Remaja 16 tahun alami trauma, dipaksa makan ubat kuat untuk layan nafsu janda berulang kali

Foto hiasan


Malang nasib seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang hanya dikenali sebagai 'R', mengalami trauma teruk ekoran dipaksa melayani nafsu seorang janda, 'SR', berusia 43 tahun, berulang kali, setelah diberi ubat kuat secara paksaan dalam kejadian di Kabupaten Nunukan, Kalimantan, Indonesia.


Pengarah Utama Hospital Nunukan, Dr Dulman berkata, mangsa disahkan mengalami trauma dan sedang menerima rawatan. Dia juga telah mengarahkan tiga doktor pakar memberi rawatan kepada remaja yang menjadi mangsa serangan seksual itu. 


"Saya menugaskan tiga orang doktor pakar untuk melakukan pemantauan dan perubatan terhadap mangsa. Doktor pakar kesihatan jiwa, doktor pakar kesihatan kanak-kanak dan pakar kulit dan kelamin," katanya. 


Menurut Dr Dulman, mangsa mengalami depresi teruk disebabkan serangan seksual berulang kali. Mangsa dirawat di hospital itu sejak Selasa, 17 Mei dan keadaannya jiwanya yang memerlukan pemantauan. Tetapi pada waktu ini, mangsa tidak lagi dipantau oleh doktor pakar kesihatan kanak-kanak dan pakar kulit dan kelamin. 


"Pada awal kedatangannya, mangsa mengadu gatal di bahagian kelamin dan bimbang menghidap penyakit kelamin. Dia juga mengalami masalah jiwa yang mengambil sedikit masa untuk pulih. Mangsa selalu menyendiri, mengelamun, kadangkala ketawa dan bercakap sendiri. 


"Semoga dia cepat sembuh. Kita bimbang kerana dia masih bersekolah dan masa depannya juga masih panjang," katanya. 


Ketua Polis Nunukan, Ricky Hadiyanto berkata, suspek dipercayai memberi ubat kuat dan ubat peransang kepada mangsa untuk melayani nafsunya. Pihaknya sedang mengenalpasti jenis ubat-ubatan yang diberi dan menunggu laporan perubatan serta mengambil keterangan daripada mangsa. 


"Katanya vitamin, tetapi perlu ditentukan jenis ubatnya. Suspek masih direman dan belum disoal siasat secara mendalam," katanya. 


Difahamkan, mangsa dan suspek berkenalan melalui aplikasi TikTok sejak Mac lalu sebelum beralih ke aplikasi WhatsApp. 


Ibu bapa mangsa bekerja di Keningau, Sabah, dan remaja itu ditempatkan di sekolah berasrama penuh. Suspek dikatakan pernah datang ke asrama sekolah dan memaklumkan kepada warden bahawa mangsa adalah anak saudaranya. Sejak dari itu, suspek sering datang melawat mangsa. 


Pada hari kejadian, mangsa yang baru tamat sesi persekolahan meminta izin dari warden asrama untuk pergi beribadah. Tetapi kebenaran yang diberi telah disalahgunakan dan mangsa pergi ke rumah sewa janda tersebut. 


Pertemuan itu mengundang kejadian yang tidak diingini berlaku di mana mangsa diserang secara seksual yang menyebabkan dia mengalami perubahan drastik. Mangsa yang sebelum ini dikenali sebagai pelajar yang ceria berubah, murung, sering mengelamun dan bercakap seorang diri. 


Menyedari perubahan mangsa, guru kelasnya cuba mendekati dan bertanya mengenai apa sebenarnya yang telah berlaku. Mangsa kemudian mendedahkan dia telah menjadi mangsa serangan seksual janda terbabit dan menghubungi ibu bapa pelajar berkenaan untuk datang ke sekolah. 


Sebaik tiba di sekolah, ibunya secara tidak sengaja menemui lambakan gambar  tidak senonoh janda berkenaan yang dihantar sendiri oleh suspek kepada anaknya. Mangsa mendakwa, suspek selalu menghantar gambar-gambar sedemikian dan mengakui dia telah menjadi tempat untuk memuas nafsu suspek beberapa kali. 


Terkejut dengan pengakuan tersebut, ibu bapa mangsa terus pergi ke balai polis untuk membuat laporan. 


Sumber: Tribun News

Kadar inflasi di Malaysia (2.2%) masih rendah, jadi ia masih baik - Menteri Kewangan



Ekonomi Malaysia menuju ke arah hala tuju yang betul meskipun persekitaran yang mencabar terutamanya dengan jangkaan peningkatan kadar inflasi, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.


Bagaimanapun, beliau berkata dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 5.0 peratus pada suku pertama 2022, yang melebihi jangkaan, kadar inflasi dijangka kekal rendah.


“Kita telah meningkatkan subsidi bagi petrol, sebahagian daripada makanan dan barangan keperluan, oleh itu, ia telah membantu inflasi kekal rendah bagi Malaysia.


“Bulan lepas Malaysia merekodkan inflasi pada 2.2 peratus… Jadi ia masih baik.


“Apa yang perlu kita fokuskan sekarang adalah melaksanakan subsidi lebih bersasar. Saya tidak fikir kita boleh laksanakan subsidi yang ditujukan untuk semua orang, tetapi hanya bagi kumpulan rentan, yang saya fikir mereka masih memerlukan kita,” katanya menerusi temu bual di CNBC, hari ini.


Temu bual itu diadakan bersempena dengan kehadiran beliau pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, bermula 22-26 Mei.


Tengku Zafrul berkata kadar pengangguran Malaysia yang meningkat kepada 5.3 peratus (pada Mei 2020), turun kepada 4.1 peratus bulan lepas.


Menurutnya, Malaysia berdepan pelbagai cabaran di rantau ini termasuk geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan serta sekatan pergerakan menyeluruh untuk membendung COVID-19 yang dilaksanakan China, rakan dagang terbesar negara.


“Bagaimanapun, memandangkan Malaysia merupakan pengeksport bersih, ia akan mmbolehkan kita menampung impak tersebut,” katanya.


Beliau berkata kerajaan akan meneruskan dasar pengembangan fiskalnya dengan hasil tambahan yang diterima (sebagai pengeksport bersih komoditi) untuk meringankan kesan terhadap kumpulan rentan.


Sumber: Bernama

Ditampar calon suami, pengantin wanita batalkan majlis perkahwinan & kahwin dengan lelaki lain



Tindakan seorang lelaki yang tergamak menampar teman wanitanya di hadapan keluarga bakal mertua mengundang padah apabila dia ditinggalkan wanita itu pada hari perkahwinan mereka. 


Lapor India Today, insiden itu berlaku di Tamil Nadu, India di mana pengantin perempuan mengambil keputusan untuk melarikan diri dan meninggalkan calon suaminya itu untuk berkahwin dengan lelaki lain. 


Namun, pengantin wanita dan keluarganya turut menerima kesan dari perbuatan mereka selepas kejadian itu. 


Difahamkan, pasangan itu telah mengikat pertunangan pada 6 November 2021. Mengikut perancangan, mereka sepatutnya berkahwin pada 20 Januari 2022. Tetapi insiden yang berlaku pada sehari sebelum tarikh penting tersebut telah mengubah segala-galanya. 


Pada malam 19 Januari 2022, keluarga kedua-dua belah pengantin telah mengadakan pesta bujang untuk pasangan berkenaan. Pesta itu disambut dengan begitu meriah berserta muzik menemani para tetamu menari. 


Malam itu, pengantin wanita diajak menari bersama sepupu lelakinya. Ketika menari, sepupu lelaki merangkul tangannya dengan mesra. Pengantin wanita juga kelihatan tidak kisah kerana apa yang dilakukan sepupunya itu masih tidak melangkaui batasan. 


Tetapi di mata calon suami, tindakan sepupu isterinya itu sudah melampaui batas. Dia terus datang menghampiri dan menolak sepupu isterinya sehingga terjatuh. Dalam masa sama, dia turut menampar muka bakal isterinya itu membuatkan keluarga dan tetamu yang hadir terkejut. 


Wanita itu menangis dan merasakan calon suaminya tidak menghormatinya. Keesokan hari, dia membatalkan majlis perkahwinan mereka dan melangsungkan perkahwinan dengan lelaki lain pada hari yang sama. 


Perbuatan wanita itu mengundang kemarahan lelaki terbabit lalu mengambil tindakan untuk membuat laporan polis terhadap pengantin wanita dan keluarganya. Dia juga menuntut bayaran ganti rugi sebanyak RM3,886, jumlah wang yang dibelanjakan untuk kos majlis perkahwinan mereka. 


Sumber: India Today

'Anak buah kawan mak, kena monkey pox tapi tak keluar berita' - KKM nafi dakwaan penyakit cacar monyet merebak di Malaysia



Tular di media sosial gambar seorang kanak-kanak didakwa dijangkit penyakit cacar monyet di lokasi yang tidak dinyatakan. 


Menurut individu yang memuat naik gambar tersebut berkata, kanak-kanak itu merupakan anak buah kepada rakan ibunya. Malah dia mendakwa insiden yang menimpa kanak-kanak itu tidak dilaporkan oleh media tempatan. 


"His my mom's friend punya anak buah. Dia kena monkey pox. Monkey pox dah masuk Malaysia. So hati-hati bawa anak-anak keluar. Please, balik rumah terus mandi. Tak care of yourself kids. Tak habis dengan HFMD, sekarang monkey pox pula. Pastu berita tak keluar pun. Dasar Malaysia..." katanya. 


Kementerian Kesihatan Malaysia bagaimanapun mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang notifikasi berhubung kes tersebut.


"Sehingga 24 Mei 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes yang dijangkiti virus monkeypox atau kes kanak-kanak yang dikatakan dijangkiti virus monkeypox seperti dalam mesej beserta gambar yang ditularkan dalam media sosial. 


"Sekiranya gambar tersebut adalah benar, waris kepada kanak-kanak tersebut dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan," kata kenyataan itu. 


KKM juga menasihatkan orang ramai tidak menularkan sebarang berita yang tidak diketahui kesahihannya.



10 Mei lalu, Singapura melaporkan satu kes jangkitan cacar monyet pertama yang membabitkan lelaki warga Nigeria berkemungkinan menghidap virus itu dengan memakan daging tikus (bush meat) dalam satu majlis perkahwinan. 


Penyakit cacar monyet hanya boleh berjangkit apabila seseorang itu memakan daging tikus, monyet atau kelawar yang dijangkiti virus tersebut dan ia tidak merebak melalui sentuhan atau pernafasan. 


Sumber: Harian Metro, Kementerian Kesihatan Malaysia

Kadar tambang naik, bukan salah kami - Grab



Grab Malaysia menafikan pihaknya menaikkan kadar tambang dan menegaskan pihaknya menggunakan model harga dinamik yang memastikan penumpang mempunyai pengangkutan apabila memerlukan dan rakan kongsi pemandunya diberi pampasan sewajar dan adil untuk masa serta usaha mereka. 


Menurut Grab, tambang perkhidmatan akan melambung atau naik apabila bilangan orang yang menempah perkhidmatan itu tinggi berbanding bilangan pemandu yang ada di sesuatu kawasan, sekali gus menggalakkan lebih ramai pemandu menuju ke tempat penumpang berada. 


Selain itu, turun naik harga perkhidmatan itu juga disebabkan pengurangan bilangan pemandu Grab yang mampu menampung peningkatan mendadak dalam permintaan perjalanan daripada penumpang


Pada pertengahan Mei 2022, bilangan rakan kongsi pemandu di platform itu masih kurang daripada 70 peratus berbanding semasa sebelum Covid-19. Disebabkan wabak itu juga, ramai rakan kongsi pemandunya menjadi tidak aktif dan juga kerana kekurangan permintaan daripada penumpang.


Selepas kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 baru-baru ini turut menyaksikan peningkatan permintaan tempahan perjalanan di platform itu


Grab turut mendakwa, penetapan pelbagai syarat oleh pihak kawal selia seperti latihan selama enam jam, ujian di sekolah memandu, pemeriksaan kenderaan, pembelian insurans dan mengumpul serta menyerahkan dokumen kepada pelbagai agensi kerajaan untuk diproses menjadi faktor halangan pemandu baru untuk menyertai perkhidmatan Grab. 


"Ini melambatkan rakan kongsi pemandu baharu yang boleh menyertai dan menawarkan perkhidmatan untuk mendapat manfaat mencari pendapatan tambahan yang telah dicipta untuk mereka," kata Grab. 


Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong semalam berkata, penawaran dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi menjadikan masa perjalanan lebih lama merupakan antara faktor utama menyumbang kepada lonjakan tambang, selain menjejaskan kualiti perkhidmatannya. 


Beberapa syarikat e-hailing juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30 peratus berbanding sebelum Covid-19 melanda negara. Kekurangan itu secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan. 


Dalam masa sama, fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu telah menyebabkan peningkatan mendadak terhadap permintaan perkhidmatan e-hailing. Dalam tempoh sama juga menyaksikan pergerakan bebas orang ramai bagi menjalani aktiviti harian turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas. 


Faktor-faktor tersebut telah mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh pengendali e-hailing yang merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran


Dari segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj iaitu tambang asas dan surcaj di mana kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.


Pengendali e-haling dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka. 


Dalam perbincangan pihak Kementerian Pengangkutan dengan syarikat pengendali e-hailing baru-baru ini, syarikat penyedia perkhidmatan itu memberi jaminan akan memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini. 


Di pihak kerajaan, kerajaan akan terus memastikan lebih banyak syarikat pengendali e-hailing bersama-sama perkhdimatan teksi dan bas tersedia untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna.


Sumber: MalaysiaKini