Kerap mabuk, buat bising, Imigresen cekup sekumpulan warga Afrika

Foto Jabatan Imigresen Malaysia


Jabatan Imigresen malam tadi membuat serbuan di Taman Puchong Prima susulan mendapat banyak aduan dari penduduk setempat mengenai kehadiran sekumpulan warga asing dalam keadaan mabuk dan membuat bising di sebuah restoran berhampiran. 


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, penduduk membuat aduan berhubung kehadiran warga Afrika itu sejak dua bulan lalu. 


Seramai 58 individu yang membabitkan 20 individu tempatan dan 20 warga asing telah diperiksa dalam operasi yang dilakukan pada jam 8.15 malam Khamis.


Hasil dari pemeriksaan, 38 warga asing termasuk 25 warga Afrika telah ditahan. 24 daripadanya merupakan warga Nigeria termasuk enam kanak-kanak dan seorang wanita warga Guinea. 


Selain itu, 10 wanita warga Thailand dan tiga wanita warga Indonesia berusia 20 hingga 40 tahun turut ditahan. Semakan mendapati, kesemua warga asing berkenaan tidak mempunyai pasport. 


Penduduk sebelum ini membuat aduan, sekumpulan warga Afrika selalu melepak di restoran berkenaan sehingga mabuk dan membuat bising serta memandu secara melulu yang menimbulkan kebimbangan penduduk di kawasan itu. 


Bimbang keadaan menjadi semakin teruk, penduduk membuat aduan kepada Jabatan Imigresen. Kesemua warga asing berkenaan telah ditahan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. 


Sumber: Harian Metro

Ramai pengguna tak puas hati, Ayam Gunting naik harga RM9



Menjelang endemik, tidak dinafikan ramai peniaga yang mula menaikkan harga barangan. Ditambah pula Putrajaya baru-baru ini mengumumkan pintu sempadan negara akan dibuka pada 1 April ini dan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei. 


Biarpun pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberi amaran kepada peniaga agar tidak menaikkan harga sesuka hati, amaran itu tidak diendahkan. 


Baru-baru ini, tular pula di media sosial di mana pengguna mengadu harga makanan segera 'Ayam Gunting' semakin meningkat sehingga ada yang menjual makanan itu pada harga RM15. 


"Ada mana-mana peniaga yang menjual ayam gunting tampil jelaskan mengapa ayam gunting kini dijual pada harga RM9?" soal Abeyricano di Twitter yang menarik perhatian netizen terutamanya penggemar ayam gunting. 



Beberapa minggu lalu media melaporkan, Brazil mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja bagi menghasilkan bekalan makanan ayam berasaskan jagung disebabkan wabak Covid-19 masih menular di negara itu. 


"Ayam mahal bang. Isi ayam je 2 kilogram berharga RM26 walaupun dibeli dari pembekal," kata Miraish. 


"Dedak naik harga dua kali ganda menyebabkan ayam mentah mahal. Beli ayam mengikut bahagian lagi mahal. Peniaga kena jual mahal sebab kos tinggi," kata Sid. 


"Kenapa naik harga sampai RM9? Sebab harga barang naik. Aku pun mengeluh kenapa mahal? Dulu RM7, sekarang... Tak boleh marah diorang sebab diorang pun nak untung. Entah-entah balik modal je. Bayangkanlah kalau jual ayam gunting harga RM7 pada masa ni," kata Zamilmile. 


"Bukan saja nak naikkan harga, itu pun dah rasa serba-salah nak naikkan sebab risau pelanggan complaint macam ni la. Beli dari pembekal pun dah mahal. Barang pula, semua naik harga. Dengan minyak pun susah nak dapat sekarang. Kitorang yang penjual pun kadang dapat untung ciput je," kata Ainul. 


Sementara itu, Presiden Ayam Gunting Malaysia, Pijan Razali menjelaskan, setiap peniaga mempunyai strategi masing-masing. 


"Bagi saya sebagai peniaga, ikutlah kebijaksanaan dan strategi masing-masing. Gunakanlah kebijaksanaan dalam mengira kos operasi. Yang penting, terpulang kepada para pelanggan nak membeli yang mahal, sederhana, murah atau percuma sekalipun, janji mereka happy," katanya.


Sumber: Twitter Abeyricano

'Saya stress dengan anak puan yang kerap menangis, ganggu anak-anak lain nak belajar' - Ibu terkilan dengan guru tabika mengadu anaknya timbulkan masalah



Sesi persekolahan baru saja bermula menyaksi ramai pelajar baru hadir bersama ibu bapa yang berharap anak masing-masing dapat membiasakan diri dengan suasana baharu itu. 


Tidak terkecuali, anak-anak kecil berusia bawah tujuh tahun yang juga diberi pendidikan awal. Dan semestinya para guru memberikan yang terbaik buat anak murid seperti yang diamanahkan oleh ibu bapa.


Bagaimanapun tular di media sosial hari ini luahan rasa kecewa seorang ibu terhadap guru yang mengadu anaknya terlalu nakal dan kerap mengganggu sesi pembelajaran dalam kelas.


"Ya Allah sedihnya la. Baru empat hari anak sekolah, cikgu dah WhatsApp macam ni. Tak normal ke kanak-kanak berusia lima tahun menangis di sekolah? 


"Budak lima tahun dikatanya tak ada kesedaran untuk belajar. Sedih betul, sampai macam ni cikgu pandang anak saya," tulis Sofia Hussien di Facebooknya, hari ini. 


Menurut Sofia, dia ada mengajar anakny mengikut caranya sendiri tetapi hanya sekadar pendidikan asas seperti menulis abjad ABC dan angka.


Setiap hari Sofia cuba memujuk anaknya ke seolah tanpa menimbulkan masalah. Tetapi respon yang diterima daripada guru berkenaan benar-benar meruntunkan hatinya. 


"Anak saya tak pandai baca macam budak-budak sebaya dengannya. Tidak layak ke anak saya nak masuk tabika perpaduan ini? Ada peraturan ke yang mengatakan hanya budak pandai sahaja boleh asuk? 


"Setiap hari saya pujuk dia pergi sekolah, tak meraung-raung cuma muka monyok, air mata mengalir. Tak normal ke kanak-kanak berusia lima tahun macam ni? Apa perlu saya buat?" ujarnya. 






Berdasarkan screenshot perbualan WhatsApp, guru itu mendakwa anaknya kerap mengganggu sesi pembelajaran dan pengajaran, serta menangis sepanjang masa. 


"Dia belum bersedia untuk bersekolah. Bukan tak boleh handle (anak pengadu) tetapi dia merengek, nak umi dan nak balik. 


"Puan nak anak puan sekolah tapi dia tidak berminat untuk sekolah. Sepatutnya puan dah latih masa dia berumur 3-4 tahun lagi. Bagi buku-buku cerita, ajar membaca. Jadi ada timbul minat untuk dia," kata guru berkenaan. 


Sofia cuba bertanya apa yang dia perlukan lakukan untuk menimbulkan minat anaknya mahu belajar di tabika itu. Guru berkenaan membalas pertanyaan tersebut degnan jawapan yang tidak wajar. 


"Masalahnya tiada kesedaran nak belajar. Puan kena bercakap dengan dia pentingnya pelajaran. Kalau ia tak nak sekolah pada tahun depan, dah enam tahu kena pergi sekolah. 


"Sekarang dia lima tahun kan, perkembangan tumbesaran dia untuk belajar masih belum bersedia," jelas guru itu. 


Dan hari ini, guru itu memaklumkan kepada Sofia bahawa dia tertekan dengan ragam anaknya yang menyebabkan tugasnya mendidik murid lain tergendala.


"Saya nak beritahu saya stress dengan anak puan. Hari-hari menangis nak umi. Macam ni lah puan, lebih baik dia tak hadir sekolah sebab dia asyik nak balik sahaja. Mengganggu anak-anak yang lain nak belajar. 


"Puan pun belum buat pembayaran apa-apa pada kami. Anak-anak yang menangis datang sekolah pun tak macam dia," katanya. 


"Tak normal ke budak-budak macam ni? Baru seminggu cikgu," balas Sofia. 


"Bukan tak normal, dia nak perhatian dia seorang," kata guru berkenaan. 


Di ruangan komen, ramai netizen menasihatkan wanita itu menghantar anaknya ke tadika lain kerana guru terbabit sudah tidak menggemari anaknya. Dalam masa sama, anaknya juga tidak gembira pergi ke tadika itu. 


"Kalau saya, terus tukar sekolah. First sebab cikgu dah tak suka. Jadi, anak takkan happy pergi sekolah. Sebelum cikgu hilang saba dan berlaku benda yang kita tak nak, tukar saja sekolah. InshaAllah ramai je cikgu yang lebih penyayang," kata netizen. 


"Bukan anak puan tak layak belajar di institut pendidikan kerajaan, tetapi cikgu itu yang tidak layak bekerja di situ," kata netizen yang lain. 


Sumber: Facebook Sofia Hussien

'Kami tertekan, sebab itu ramai yang bersara awal' - Guru buta IT dimarah, jika ingkar arahan akan dipinggir pentadbir sekolah



Kurang cekap mengendalikan aplikasi Google Meet dan menyediakan laporan secara online menyebabkan golongan guru seringkali dimarahi pentadbir sekolah sehingga membuatkan mereka mengalami tekanan kerja. 


Guru yang dikenali sebagai Hani, 49, berkata, ramai rakan sekerjanya mengalami tekanan dengan arahan pentadbir sekolah yang selalu meminta mereka segera membiasakan diri dengan penggunaan teknologi digital. 


Sedangkan kebanyakan guru di sekolahnya berusia 40 hingga 50 tahun, tidak begitu cekap menggunakan komputer atau yang seumpama dengannya. 


Selain itu, guru-guru juga diminta mengisi persediaan mengajar secara online, tetapi tidak ramaik yang dapat menyiapkan tugasan itu menyebabkan mereka terpaksa mengupah kerani sekolah atau guru baharu untuk membantu menyiapkan laporan menerusi buku penyediaan mengajar. 


Sementara itu dalam kes lain pula, ramai guru memilih untuk bersara awal kerana bosan dengan karenah birokrasi, terlalu cerewet dan sikap pilih bulu yang diamalkan sebahagian pentadbir sekolah. 


Keadaan itu membuatkan mereka terpaksa menanggung beban dan tekanan dan ramai yang menjadi mangsa keadaan.


Cikgu Manaf (bukan nama sebenar), 40, mendedahkan ada guru yang sentiasa menjadi sasaran pentadbir kerana bukan guru kegemaran atau sebulu dengan mereka. 


Tidak kurang juga ada pihak pentadbir mewujudkan puak sendiri di sekolah dan hanya memilih guru kesukaan mereka berada dalam puak itu. Manakala guru yang bukan sebulu dengan mereka dipinggir, disasar dan diberi tugasan tambahan. 


"Jika ingkar atau melawan, guru terbabit akan diugut oleh pihak pentadbir seperti markah prestasi akan dikurangkan dan dipaksa memegang lebih banyak jawatan di sekolah. 


"Lebih parah lagi, mereka ditukarkan ke sekolah lain yang jauh dari penempatan mereka," katanya.


Sumber: Kosmo! Online

Kes dadah, penyanyi nasyid ditahan polis



Seorang penyanyi nasyid ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah di sebuah kondominium di Kota Damansara, semalam. 


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, mengesahkan penahanan lelaki berkenaan. 


"Saya sahkan suspek ditahan dan polis akan membuat sidang media dalam tempoh terdekat mengenai perincian lanjut penahanan itu," katanya, 


Menurut sumber lain, penyanyi berkenaan pernah menganggotai kumpulan nasyid sebelum meneruskan kariernya secara solo. 


"Dia juga pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) ketika di puncak karier," kata sumber.


Sumber: Harian Metro, Twitter