(Video) Rider lawan arus terbabit kemalangan, mangsa alami pendarahan otak, kaki & rusuk patah


Seorang lelaki yang menunggang motosikal secara melawan arus di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) kelmarin, mengalami kecederaan parah selepas bertembung dengan motosikal lain.


Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 6.45 petang dan akibat dari kejadian itu, mangsa berusia 40 tahun mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan pendarahan dalam otak. 


Siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal Modenas Kriss dari arah Krubong ke Sungai Udang secara melawan arus. Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai telah melawan arus dari kiri jalan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa kedua yang dalam perjalanan menuju ke bandar raya Melaka. 


Penunggang motosikal Suzuki Panther yang ketika itu sedang laju gagal mengelak mangsa berikutan lampu isyarat di laluannya ketika itu berwarna hijau. 



Impak dari pertembungan kuat itu, kaki dan rusuk kanan mangsa patah dan mengalami pendarahan otak. Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Melaka. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Sumber: Kosmo! Online, Info Roadblock JPJ/POLIS

(Video) 'Berdarah mat.. tengok nombor plat' - Pemandu InDriver cedera disamun penumpang gempal


Seorang pemandu e-hailing mengalami kecederaan teruk selepas disamun oleh penumpangnya dalam kejadian yang berlaku di kawasan Sentul, semalam. 


Menurut sumber, pemandu InDriver itu terdahulu menerima satu tempahan melalui aplikasi e-hailing dari Putrajaya ke Sentul. Tiba di destinasi, penumpang yang juga suspek menyatakan dia tidak mempunyai wang dan mahu membuat pembayaran secara online. 


Secara tiba-tiba suspek mengeluarkan pisau lalu menyerang mangsa. Mangsa cuba melawan dan mempertahankan diri, tetapi mengalami kecederaan semasa bergelut dengan suspek. 


"Kenderaan mangsa dilarikan suspek dan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan," kata sumber. 


Kejadian itu sempat dirakam orang awam dan ditularkan di media sosial. Video menunjukkan mangsa mengalami pendarahan di bahagian leher kiri diserang oleh suspek yang berusia lingkungan 30-an.



Sumber: Alert 4896 Community

(Video) 'Elok time nak masuk lif, ditarik baju uncle tu dari belakang tak bagi masuk' - Netizen selar tindakan bodyguard Zahid Hamidi berkasar dengan rakyat marhaen


Tular di media sosial semalam video seorang lelaki dianggarkan berusia 50-an ditarik dengan kasar oleh pengawal peribadi Presiden UMNO Zahid Hamidi, mengundang kemarahan netizen. 


Dalam video berdurasi 35 saat itu menunjukkan, Zahid dan beberapa orang kanannya serta penyokongnya hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. 


Namun ketika mahu memasuki lif, lelaki berbaju merah kotak telah ditarik oleh lelaki yang dipercayai pengawal peribadi Zahid dan dihalang dari masuk ke lif tersebut sebelum mereka yang lain masuk tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan penjarakan sosial. 



Tindakan pengawal peribadi itu menimbulkan rasa tidak puas hati netizen yang menyifatkan layanan yang dikenakan terhadap lelaki berkenaan keterlaluan. 


"YB datang kita salam. Elok time nak masuk lif, dihalaunya kita keluar. Tinggal geng-geng YB je boleh masuk. Kita? Sambunglah menunggu lagi. Uncle baju kotak-kotak merah itu dilayan seperti mana dirasakan layak oleh Zahid dan konco-konconya," kata Ayah Chik - @gwasteady. 


"Aku tak reti pasal undang-undang. Can that unlce charge those two yang tarik leher uncle tu? Menyirap tengok," kata Haziq - @HazirProperty


"Jangan marah-marah wahai rakyat semua. Kita kena terima kenyataan. SOP hanya untuk rakyat marhaen sahaja. Covid juga tuju hanya rakyat marhaen sahaja. Ada satu lapisan memisahkan kita dengna orang berpangkat dan berduit banyak," kata Hahahanat - @hahahihihanat


"Ikut giliran la. Orang lain tunggu depan lif, kau datang terus masuk. Nak ajar adab, dah tua. Takkan tak tahu hormat orang lain? Nak rakyat hormat tapi diri sendiri tak hormat orang lain. Pangkat is nothinglah," kata Hairplace - @hairplacemy



Bagaimanapun ada netizen menjelaskan bahawa sememangnya kerja pengawal peribadi seperti itu. Walaupun kelihatan kasar, tetapi adalah tanggungjawab mereka untuk melindungi orang kenamaan. 


"Bodyguard itu hanya menjalankan tugasnya melindungi VVIP. Adalah tanggungjawabnya untuk menghalang orang yang tidak dikenali secara tiba-tiba mengekori VVIP biarpun terpaksa menggunakan cara kasar," kata Teahrahman. 


Walau apa pun alasannya, netizen tetap berpendirian bahawa tindakan kasar itu tidak perlu. Sebaliknya pengawal peribadi berkenaan boleh sahaja memberitahu lelaki itu dengan cara yang baik. 


Sumber: Twitter Melissa Goh (wartawan Channel News Asia)

'Aktiviti pembalakan bagus untuk populasi harimau' - Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan


7 Januari 2022, media melaporkan seorang lelaki Orang Asli berusia 59 tahun maut dibaham harimau di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan. Beberapa hari kemudian, dua haiwan pemangsa itu pula dilaporkan muncul di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai menyebabkan sesi pembelajaran bersemuka terpaksa ditangguhkan. 


Hal ini menimbulkan kebimbangan para penduduk terutamanya penduduk di perkampungan Orang Asli yang juga mendakwa kehadiran haiwan tersebut adalah berpunca daripada aktiviti pembalakan berleluasa di negeri itu sehingga menyebabkan harimau kehilangan habitat. 


Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah semalam berkata, aktiviti pembalakan tidak akan menjejaskan populasi harimau, sebaliknya bagus untuk haiwan berkenaan.


Walaupun sedar bahawa kenyataannya itu akan menyebabkan dirinya dikecam ramai, namun dia menegaskan pendapatnya itu adalah berdasarkan kajian dari pakar dari Sarawak yang menyatakan bahawa aktiviti pembalakan akan menyebabkan tumbuhnya tumbuhan baru mengalakkan kehadiran spesis haiwan yang menjadi makanan kepada harimau. 


"Berdasarkan fakta kajian oleh pakar, kawasan-kawasan selepas pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau. Populasi harimau akan lebih tinggi, apabila berlaku pembalakan kawasan itu akan ditumbuhi anak pokok. Jadi, kawasan itu akan dihadiri haiwan seperti kancil yang menjadi makanan harimau. Ia akan memudahkan harimau memburu mangsanya. 


"Tetapi dalam hutan simpan, susah untuk harimau tangkap (mangsa berikutan tumbuh-tumbuhan tinggi)," katanya memetik laporan dari MalaysiaKini 24 Januari 2022. 


Tambahnya lagi, JPNK sentiasa patuh dengan catuan tebangan tahunan (CTT) yang ditentukan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) dan aktiviti pembalakan hanya berlaku di kawasan hutan simpan pengeluaran (bukan di hutan simpan perlindungan) yang membabitkan keluasan 3,9000 hektar setahun.


Sumber: MalaysiaKini

Pelajar Form 4 dibelasah 10 senior sebab minat pelajar perempuan yang sama


Gara-gara meminati pelajar perempuan yang sama, seorang pelajar lelaki tingkatan empat dibelasah sekumpulan pelajar senior sehingga cedera dalam kejadian yang berlaku di sebuah asrama sekolah daerah Melaka Tengah pada Sabtu lalu. 


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu berlaku pada jam 2 pagi di mana mangsa dipanggil berjumpa dengan pelajar tingkatan lima di sebuah bilik asrama. 


Ketika berada di bilik tersebut, mangsa dikelilingi 10 pelajar senior yang kemudian bertanya mengenai rokok elektronik. Tidak berpuas hati dengan jawapan yang dberi, mereka membelasah mangsa beramai-ramai. 


Siasatan awal mendapati, punca sebenar kejadian itu adalah disebabkan pelajar senior tidak berpuas hati dengan mangsa yang turut meminati pelajar perempuan yang sama. 


Kejadian itu diketahui oleh abang mangsa berusia 27 tahun. Kesal dan kecewa dengan insiden yang menimpa adiknya, dia membuat laporan polis pada jam 5.15 petang semalam. 


Bertindak di atas laporan tersebut, polis telah memanggil 10 pelajar senior yang terlibat dalam kejadian itu untuk diambil keterangan. Tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro