'Saya jual apa, dia pun nak jual, sudah lama saya bersabar' - Peniaga keropok lekor tampil jelaskan punca sebenar pergaduhan dengan peniaga laksa


Beberapa hari lalu, viral video peniaga keropok lekor didakwa menganiaya barang peniaga laksa di kawasan Taman Koperasi LLN, Kajang yang dikatakan berpunca dari rasa tidak puas hati. 


Peniaga laksa telah memuat naik video kejadian tersebut yang menunjukkan bahan-bahan masakannya telah dijatuhkan oleh peniaga keropok lekor. Malah, mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Tidak lama kemudian, kedua-dua pihak telah berdamai setelah masing-masing memohon maaf di atas apa yang berlaku. 


Menurut maklumat, mangsa mendakwa peniaga keropok lekor menghalangnya dari berniaga dan mencari rezeki di kawasan itu. Sedangkan kawasan itu bukan hak miliknya dan merupakan kawasan terbuka bebas berniaga. 


Baca: (Video) 'Itu jelah kerja kau kan, viral?!' - Peniaga keropok lekor terbalikkan barang niaga peniaga laksa


Bagaimanapun, peniaga keropok lekor yang dikenali sebagai Aliana Lee, tampil memberikan penjelasan mengenai kejadian sebenar bagi mengelakkan orang ramai terus mengecamnya di media sosial. 


"Saya  dah mengaku salah dekat abang ipar peniaga itu. Dah minta maaf dan abang ipar peniaga laksa itu pun dah minta maaf dari pihak dia. 


"(Ceritanya,) saya jual apa, dia pun nak jual. Bila saya tegur, saya ditengkingnya. Sudah lama saya bersabar, namun dia sedikit pun tidak mempedulikan saya. Sekarang dia nak tutup periuk nasi saya, viralkan saya, body shamming saya lagi. 


"Sudah tiga tahun saya berniaga di sini secara berlesen, tidak ada sesiapa yang kacau. Sekarang dia datang, dia viralkan saya," komennya di Facebook. 



Berdasarkan gambar screenshot perbualan di WhatsApp, "Cerita dia sebelum kejadian, kita main (jual) tembikai, dia pun nak main. Nana sound la dia. Lepas itu anak dia tengking-tengking, jeling hot kat Nana. Lepas tu bertekak. 


"Bekas dia tu bertutup, lepas tu Nana tak tahu apa, terbalikkan. And then dia panggillah abang kawasan dia datang. And then bincang, Nana pun minta maaf. Tup-tup video naik". 



Sementara itu, pelanggan tetapnya juga tampil mempertahankan Aliana dan meminta netizen tidak hanya mendengar aduan sebelah pihak.


"Owner keropok lekor itu kawan saya. Dia cerita apa yang terjadi pada masa itu. Saya selalu datang ke gerai dia. Lagipun diorang memang dah bertahun berniaga. Dia okay je sesiapa yangg nak berniaga di sebelah dia. Tetapi diorang ada bergaduh mulut.


"Boleh tahan juga orang niaga laksa ni ye, play victim. Takpe, Allah tahu siapa aniaya siapa. Kenapa awak tak record gerai uncle buah antara gerai korang? Awak sampai nak viralkan macam ni. Benda boleh settle baik baik. Sama-sama Melayu. Tak apa, semoga awak dimurahkan rezeki," komen rakannya. 



Sumber: Facebook

'Baru nak tegur, sekali dia toleh tak ada muka' - Anggota SAR kongsi pengalaman mencari orang hilang


Setiap orang mempunyai pengalaman paranormal/mistik masing-masing. Ini sekadar perkongsian sahaja. Bagi yang lemah semangat, anda tidak digalakkan untuk terus membaca. 


Saya bekerja sebagai anggota mencari dan menyelamat (SAR di Amerika Syarikat) sejak beberapa tahun yang lalu dan sepanjang karier ini saya telah menyaksikan beberapa kejadian yang saya rasa awak semua mungkin berminat untuk mengetahuinya. 


Saya mempunyai rekod prestasi yang baik dalam hal mencari orang hilang. Kebanyakan kes orang hilang dilaporkan berlaku di hutan kerana mereka gagal mencari jalan pulang. Majoriti orang hilang ini, mereka hanya kekal berada di lokasi dan tidak berjalan jauh. 


Tetapi ada dua kes di mana perkara itu tidak berlaku. Dua kes itu amat mengganggu saya dan saya jadikan kes itu sebagai motivasi untuk diri untuk mencari orang hilang dalam kes yang dikendalikan oleh saya. 


TERLEPAS PANDANG BEBERAPA SAAT


Ada dua anak kecil keluar memetik buah beri dengan ibu bapanya. Dia dan adiknya hilang pada masa yang sama. Ibu bapanya hanya terlepas pandang beberapa saat ketika dua kanak-kanak itu berkeliaran. 


Gagal mencari dua beradik itu, pasangan suami isteri berkenaan kemudian menghubungi kami untuk meminta bantuan. Kami datang ke lokasi dan mula melancarkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan tersebut. 


Anak perempuan pasangan itu berjaya ditemui tidak beberapa lama kemudian dan apabila kami bertanya di mana keberadaan abangnya. Dia memberitahu kami abangnya telah dibawa oleh 'lelaki beruang'. Katanya, 'lelaki beruang' itu telah memberi buah beri dan memintanya untuk mendiamkan diri sementara dia mahu bermain dengan abangnya sebentar. Kali terakhir dia melihat abangnya sedang duduk di atas bahu 'lelaki beruang' itu.


Sudah tentu di fikiran kita bahawa ini adalah kes penculikan. Tetapi kami tidak menemui sebarang jejak manusia lain di kawasan itu. Kanak-kanak perempuan itu menegaskan lelaki itu bukan lelaki normal, orangnya bertubuh tinggi dan berbulu seperti beruang serta mempunyai wajah yang pelik. 


Selama beberapa minggu kami mencari kanak-kanak hilang itu di kawasan tersebut, malangnya kami tidak pernah menemui jejak mangsa.


HILANG SELEPAS PANJAT POKOK


Ada seorang perempuan muda keluar mendaki bersama dengan ibu dan datuknya. Menurut si ibu, anak perempuannya memanjat pokok untuk memlihat pemandangan hutan. 


Ibu dan datuknya menunggu di bawah berjam-jam lamanya. Puas menunggu, mereka cuba memanggilnya turun tetapi panggilan tidak disahut sebelum menghubungi kami untuk datang membantu. 


Tiba di lokasi, kami cuba mencari mangsa. Tetapi jejaknya tidak pernah ditemui. Saya tidak tahu ke mana dia pergi dan ibu serta datuknya langsung tidak melihat mangsa turun dari pokok tersebut. 


TAKKAN LUPA SUARA TANGISAN IBU MANGSA


Ada satu kes yang melibatkan penemuan mayat mangsa hilang. Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun terjatuh dan tertusuk pokok mati. Itu adalah kejadian yang dahsyat. 


Yang saya tidak akan pernah lupakan, suara tangisan ibunya apabila kami memaklumkan mengenai penemuan mayat anaknya. Tatkala dia melihat beg mayat dimasukkan ke dalam ambulans, dia mengeluarkan tangisan yang paling menghantui yang pernah saya dengar. Seperti keseluruhan hidupnya telah hancur dan sebahagian dari hidupnya telah mati bersama anak perempuannya. 


Saya dimaklumkan oleh seorang anggota SAR yang ibu mangsa telah membunuh diri, beberapa minggu selepas kejadian itu. Dia tidak dapat meneruskan hidup setelah kehilangan anak perempuannya. 


LELAKI TIDAK BERWAJAH


Saya ditugaskan bersama anggota SAR lain selepas menerima laporan penampakan beruang di satu kawasan gunung. Kami dikehendaki mencari seorang lelaki yang belum pulang dari pendakiannya pada waktu yang sepatutnya. 


Kami terpaksa melakukan pendakian untuk sampai ke tempat yang kami jangka dia akan berada di lokasi itu. Setelah diperiksa, mangsa terperangkap di celah gunung dan kakinya patah. Sudah hampir dua hari dia berada di situ dan kakinya mengalami jangkitan serius. Kami berjaya menyelamatkan dia dan membawanya keluar menggunakan helikopter. 


Menurut mangsa, dia pada awalnya baik-baik saja. Apabila tiba di puncak, dia ternampak seorang lelaki yang tidak mempunyai peralatan mendaki, hanya memakai jaket dan seluar ski. Mangsa cuba mendekati lelaki itu dan sebaik saja dia menolah, mangsa terkejut lelaki itu tidak mempunyai wajah. Mangsa terus panik dan terus turun dari gunung itu dalam keadaan tergesa-gesa sebelum terjatuh. 


Sepanjang malam mangsa terdengar bunyi lelaki itu menuruni gunung dan jeritan yang sangat mengerikan. Kisah yang dialaminya itu sangat mengganggu saya, mujurlah bukan saya yang mengalaminya. 


'KENAPA DIA IKUT KITA?'


Salah satu kes yang paling menakutkan saya ketika kami keluar mencari seorang wanita muda yangg terpisah dari kumpulan pendakiannya. Lewat malam itu kami dikehendaki bertugas mencari mangsa dengan bantuan anjing pengesan. Mangsa ditemui bersembunyi di bawah pokok balak yang mereput. Kasut dan begnya hilang, wajahnya kelihatan pucat dan terkejut namun tidak mengalami sebarang kecederaan. 


Sepanjang perjalanan pulang ke pusat operasi, mangsa kerap memandang ke belakang dan sesekali bertanya kepada kami, "Kenapa lelaki besar itu dengan mata hitam ikut kita?'. Bila ditoleh ke belakang, tiada sesiapa. Jadi kami menganggap mungkin mangsa mengalami simptom kejutan. 


Apabila kami hampir tiba ke pusat operasi, mangsa semakin gelisah dan meminta saya untuk memberitahu benda itu berhenti membuat muka kepadanya. Sehingga satu ketika, dia berhenti lalu berpaling ke belakang sambil menjerit ke arah hutan meminta benda itu berhenti mengekorinya dan dia tidak akan kembali kepadanya. 


Kami terus memaksanya meneruskan perjalanan dan dari saat itu kami mula terdengar bunyi-bunyi pelik yang datang dari sekeliling seperti batuk tetapi berirama dan mendalam. Bunyinya macam serangga, tetapi tak tahu bagaimana hendak menggambarkannya. 


Hampir sampai di kawasan pusat operasi, mangsa menoleh ke arah saya dan matangnya terbeliak. Dia menyentuh bahu saya dan berkata, 'Dia suruh awak cepat, dia tak suka tengok parut di leher awak!'. Memang ada parut kecil di leher saya tetapi tersorok di sebalik kolar baju. Saya tak tahu bagaimana dia boleh nampak parut itu. 


Sebaik saja dia berkata demikian, saya terus terdengar bunyi batuk di sebelah telinga membuatkan saya terkejut. Apa lagi, saya terus bergegas membawa mangsa ke pusat operasi dan cuba menyembunyikan rasa takut dalam diri. Saya benar-benar gembira bila kami dah keluar dari kawasan itu. 


TANGGA DI TENGAH HUTAN


Saya tidak tahu sama ada pasukan SAR yang lain juga mengalami pengalaman yang sama. Boleh cuba bertanya kepada mereka tetapi, walaupun mereka tahu mereka enggan bercerita mengenainya. Kami telah dimaklumkan oleh pihak atasan untuk tidak bercerita perkara seperti itu. Dan setelah banyak melakukan operasi SAR, semua perkara itu sudah menjadi satu kebiasaan. 


Dalam setiap kes di mana kami perlu masuk jauh ke hutan kira-kira 50 hingga 70 kilomter, pasti akan terjumpa tangga di tengah-tengah hutan. Tangga seperti tangga di rumah, yang telah dipotong dan diletakkan di hutan. 


Saya pernah ternampak tangga itu beberapa kali dan cuba bertanya kepada anggota SAR yang lain, mereka kata saya tidak perlu bimbang mengenainya kerana kemunculan tangga itu adalah perkara biasa. Apabila saya ingin mendekati tangga itu, mereka menghalang dan menegaskan jangan sesekali mendekati tangga itu. Sudahnya, saya abaikan saja bila ternampak tangga itu di tengah hutan. 


Sumber: No Sleep (Reddit)

2 beradik menangis selepas dicabul lelaki pedofilia di Seksyen 19, Petaling Jaya


Dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan sembilan tahun pulang ke rumah dalam keadaan menangis selepas menjadi mangsa lelaki pedofilia, dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu di Seksyen 19, Petaling Jaya.


Menurut ibu mangsa berusia 39 tahun berkata, dia terkejut apabila mendapati dua anaknya itu menangis ketika pulang ke rumah pada jam 9.45 pagi lalu bertanya mengenai apa yang berlaku. 


Salah seorang anaknya memberitahu, mereka telah didatangi oleh lelaki yang tidak dikenali ketika sedang menjual kuih di pangsapuri di kawasan rumah mereka. 


Mangsa mendakwa, suspek menarik tangan mereka secara paksaan sebelum melakukan perkara yang tidak senonoh terhadap mereka. Takut dengan kelakuan lelaki itu, mangsa terus menjerit meminta tolong sebelum melarikan diri. 


Terkejut dengan kejadian yang menimpa dua anaknya itu, wanita berkenaan terus membuat laporan di Balai Polis Sea Park untuk tindakan lanjut. 


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek. Lakaran wajah suspek juga akan diedarkan kepada orang ramai untuk membantu polis mengesan suspek. 


Sumber: Harian Metro

Maut ditikam kerana selalu ejek muka rakan sekerja tak handsome


Seorang lelaki bernama Rendy @ Bagong maut di tangan rakannya sendiri yang dikenali sebagai 'Z', berusia 27 tahun di Deliserdang, Indonesia. Pembunuhan itu berpunca dari tindakan Rendy yang selalu menghina wajah suspek. 


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sunggal, Budiman Simanjuntak berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1.30 petang Sabtu, 19 Jun 2021 di mana pada awalnya suspek dan mangsa yang berkerja di kilang air mineral saling ejek mengejek sehingga menimbulkan rasa sakit hati suspek. 


"Suspek sakit hati kerana selalu dibuli, selalu diejek mukanya buruk membuatkan suspek bertindak mengambil sebilah pisau lalu menikam leher mangsa sebelum melarikan diri.


"Rakan sekerja yang ternampak kejadian itu terus segera menghantar mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, malangnya tidak sempat dan mangsa disahkan meninggal dunia. 


Polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu segera datang ke lokasi untuk memburu suspek yang kemudian berjaya ditahan ketika bersembunyi tidak jauh dari lokasi kejadian.


Ketika ditahan, suspek cuba melawan dan melarikan diri menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke kaki kanannya. 


Setelah diberi rawatan, suspek dan barang bukti sebilah pisau berukuran 13 sentimeter telah dirampas. Suspek akan didakwa dan berdepan dengan hukuman penjara selama 20 tahun. 


Sumber> Tribun Jakarta

'Susah payah aku nak mendapatkan anak, kau simply cakap aku mandul & p******?!' - Bengang dihina & difitnah Zain Rashdan, Elizad Sharifuddin buat laporan polis


Kebiadapan seorang individu yang memuat naik komen berbaur penghinaan dan fitnah terhadap seorang selebriti wanita mengundang padah apabila tuan empunya badan tampil membuat laporan polis hari ini. 


Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 37, membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil pada jam 8.10 malam tadi terhadap pengguna facebook yang menggunakan nama Zain Rashdan yang secara terang dan jelas melemparkan kata-kata tersebut terhadapnya di media sosial. 


Berdasarkan perkongsian Elizad melalui akaun Instagram, Zain telah memuat naik komen tersebut di Facebook Roti Kaya dalam posting bertajuk, 'Usia nak masuk 40 tahun, masih tiada zuriat, doakan saya'. 


Zain dengan beraninya menuduh Elizad mandul, tidak solat, tidak menutup aurat serta mengelarnya sebagai 'p*****k'. Komen Zain itu kemudian disedari oleh ahli keluarga Elizad dan terus memaklumkan kepada pelakon berkenaan sebelum membuat laporan polis. 



"Pertamanya, jarang-jarang aku ni melayan komen-komen 'bodoh' macam ni. Tapi bila kau menggunakan perkataan mandul, it really hurts me so bad. Kau Allah ke? Tahu ke aku ni mandul ke tak? Boleh beranak ke tak?! Menggigil dan terketar tangan ni. Jantung rasa nak tercabut, sedih teramat sangat! Kau suka ke kalau tengok aku ni bercerai berai sebab aku belum ada zuriat?!


"I'm crying while I text this caption. Kau tahu ke aku ni solat ke tak? Pernah bekerjasama dengan aku ke? Bersedekah? Bangun solat malam? Mengaji, pakai telekung, atas sejadah, segala amalan perlu diupload ke?!


"Lain orang lain caranya, I don't need any stupid attention! I'm happy with my life. Dapat anak ke tak, itu kerja Allah. Cuma, no one can say that 'mandul' word to me!. Kau tahu tak aku struggle macam nak mati nak mendapatkan zuriat sendiri?! Hari-hari dalam solat menangis-nangis, minta pada Allah jangan biarkan aku keseorangan tanpa zuriat! Menangis kecewa sebab tak ada peneman umur dah macam ni. 


"Aku ni bertahun berjumpa segala doktor pakar, pergi seluruh pelusuk berubat, cucuk sana sini, sakit tahu tak? Sakit! Yang kau, senang-senang p******kan aku dan cakap aku mandul! Apa aku rasa? Family aku rasa? Orang yang tahu dan nampak je aku bersusah payah berulang alik, tahan sakit nak mendapatkan anak! Kau simply boleh cakap aku mandul dan p******?


"Jarang aku ambil port dan maafkan orang. But not this time. Luluh hati ini, sedih sangat-sangat. Tuhan je tahu. Saya dah buat laporan polis. Zain Rashdan, kau cuit salah orang," katanya. 



Media sosial sepatutnya digunakan dengan cara yang baik dan dimanfaatkan, bukannya untuk disalahguna dengan menyakiti hati orang yang kelak akan memberi kesan. Semoga pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu terbabit. 


Sumber: Instagram Elizad Sharifuddin