3 lelaki Afrika cuba masuk ke Dubai dengan menyamar menjadi wanita Arab


Baru-baru ini pihak berkuasa Algeria menahan tiga lelaki warganegara Afrika kerana menyamar sebagai wanita Arab untuk masuk ke Dubai. 


Tiga suspek terbabit dilihat memakai alat solek untuk memutihkan bahagian atas muka dan bahagian mulut ditutup dengan purdah. Malangnya, helah itu gagal kerana pegawai di sempadan berasa curiga melihat solekan dan cara pemakaian purdah suspek yang tidak betul. 


Menurut stesen berita Afrika Selatan, Kaya 959, tiga suspek itu cuba memasuki Dubai dengan harapan dapat mempunyai pekerjaan yang baik dan sekali gus mengubah kehidupan mereka. Malangnya, rancangan itu gagal. Tidak diketahui hukuman apa yang dikenakan terhadap mereka, tetapi berkemungkinan besar mereka akan dihantar semula ke negara asal. 


Gambar suspek tular di media sosial dan turut menjadi bahan berita media di Arab dan Afrika Selatan hampir seminggu. Walaupun ada yang mengatakan perbuatan suspek memalukan, tidak kurang juga yang memuji kemahiran mereka bersolek. 


Turut dipersoalkan status warganegara suspek. Ada yang mendakwa mereka berasal dari Nigeria, manakala yang lain mengatakan suspek berasal dari Mali. 


Tahun lalu, seorang lelaki Afrika sanggup menyamar menjadi wanita semata-mata mahu membantu teman wanitanya menjawab soalan peperiksaan. Khadim Mboup, 22, berjaya memperdaya pihak fakulti selama tiga hari. Sehinggalah salah seorang pengawas peperiksaan berasa curiga dengan Khadim dan akhirnya penyamarannya terbongkar. 


Khadim dan teman wanitanya ditahan dan didakwa melakukan penipuan dalam peperiksaan. Akibatnya, pasangan itu diharamkan dengan menduduki sebarang peperiksaan selama lima tahun. 


Sumber: Oddity Central 

'Saya nak saman taska ini!' - Ibu kesal anaknya berusia 2 tahun ditinggalkan dalam taska gelap hanya kerana dia terlewat menjemputnya


FLORIDA - Seorang ibu terkejut apabila menemui anak perempuan berusia dua tahun bersendirian dan dikurung dalam bilik gelap di taska selepas dia terlambat beberapa minit untuk menjemput anaknya.


Stephanie Martinez nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap Plantation KinderCare kerana meninggalkan anak perempunanya, Anastasia, bersendirian di dalam bilik gelap, berdiri di atas kerusi dan menangis. 


Pada hari kejadian, Martinez terpaksa menghubungi talian kecemasan 911 untuk meminta bantuan dan dia dapat bertemu semula dengan anaknya selepas bomba datang membuka pintu taska. 


"Dia menangis, dia bersendirian di dalam bilik itu," kata Martinez ketika memberitahu operator talian 911 dalam video yang dirakamnya sendiri sebaik saja mendapati Anastasia bersendirian di dalam bilik tersebut. 


Pembantu pengarah pusat jagaan, Nichole Burrillo memberitahu polis bahawa dia dan Lucilena Vaggiano (guru) adalah kakitangan terakhir yang berada di taska dan bertanggungjawab menutup pintu. 


Burrillo berkata, Vaggiano menggunakan tablet untuk memeriksa semua kanak-kanak sebelum menutup taska pada jam 6 petang. Namun kebiasaannya ada kakitangan yang masih berada di situ kerana ada ibu bapa yang selalu lewat menjemput anak mereka pulang. 


Burrillo dan Vaggiano keluar dari premis itu kira-kira jam 6.20 petang. Martinez tiba di taska pada jam 6.28 petang dan tidak menerima panggilan dari pihak taska yang memaklumkan Anastasia masih berada di situ. 


Kedua-dua kakitangan terbabit kini diarahkan bercuti buat sementara waktu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. KinderCare juga mengesahkan kejadian tersebut kepada media tempatan. 



"Ini adalah pengalaman paling buruk. Rasa tak berdaya dan tak dapat buat apa-apa untuk menenangkan dia. Anastasia pasti tertekan dan menangis sepanjang masa dia berada di sana seorang diri. 


"Tiada sesiapa yang patut melalui kejadian ini. Kita bayar dan berikan kepercayaan tetapi mereka musnahkan begitu saja. Saya tak tahu nak kata apa dan saya masih terkejut dengan kejadian yang menimpa anak saya," katanya. 


Martinez nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat penjagaan itu agar kejadian seumpama itu tidak akan berulang kepada kanak-kanak lain. 


Sumber: Daily Mail

Polis buru pasangan rakus makan 12 ketul burger berharga RM989 tapi tak nak bayar


Polis Britain sedang memburu 'pasangan paling rakus' yang memesan 12 burger, tetapi enggan membayar hidangan tersebut dengan alasan mereka telah berjaya melakukan 'eating challenge'. 


Siasatan awal mendapati, pasangan itu masuk ke premis 'Bite Me Burger' di Marlborough di Wiltshire dan bertanya sama ada mereka boleh melakukan 'eating challenge' tersebut. 


Difahamkan, restoran itu membuat 'eating challenge di mana pelanggan boleh mencuba makan sedozen burger dalam masa enam minit - secara percuma sekiranya mereka dapat menghabiskan hidangan itu tepat pada masanya. 


Namun kakitangan restoran menjelaskan kepada pasangan itu bahawa, 'eating challenge' itu tidak tersedia kerana ia perlu ditempah terlebih dahulu. 


Pasangan itu kemudian memesan 12 burger dan berjaya menghabiskannya. Tetapi mereka enggan membayar hidangan tersebut atas alasan berjaya menyelesaikan cabaran itu. 


Polis Marlborough kini telah mengeluarkan imej CCTV yang menunjukkan wajah pasangan terbabit agar mereka tampil membantu siasatan berhubung insiden yang berlaku pada 5 Februari itu. Polis turut mengklasifikasikan kejadian yang berlaku di restoran Bite Me Burger itu sebagai kes kecurian. 



Pemilik restoran, Simon Wetton berkata, pasangan itu berhutang sebanyak £174 atau RM989.29. 


"Kami membuat cabaran makan 12 burger dalam masa enam minit. Kalau pelanggan berjaya, maka kami akan menanggung bilnya. Tetapi untuk melakukan cabaran itu, ia perlulah diatur terlebih dahulu kerana kita perlukan masa untuk menyediakannya. 


"Pasangan itu kata, mereka mahu melakukan cabaran itu pada malam Sabtu. Tetapi kami sangat sibuk dan tidak mempunyai masa untuk menyediakannya, jadi kami maklumkan cabaran itu tidak dapat dilakukan pada waktu itu. 


"Mereka tetap memesan 12 burger untuk menyahut cabaran tersebut dan kami jelaskan itu tidak praktikal. Apabila selesai, mereka tidak mahu membayar 12 burger yang dipesan atas alasan mereka berjaya melakukan cabaran tersebut dalam masa enam minit. 


"Kakitangan kami sekali lagi menjelaskan bahawa, perkara itu harus ditetapkan oleh kami. Mereka bertengkar dengan kakitangan kami dan menuntut mahu berjumpa dengan pengurus. Apabila pengurus tiba, mereka pula sudah beredar. 



"Jadi saya menelefon mereka dan menjelaskan bahawa mereka berhutang dengan kami dan sila bayar. Tetapi mereka enggan dan mengugut mahu memburukkan restoran ini di media sosial sebelum menamatkan panggilan. 


"Apabila saya semak rakaman kamera litar tertutup (CCTV), jelas sekali mereka tidak menghabiskan burger itu dalam tempoh enam minit walaupun cabaran itu dibuat tanpa melalui kami," katanya. 


Justeru, Wetton membuat laporan polis dan bertindak di atas laporan itu, polis telah membuka kertas siasatan serta mengklasifikasikan kes itu ssebagai kecurian.


Sumber: Daily Mail

Lelaki rogol mayat pesara jururawat berusia 64 tahun yang dilanggarnya sampai mati


MICHIGAN: Seorang lelaki berusia 29 tahun didakwa di mahkamah atas pertuduhan dengan sengaja membunuh pesara jururawat berusia 64 tahun, agar dia dapat melakukan hubungan seks dengan mayat mangsa. 


Colby Martin pada mulanya didakwa melanggar Melody Rohrer dengan keretanya pada 20 September 2021 sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke lokasi lain. 


Bagaimanapun, pendakwa raya meminda pertuduhan itu kepada pertuduhan membunuh selepas penyiasat mendedahkan Martin ada melakukan pencarian pornografi berkaitan nektrofilia, sejurus selepas kematian Rohrer. Penyiasat juga berjaya mengesan DNA Rohrer pada kondom yang ditemui dalam kereta Marin serta dalam tong sampah berhampiran rumahnya. 


Terdahulu Rohrer dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas mangsa tidak pulang dari rutin hariannya iaitu berjalan kaki setiap hari di luar Tapak Perkhemahan Oak Shores. 


Pemeriksaan di sekeliling kawasan yang biasa dilalui oleh mangsa, pihak penyiasat menemui beberapa barang miliknya dan juga kesan tergelincir yang menunjukkan mangsa dilanggar oleh kenderaan," kata Syerif Daerah Van Buren Dan Abbot. 


Martin didakwa melanggar Rohrer dengan keretanya dan melarikan beberapa barang serta telefon bimbit mangsa, yang berjaya dikesan polis pada keesokan hari di tempat letak kereta Walmart, Oshtemo. 


Ketika ditahan, Martin masih menggunakan kereta yang sama, Ford F-150 keluaran 2013 dengan kesan kerosakan teruk di bahagian hadapan. Setelah disoal siasat, Martin membawa polis ke lokasi mayat Rohrer dan ke lokasi kedua di mana dia melakukan perbuatan seksual dengan mayat mangsa. 


Martin yang didakwa atas tuduhan membunuh dengan kenderaan bermotor, gagal berhenti di lokasi kemalangan yang mengakibatkan kematian dan menyembunyikan mayat mangsa, dibebaskan dengan ikat jamin $300,000. 


Semasa perbicaraan terbaru, penyiasat mendedahkan bahawa semakan data sejarah pencarian Martin menunjukkan dia pernah mencari pornografi yang melibatkan wanita yang sudah mati atau tidak sedarkan diri, sejurus selepas Rohrer dilaporkan hilang. 


Hakim Mahkamah Daerah Van Buren, Michael Cay menafikan ikat jamin untuk Martin yang kini ditahan di Penjara Daerah Van Buren. Peguam Martin, Jim Mequio berkata, dakwaan itu tidak sepatutnya membenarkan pertuduhan baharu dibuat dan pihaknya kini sedang menunggu laporan serta lebih banyak bukti daripada pejabat pendakwa raya.  

Wanita dilaporkan hilang sejak 2019, rupa-rupanya berkahwin dengan lelaki berusia 60-an & tinggal di Pasir Mas


November 2019, seorang wanita dari Kota Bharu, Kelantan, mendakwa dia mendapat tawaran bekerja di Putrajaya. Wanita berusia 26 tahun itu kemudian dihantar oleh bapanya ke bas stesen untuk menaiki bas ekspres ke pusat pentadbiran kerajaan itu. 


Bagaimanapun, wanita itu terus menghilangkan diri dan gagal dihubungi. Bimbang dengan keselamatan wanita berkenaan, ahli keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Ketereh pada tahun yang sama. 


Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, ahli keluarganya hanya berjaya menghubunginya sekali sahaja dalam tempoh itu dan gagal dikesan selepas itu. 


Bapanya pernah pergi ke Putrajaya untuk mencari anaknya, tetapi dia dimaklumkan anaknya tidak pernah datang ke premis tersebut. 


Hasil maklumat dan risikan yang dibuat, wanita itu berjaya ditemui di sebuah rumah di Kampung Perupuk, Pasir Mas, yang dihuni bersama pasangan suami isteri berusia 60-an. 


Difahamkan, wanita berkenaan berkenalan dengan lelaki warga emas itu sebelum menghilangkan diri tiga tahun lalu. Apabila pihak berkuasa pergi menjemputnya, lelaki warga emas itu tiada di rumah, hanya wanita yang dipercayai isterinya sahaja berada di rumah bersama dengan mangsa. 


Ketika disoal siasat, mangsa mendakwa dia sudah berkahwin dengan lelaki berusia 60-an itu dan mereka berkahwin di Thailand hampir tiga tahun lalu. 


"Pada masa sama, wanita terbabit turut mendakwa tinggal di beberapa lokasi di Kelantan sebelum ini termasuk di Kuala Krai dan Pasir Mas sebelum ditemui pihak polis," katanya. 


Keadaan mangsa masih belum stabil dan polis tidak mahu menekannya untuk mendapatkan keterangan mengenai apa sebenarnya yang berlaku terhadapnya dalam tempoh tiga tahun kehilangannya.


Polis kini sedang giat mengesan pasangan warga emas terbabit yang dipercayai telah menghilangkan diri. 


Sumber: Harian Metro