'Biar kebenaran?! Ini mesti angkara Adudu' - Papa Zola digugurkan dari filem BoboiBoy akan datang


Animonsta Studio semalam mengumumkan tiada lagi kemunculan watak Papa Zola dalam filem BoboiBoy akan datang, selepas pihaknya meneliti pandangan orang ramai. 


Pengarah dan juga pengasas Animonsta Studios, Mohd Nizam Bin Abdul Razak membuat pengumuman 'berita sedih' itu melalui Facebooknya jam 2.12 petang Selasa, 16 November 2021. 


"Selepas membaca komen dan feedback anda semua, confirm Papa Zola akan digugurkan dari filem BoboiBoy akan datang. Idea untuk fusionkan Papa Zola dan Gopal pun tidak diterima. Papablo Esgopal is sad," katanya yang turut menyertakan gambar-gambar sedih Papa Zola, mengundang pelbagai reaksi para peminat animasi popular itu. 


Menurut Nizam, walaupun Papa Zola tidak akan muncul dalam filem BoboiBoy akan datang, ia tidak bermakna kebenaran akan terpadam buat selamanya. Sebaliknya Papa Zola akan terus beraksi dalam siri Papa Pipi dan beberapa lagi perancangan pihaknya. 


Difahamkan, kemunculan watak Papa Zola ini ketika dia sedang memandu dari Jitra ke Shah Alam di mana dia mahu mewujudkan watak baru dalam siri BoboiBoy. 


"Saya fikir nak cipta watak yang bengong tetapi masih masuk akal. Watak yang bercakap benar tetapi juga selalu mengelat. watak yang dibenci tetapi juga akan disayangi. 


"Maka lahirlah idea figura mentor masuk air untuk BoboiBoy, Papa Zola dengan tagline kebenaran," katanya. 


Sementara itu diruangan komen, ada netizen yang menganggap ketiadaan Papa Zola di filem akan datang adalah konspirasi dari Adudu, watak jahat dalam BoboiBoy. Namun, Nizam berkata kemungkinan Adudu juga akan digugurkan. 


Sumber: Facebook BoboiBoy, Nizam Abd Razak

'Saya akui itu memang saya, tak perlu tahu siapa lelaki itu' - Baby Shima tampil beri penjelasan mengenai gambar viral


Tular di media sosial gambar penyanyi dangdut Baby Shima atau nama sebenar, Nor Ashima Ramli, 28, mengunjungi pusat hiburan bersama seorang lelaki di ibu kota. 


Menurut laporan Harian Metro, gambar tular itu seperti menampakkan penyanyi berkenaan sedang mencium lelaki tersebut yang sedang memegang gelas minuman. 


Terkejut akan penularan gambar itu, tuan empunya badan tampil memberi penjelasan tetapi enggan mengulas lebih lanjut mengenai identiti pasangannya. 


"Saya akui itu memang saya. Namun, saya minta maaf kerana tak dapat mengulas lanjut. Tak perlulah saya beritahu siapa lelaki itu. Untuk apa? Kerana tiada kepentingan pun untuk diberitahu. 



"Yang penting segala perbuatan saya bukan babitkan orang lain dan bukan ganggu orang lain. Saya tak kacau orang. Saya juga tak pernah terlintas nak cetuskan kontroversi. Saya hanya buat kerja sebagai penghibur dan netizen yang memandangnya dari sudut lain. 


"Saya akui kadang-kadang sedih kerana kecaman yang diterima agak keterlaluan sehingga membabitkan dosa dan pahala," katanya. 


Dua hari yang lalu di Instagram, Baby Shima meluahkan rasa kesal ramai yang membenci dirinya sedangkan dia tidak pernah menimbulkan masalah dengan orang lain. 


"Shima tak pernah kacau orang lain, rumah tangga orang, keluarga orang, minta duit mak ayah korang, tak pernah. Terus terang Shima cakap Shima dah tak kuat dengan apa yang Shima dah lalui sekarang. Boleh tak korang rasakan apa yang Shima rasa?" tulisnya.



Ramai rakan-rakan artis yang meninggalkan komen meminta dia bersabar dengan segala dugaan dan cabaran, serta usah terlalu memikirkan apa yang netizen katakan. 


Dalam posting terbaru, Baby Shima memuat naik gambar ubat penenang yang dipercayai diambil untuk menenangkan dirinya dari segala kekusutan. 



Sumber: Harian Metro, Instagram Baby Shima

'Caj ikan siakap RM1,196.80 hanya salah faham, ia bukan isu besar' - Exco Pelancongan Kedah


Beberapa minggu yang lalu, media sosial dihebohkan dengan isu caj harga hidangan ikan Siakap yang mencecah ribuan ringgit di sebuah restoran terapung di Langkawi, mengundang pelbagai reaksi netizen. 


Susulan dari pendedahan itu, beberapa individu lain turut tampil mendakwa pernah dikenakan caj mahal di restoran yang sama. Hal ini menarik perhatian pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan menuntut penjelasan dari pihak pengusaha restoran berkenaan. 


Dalam perkembangan terkini, Exco Pelancongan Negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad menjelaskan, apa yang berlaku di antara pengusah restoran dan pelanggan sehingga mengenakan caj RM1,196.80 itu sebenarnya adalah salah faham. 


Kejadian itu katanya, tidak menggambarkan keadaan sebenar pulau peranginan kerana harga makanan terutamanya hasil laut secara keseluruhan tidaklah terlalu mahal. Beliau juga meminta orang ramai terutamanya pelancong tidak membuat tanggapan kononnya harga makanan di Langkawi adalah lebh mahal berbanding di tanah besar, sedangkan ada banyak kedai lain yang menjual hidangan pada harga yang terkawal. 


"Pihak kami difahamkan, ikan ditempah pelanggan bersaiz besar, saya harap isu ini tidak ditimbulkan lagi sebab ia bukan isu besar. 


"Restoran juga beri penjelasan mengatakan ikan itu adalah ikan pameran seberat tujuh kilogram, dijual RM16 bagi 100 gram dan harganya sudah diberitahu terlebih dahulu," katanya. 


Justeru, Mohd Firdaus berharap kejadian seumpama ini tidak akan berlaku lagi di mana peniaga dan pelanggan perlu mencapai persefahaman sebelum urusan jual beli dilaksanakan bagi menghormati hak masing-masing. 


Sumber: Harian Metro

'Saya hanya mampu tengok anak-anak tergolek seorang demi seorang' - 9 sekeluarga alami keracunan selepas makan cendawan liar


Sembilan beranak mengalami keracunan selepas menikmati sayur cendawan goreng selepas kurang sejam menjamah makanan tersebut dalam kejadian Isnin lalu di Kampung Nyiur, Dungun, Terengganu. 


Ibu kepada lapan anak berkenaan, Nurul Musfirah Ghazali, 32, berkata, dia memetik cendawan yang tumbuh di kebun sekitar rumahnya tanpa mengetahui spesis cendawan itu sebenarnya beracun. 


Cendawan itu kemudian digoreng bersama sayur kangkung dan kacang untuk dimakan pada waktu tengah hari oleh mereka sekeluarga. Malangnya, kurang dari sejam kesemua mereka mengalami keracunan. 


"Tidak sampai sejam, saya rasa seperti ada yang tidak kena. Terasa seolah-olah hendak terbakar di dalam perut. Rasa panas semacam dan pada masa sama saya muntah berdarah termasuklah suami, Muhammad Nurhadi, 36. 


"Dalam keadaan tidak bermaya, kami hanya mampu melihat seorang demi seorang anak tergolek. Ada yang mulut berbuih dan keluar darah. Allah saja yang tahu perasaan saya pada masa itu," katanya. 


Walaupun dalam keadaan lemah, suaminya bangkit menggagahkan diri untuk membawa mereka sekeluarga ke Klinik Kesihatan Paka untuk mendapatkan bantuan dengan menaiki van yang dipandunya sendiri. 


Difahamkan, lauk cendawan beracun itu dijamah oleh mereka sekeluarga kecuali anak bongsu berusia setahun sebulan. 


Sebelum ini, Nurul Musfirah mengakui pernah ternampak spesis cendawan itu tumbuh di kebun sayurnya tetapi tidak pernah terlintas di fikiran untuk memetiknya sehinggalah pada hari kejadian dia tanpa ragu-ragu memetik tumbuhan itu untuk dimasak. 


Terdahulu, kakak kepada mangsa, Nurul Annisa Ghazali, 41, sempat memuat naik perkongsian mengenai kejadian yang tidak diduga itu di Facebooknya. 


"Semua dah lembbik. Adik saya hanya mampu melihat anak-anaknya tergolek menahan kesakitan. Dirinya sendiri sudah tidak berdaya. Hanya empat kuntum cendawan, racunnya merebak begitu cepat. 


"Perut mereka terasa panas dan terbakar. Isi perut dimuntahkan terus sehingga tiada apa lagi makanan. Akhirnya dimuntahkan pula darah, dengan buih-buih di mulut mereka. Allahu Rabbi. 


"Di Hospital Dungun, mereka muntah tak henti-henti. Seorang-seorang pergi ke tandas hospital. Keadaan mereka kritikal. Beberapa jam kemudian, mereka semua dilaporkan telah stabil dan dimasukkan ke wad," katanya. 


Sehari selepas kejadian itu, Nurul dan keluarganya pergi ke rumah adiknya untuk melihat sendiri cendawan yang dipetik dan menasihatkan orang ramai mengambil iktibar dari apa yang berlaku serta tidak makan tumbuhan yang tidak diketahui kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan.


Sumber: Sinar Harian, Facebook Nurul

Kluster pendidikan & tempat kerja menunjukkan trend peningkatan ketara - KKM


Sejak 6 November 2021, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan berlakunya trend peningkatan kes baharu Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan (Rt). 


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi itu membimbangkan kerana peningkatan kes harian dan nilai Rt meningkat dari 0.96 ke 1.05 sejak 1 November 2021, menggambarkan potensi penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat serta risiko pendedahan lebih tinggi untuk dijangkiti. 


"Kes baharu menunjukkan peningkatan 11 peratus iaitu daripada 35,303 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 kepada 39,181 kes (ME ke-45), namun purata kes aktif menurun 5.0 peratus daripada 65,573 kes (ME ke-44) kepada 62,224 kes (ME ke-45).


"Kes kematian turut menurun 1.3 peratus iaitu 380 kes (ME ke-44) kepada 375 kes (ME ke-45) manakala purata kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menurun 2.0 peratus dan kes memerlukan bantuan pernafasan menurun 13.2 peratus," katanya.


Dr Noor Hisham berkata, secara amnya, kadar penggunaan fasiliti kesihatan seperti katil wad biasa dan katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) didapati semakin menurun selaras dengan peningkatan liputan vaksin.


Beliau berkata, bilangan pesakit dirawat di fasiliti kesihatan kian meningkat berbanding ME ke-44, walaupun kategori pesakit satu dan dua tidak menunjukkan perubahan ketara kerana bilangan pesakit kategori tiga hingga lima didapati semakin meningkat.


"Peningkatan dalam kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima membabitkan hampir semua negeri kecuali Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor.


"Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian supaya tindakan awal dapat diambil bagi mengatasi situasi katil hospital kembali sesak," katanya.


Mengenai kluster Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kini 5,840 kluster dan hanya 278 kluster masih aktif iaitu penurunan sebanyak 17.0 peratus berbanding ME ke-44.


Beliau berkata, kewujudan kluster tempat kerja yang sebelum ini mencatatkan trend penurunan sejak ME ke-37 kini mulai meningkat semula pada ME ke-45 selari dengan pergerakan rentas negeri dan pembukaan semula sektor ekonomi.


"Dominasi kluster tempat kerja dijangka akan terus meningkat sekiranya pematuhan kepada langkah pencegahan tidak dipraktikkan majikan terhadap pekerja mereka.


"Menjadi tanggungjawab majikan memastikan amalan pencegahan digariskan dalam prosedur operasi standard (SOP) pembukaan ekonomi diamalkan sepenuhnya.


"Kluster pendidikan turut menunjukkan peningkatan ketara berbanding minggu sebelumnya berikutan penambahan negeri memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membolehkan sesi persekolahan dilaksanakan secara bersemuka," katanya.


Sumber: Harian Metro