Artis lelaki 80-an ditahan kerana disyaki lakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan


Polis menahan seorang artis lelaki tahun 80-an kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan semenjak Ogos 2020. 


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Ab Khalid Othman mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubungan kejadian itu pada 21 Julai 2021. 


Menurut Ab Khalid, kejadian itu membabitkan mangsa berusia 14 tahun di rumah kawan ibunya di sebuah kondominium di Puchong Prima yang membabitkan suspek yang dikenali sebagai 'atok' berusia 65 tahun. 


Dua lagi kejadian amang seksual fizikal dilakukan suspek terhadap mangsa yang masih bersekolah di Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah di Puchong pada Oktober dan November 2020.


"Kedua-dua kejadian itu berlaku di rumah suspek di Puchong. Perkara itu sekali lagi berlaku pada Januari lalu. Disebabkan takut, pengadu hanya mendiamkan diri sebelum ini," katanya. 


Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek pada 21 Julai 2021, tetapi dibebaskan dengan jaminan polis kerana suspek menghidap penyakit jantung. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. 


Sumber: Harian Metro

Remaja dirogol pembekal sate berulang kali, ibu saudaranya tahu tetapi enggan peduli


Seorang remaja berusia 18 tahun tampil membuat laporan polis pada Ahad, 25 Julai 2021, mendakwa dia telah dirogol oleh pembekal sate yang juga merupakan bapa saudaranya. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, mangsa yang kehilangan ibunya sejak berusia 10 tahun telah dijaga oleh ibu saudaranya. 


Berdasarkan laporan yang dibuat mangsa, dia telah dirogol sejak Oktober 2018 di rumah mereka di Alor Gajah. Kejadian itu turut diketahui oleh ibu saudaranya yang juga isteri kepada suspek. 


Difahamkan pada hari kejadian iaitu Oktober jam 5 pagi, mangsa telah dipanggil oleh ibu saudaranya untuk masuk ke bilik dan diperiksa sama ada dia masih dara atau tidak. Selepas itu, wanita berkenaan menyuruh mangsa melakukan hubungan seks dengan suaminya. 


Sejak dari itu, mangsa dirogol berulang kali oleh suspek dan isteri suspek langsung tidak mempedulikan hal itu. Tidak tahan diperlakukan seperti itu, mangsa tampil membuat laporan polis. 


Bertindak di atas laporan tersebut, isteri suspek berusia 37 tahun telah ditahan pada hari yang sama, manakala suaminya berusia 39 tahun ditahan pada 22 Julai jam 6 petang dan direman sehingga 29 Julai untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. 


Sumber: Harian Metro

(Video) 'Kau apahal?! Aku langgar kau ke?! Pu***** kau la!' - Rider Grab Food tak puas hati ditegur langgar lampu isyarat merah


"Kau apa hal?! Sekarang aku tanya kau, aku langgar kau ke?!" jerit seorang lelaki yang juga penghantar makanan tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pemandu membunyikan hon terhadapnya. 


Video berdurasi 50 saat yang viral di media sosial menunjukkan pertengkaran di antara penghantar makanan dengan pemandu kereta dalam kejadian yang berlaku pada jam 4.30 petang (tidak dinyatakan tarikh) persimpangan lampu isyarat berdekatan Impiana Hotel KLCC. 


Menurut pengadu yang dikenali sebagai Joe Azman berkata, ketika dia sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat, lelaki terbabit telah datang dan melanggar lampu isyarat merah. Tindakan lelaki itu membuatkan Joe terus membunyikan hon bagi menegurkan perbuatannya yang tidak bertanggungjawab. 


"Saya menunggu lampu merah dan di sebelah kiri ada bas Rapid KL. Rider motor ini datang mencelah di tengah dan melanggar lampu merah. Saya bunyikan hon sedikit saja kerana dia telah melanggar lampu merah. 


"Setelah dia mendengar bunyi hon kereta saya, dia memberhentikan motosikalnya di hadapan di tengah jalan dan U-Turn untuk menunggu saya. Semasa saya lalu di sebelah, dia mengajak saya bergaduh dan berhenti di tepi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan saya yang menegur kesalahannya. Dia cuba menendang dan membuka pintu kereta saya.


"Di depan Avenue K persimpangan lampu isyarat, saya berhenti dan dia sekali lagi cuba membuka pintu kereta untuk ajak bergaduh. Saya terus pergi ke Balai Polis Jalan Tun Razak dan sekali lagi di depan balai dia halang laluan kereta saya. 


"Selepas saya turun dari kereta untuk membuat laporan polis, dia mengugut saya untuk memadamkan video tersebut. Tetapi saya teruskan dengan membuat laporan," katanya. 



Sumber: Joe Azman

(Video) 'Rina Harun dah tinggalkan majlis' - Polis siasat video viral sekumpulan wanita berjoget di Majlis Bersatu


Tular di media sosial video sekumpulan wanita menari sakan di sebuah dewan tanpa memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan sosial, jelas sekali telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 


Dalam video itu turut menunjukkan wajah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun, pada gambar latar di pentas. 


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, video berdurasi 1 minit 34 saat itu dipercayai berlaku di sebuah dewan di Shah Alam pada April lalu ketika negara sedang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 


Baharudin juga mengesahkan pihaknya menerima satu laporan polis mengenai video tular itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 (Melanggar SOP PKP) yang memperuntukan kompaun sebanyak RM2,000 ke atas individu dan RM10,000 terhadap penganjur jika sabit kesalahan. 



Sementara itu, salah seorang pegawai menteri berkata, Rina telah meninggalkan majlis tersebut (Bersatu) selepas merasmikan majlis itu. Namun pegawai berkenaan tidak pasti sama ada insiden itu berlaku sebelum atau sesudah masjlis. 


"Mungkin sebelum atau sesudah majlis itu. Tapi dia tidak ada ketika perkara itu terjadi. Dia tidak terlibat dalam apa jua keadaan pun," katanya. 


Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini

Remaja buat content TikTok 'Challenge Malaikat Maut' mati dilanggar lori


Baru-baru ini viral video di media sosial Indonesia menunjukkan sekumpulan remaja lelaki sanggup membahayakan diri dengan melakukan 'Challenge Malaikat Maut' yang sedang trending aplikasi TikTok. 


Bagi mereka yang menyertai cabaran itu, mereka perlu berdiri di laluan kenderaan yang sedang bergerak dalam percubaan melakukan prank terhadap pemandunya sebelum segera beralih bagi mengelakkan diri dilanggar. 


Cabaran itu dianggap berjaya sekiranya kenderaan tersebut sempat berhenti tanpa menyebabkan kemalangan jiwa. Namun, perbuatan itu jelas sekali berbahaya dan dalam kejadian yang berlaku pada 11 Julai 2021 seorang remaja lelaki maut ketika melakukan cabaran tersebut di Daerah Cikarang Utara, Bekasi.


Lapor CNN Indonesia, sekumpulan remaja lelaki telah menyertai cabaran itu. Malangnya pemandu lori tidak sempat menghentikan kenderaannya lalu melanggar tiga daripada lapan remaja yang terlibat. Salah seorang mangsa berusia 13 tahun yang dikenali sebagai FA maut di tempat kejadian, manakala salah seorang lagi mengalami kecederaan parah dan sedang menjalani rawatan di hospital. 


Ketua Polis Trafik Bekasi, Komisioner Argo Wiyono berkata, siasatan awal mendapati ini bukan kali pertama mangsa melakukan aksi berbahaya itu semata-mata untuk menarik perhatian netizen di media sosial. Salah seorang rakannya berkata, FA kerap melakukan content seperti itu kerana mahu videonya viral dan menjadi popular. 


Polis juga telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut, termasuk mengesan pemandu lori terbabit. Argo berkata, pemandu lori itu adalah suspek dalam kes tersebut kerana dia bertindak melarikan diri selepas kejadian itu. 


Sementara itu, Pakar Psikologi, Rose Mini agoes Salim berkata, ibu bapa dan orang dewasa perlu memahami mengapa remaja sanggup melakukan perbuatan berbahaya itu. Kecenderungan remaja untuk melakukan cabaran berbahaya seperti itu adalah untuk memenuhi keperluan identiti diri. 


"Secara psikologi, remaja ini mencari identiti diri. Jadi mereka akan mencari tempat untuk menunjukkan kewujudan mereka," katanya.


Selain itu, Romi percaya remaja yang melakukan cabaran berbahaya seperti itu tidak begitu cemerlang dalam bidang akademik dan cuba berusaha untuk membuktikan keberadaan mereka dengan melakukan perkara berbahaya. 


Sumber: CNN Indonesia