Budak 3 tahun maut & ususnya didapati pecah disyaki didera ibu & bapa tirinya



Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki mendera anak perempuan berusia tiga tahun sehingga mati dalam kejadian di rumah mereka di daerah Kubang Pasu. 


Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya terdahulu menerima maklumat dari Hospital Jitra yang memaklumkan kematian mangsa pada jam 7.30 petang semalam. 


Susulan itu, pihaknya menahan ibu mangsa berusia 26 tahun dan bapa tirinya berusia 22 tahun untuk direman selama seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Hasil laporan bedah siasat mendapati, usus mangsa pecah dan terdapat beberapa kesan pukulan dan kecederaan di bahagian belakang dan hadapan badan mangsa. 


Difahamkan, ibu mangsa tidak bekerja, manakala suaminya bekerja sebagai peniaga air. Pasangan berkenaan baru sahaja mendirikan rumah tangga empat bulan lalu. Suspek wanita dikatakan mempunyai dua lagi anak berusia empat dan enam tahun. Mangsa yang maut merupakan anak bongsunya. 


Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati ada elemen penderaan yang boleh menyebabkan kematan. Polis percaya badan mangsa telah ditekan dan doktor pula memaklumkan usus mangsa pecah berkemungkinan akibat dipijak atau sebagainya. 


Ketika disoal siasat, kedua-dua suspek mengaku pernah memukul mangsa tetapi masih belum dapat dipastikan sama ada perbuatan mereka itu yang menjadi punca kematian mangsa. 


Semakan rekod turut mendapati suspek wanita mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah, manakala suspek lelaki tiada rekod. 


Sumber: Harian Metro

Kubah RM500K: 'Biar langau mencari taik, kita terus cari madu dari debunga' - Ustaz tampil nafi dakwaan bazir wang sumbangan



"Syukran Jazilan! Dengan viral pasal kubah tu oleh Azhar Ismail dan Miqdad Zakaria, Alhamdulillah lagi ramai orang menderma. Ada yang datang sendiri tengok dan berwakaf. Kita sangat bersyukur, kita teruskan membantu. Tak rugi pun, ia akan kekal menjadi rumah Allah, bukan rumah saya," demikian tulis seorang pendakwah agama di Facebooknya baru-baru ini.. 


Ustaz Abdullah Khairi berkata demikian ketika mengulas mengenai isu permohonan sumbangan dari orang ramai (di Facebook) bagi projek pembinaan kubah surau yang memerlukan dana RM500,000.


Terdahulu, seorang individu bernama Azhar Ismail, menasihatkan pendakwah terbabit tidak melakukan pembaziran menggunakan wang sumbangan dari orang awam. Akaun Facebook Azhar bagaimanapun telah disekat dari berinteraksi dengan pendakwah itu dan Azhar percaya perkara tersebut berlaku disebabkan Ustaz Abdullah Khairi tidak menyenangi tegurannya serta menggelar dia sebagai geng munafik.. 




Walaupun ramai yang membuat tuduhan dan spekulasi, Ustaz Abdullah menegaskan dia tidak membazirkan duit sumbangan orang awam. Dalam masa sama dia menyifatkan tindakan pihak luar yang mencampuri urusan permohonan sumbangan dana kubah surau PAKSY itu sebagai meroyan. 


"Buat apa (pembinaan) kubah membazir duit orang. Kubah sementara yang sedia ada ini hanya boleh melindungi jemaah di bawah. Saya yakin tiada pembaziran pun kerana ia dapat mengisi 1,000 jemaah dalam satu masa. Dan tahun depan, (surau itu) akan dinaikkan menjadi Masjid PAKSY," katanya.


Dalam salah satu postingnya di Facebook, Ustaz Abdullah turut menyenaraikan projek penambahbaikan yang telah diusahakannya selama ini di pusat pengajian tersebut. 


Antaranya seperti membina Dewan PAKSY, Kolam Renang PAKSY, Chalet PAKSY, Dewan Memanah, Gelanggang futsal, Dobi PAKSY dan Kafe PAKSY.








"Biarlah langau mencari taik, kita terus mencari madu dari debunga. Nanti bila sudah siap, tertutuplah mulut mereka. Dulu saya bina (gelanggang) futsal dan dewan, saya telah difitnah, dikutuk dan dicaci. Akhirnya...?" ujarnya. 






Sumber: Facebook Ustaz Abdullah khairi, Azhar Ismail

Netizen terkejut, ustaz minta sumbangan RM500,000 untuk bina kubah surau



Beberapa hari yang lalu, seorang pendakwah bebas memuat naik status di Facebook memohon sumbangan orang ramai bagi membina kubah surau di Pusat Kecemerlangan As-Syafie. 


Apa yang menarik perhatian ramai adalah, kos pembinaan yang menelan belanja hampir setengah juta ringgit itu menjadi persoalan. 


Menurut Ustaz Abdullah Khairi, pihaknya memerlukan kos sebanyak RM490,000 bagi membina kubah dengan keluasan 60 kaki x 60 kaki. Kutipan setakat yang dimaklumkan telah mencecah RM84,567.50. 




"Ini adalah kos sebenar untuk pembinaan Kubah Surau Pusat Kecemerlangan As-Syafie. Sekarang dengan duit yang ada, kita bina kubah sementara dulu untuk menjadikan realiti surau dapat digunakan sebelum raya Haji ni. 


"Jumlah kos sebenar untuk kubah dengan keluasan 60 kaki x 60 kaki adalah RM490,000, boleh lihat quotation yang diberikan. InsyaAllah sudah ada RM84,567.50.


"Siapa yang nak berwakaf untuk kubah tersebut, boleh transfer dalam akaun sekolah: Pusat Kecemerlangan Assyafie," demikian tulisnya pada status tular itu.




Bagaimanapun, kos belanja pembinaan itu dikatakan tidak masuk akal. Seorang netizen yang dikenali sebagai Hafiz berkata, dengan kos sebanyak itu mampu membina beratus-ratus pondok pelajar. 


"Terkejut perut saya baca untuk buat kubah surau di sebuah pusat pengajian hampir setengah juta ringgit. Harga begini jika dibahagikan untuk pondok, boleh siapkan beratus-ratus pondok pelajar. 


"Saya bimbang ini menunggang atas nama pusat pengajian untuk mengaut keuntungan masuk poket sendiri sahaja. Kubah bukan satu keperluan mendesak. Jika tiada kubah sekalipun, solat tetap sah. Tidak perlu membazir sumbangan orang ramai," ujarnya. 


Netizen, Roman, turut mengambil contoh sebuah masjid di Dhaka yang tiada kubah. Masjid tersebut menang Aga Khan Award, iaitu anugerah untuk senibina yang memberi tumpuan kepada nilai-nilai Islam, sustainability dan conservation (kurang pembaziran). 







Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini pernah mengulas mengenai isu pembinaan kubah berkata, sekiranya pembinaan kubah tersebut menelan kos seperti membina sebuah masjid, kubah itu tidak termasuk dalam wakaf masjid kerana benda itu di luar keperluan. Tidak boleh menggunakan duit wakaf untuk membuat perhiasan-perhiasan yang memakan harga yang begitu mahal. 

Tonton video penjelasan penuh Dr MAZA di bawah:



Seorang lagi netizen, Azari Mat Yasir, yang pernah berkongsi mengenai pandangannya pada tahun 2021 bahawa masjid tidak perlu kubah, tidak perlu binaan yang gah dan kata-kata yang indah. Sebaliknya yang paling penting adalah fungsi. 


"Ini masjid yang paling penting: Hati kita. Pakailah walau songkok dan tengkolok sebagai penutup kepala, kerana memakai kaffiyeh tidak menjadikan kita lebih islamik kalau perangai masih tak betul," katanya yang turut melampirkan beberapa gambar masjid binaan dalam negara dan luar negara tanpa kubah. 



Sumber: FB Hafiz Adnan, Twitter Roman Akramovich, Dr MAZA, Twitter Azari Mat Yasir

'OKT (Siti Bainun) belum dibuktikan bersalah, tapi sudah ada komen berbentuk menghina mahkamah' - Hakim tegur netizen



Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, membuat teguran kepada orang awam yang didapati membuat komen di media sosial berhubung kes penderaan remaja sindrom down, Bella, 13, yang sedang dalam perbicaraan ketika ini. 


Hakim Izralizam Sanusi berkata, perjalanan kes itu masih jauh dan Orang Kena Tuduh (OKT - Siti Bainun) juga belum dibuktikan bersalah. Tetapi netizen sudah melemparkan komen berbentuk subjudis, menghina mahkamah dan fitnah. 


"Mahkamah akur rakyat Malaysia mempunyai kebebasan bersuara, namun perlu diingatkan terdapat undang-undang berkuatkuasa yang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu di Malaysia yang boleh dikatakan melampau dalam penulisan, hantaran dan komen. 


"Apa yang jelas, diingatkan kepada semua kebebasan bersuara tertakluk kepada undang-undang ditetapkan termasuk menghina mahkamah dan fitnah. Selain itu, terdapat juga akta yang mengawal hantaran di media sosial yang boleh mana diadukan oleh pihak pendakwa raya dan dianggap melanggar undang-undang Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 


"Oleh itu, mahkamah ingin memberi amaran dan peringatan kepada orang awam termasuk di galeri ini supaya tidak membuat komen berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah.


"Peguam mempunyai etika dan terikat, orang awam dan wartawan juga boleh memainkan peranan penting yang mengikuti kes ini berdasarkan undang-undang sedia ada, jangan buat komen-komen mengganggu.


"OKT pun belum dibuktikan bersalah, kita masih jauh perjalanan untuk memanggil saksi lain. Simpan komen itu yang berbentuk menghina, subjudis, fitnah untuk diri sendiri, jangan sebarkan untuk mendapatkan followers sehingga menjejaskan perjalanan kes ini," katanya. 


Amaran dan teguran itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nor Azizah Mohamad memaklumkan terdapat hantaran di media sosial yang tidak sepatutnya berhubung perjalanan kes Bella dan memohon mahkamah memberi amaran kepada orang awam agar tidak memuat naik sebarang komen yang boleh memberikan subjudis kes pendakwaan dan OKT. 


Sumber: Harian Metro

'Diam tak bermakna kita tak buat apa-apa' - Rina Harun nafi dakwaan tak bantu Bella tuntut keadilan

Rina Harun | Foto The Star


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKWM), Rina Harun sebelum ini diselar aktivis dan netizen kerana lambat mengambil tindakan dalam kes penderaan remaja sindrom down, yang dikenali sebagai Bella. 


Salah seorang aktivis berkenaan, Dr Hartini Zainudin, mengkritik Rina yang hanya mendiamkan diri walaupun umum mengetahui kes Bella didera itu mendapat perhatian banyak pihak yang berulang kali menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan segera. 


Pengasas bersama Yayasan Chow Kit itu berkata, Rina hanya melibatkan dirinya selepas kes Bella, 13, mendapat perhatian dari Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam. 


"Saya tidak tahu apa motifnya, tetapi pastinya nampak seperti berlumba-lumba untuk menunjukkan bahawa beliau melakukan sesuatu dalam kes penderaan Bella. 


"Rina telah hilang kebolehpercayaan sebagai seorang menteri yang menjaga kebajikan kanak-kanak rentan kerana langkah itu dilihat 'kurang ikhlas' dan 'hipokrit'. 


Bagaimanapun, Rina tampil mempertahankan diri dan kementeriannya dan menjelaskan antara tindakan awal yang diambil pihaknya adalah melucutkan hak penjagaan anak angkat kepada Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, tahun lepas. 


Selain itu, KPWKM juga menyita rumah jagaan itu dan mengeluarkan kompaun pada Julai 2021. Malah pihaknya turut memberi bimbingan emosi kepada Bella yang mengalami trauma, bagi memastikan dia sihat dari segi fizikal dan mental. 


Dalam masa yang sama, KPWKM bertindak memperketatkan undang-undang untuk orang yang layak dan sesuai (dalam hak penjagaan kanak-kanak) ini, untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang. 


Mengulas mengenai dakwaan berdiam diri dalam isu itu, Rina berkata tindakan itu adalah demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan Bella. 


"Ada perkara yang (dibuat) sebelum ini tidak dimaklumkan, tetapi tidak bermakna kita tak buat apa-apa atau ambil apa-apa tindakan. 


"Adik Bella perlu kita selmaatkan dan kesejahteraan dia yang penting, di samping kita mahu pelaku dikenakan tindakan yang setimpal," katanya. 


Sumber: Malaysiakini, Bernama