka disahkan positif pada 14 Mei dan menjangkiti sembilan ahli keluarga.


Bagi kes kedua, individu terlibat pulang ke Kampung Sungai Imam, Tawau pada 8 Mei sebelum disahkan positif pada 16 Mei dan turut menziarah keluarganya di Taman Barkeley, Tawau seterusnya menyebabkan jangkitan kepada 43 ahli keluarganya.


"Oleh yang demikian, kerajaan negeri pada hari ini memutuskan untuk mengetatkan SOP (prosedur operasi standard) kemasukan ke Sabah," katanya.


Masidi berkata JKNS merekodkan 95 kes baru Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,504 kes.


Sumber: Bernama