Berita tak baik untuk Guru Kafa, kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh ditangguhkan



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil keputusan menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh selama 60 hari kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seperti yang diumumkan pada awal tahun ini. 


Kemudahan itu hanya diberi sekali sepanjang tempoh kontrak lantikan semasa yang sedang berkuat kuasa dan selaras penambahbaikan Peraturan Kafa Tahun 2022 yang memasukkan perkara berkaitan cuti bersalin berelaun selama 60 hari. 


Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, keputusan itu dibuat sebagai mematuhi saran dan pandangan Kementerian Kewangan. 


Difahamkan, Kementerian Kewangan pada 6 Julai lalu mengeluarkan pandangan bahawa pelaksanaan kemudahan itu adalah tidak sesuai dibuat pada ketika ini kerana kedudukan status perjawatan guru Kafa. 


Bagaimanapun, Jakim dikatakan sedang berusaha membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan dan menjustifikasikan langkah yang diuat bagi pertimbangan semula kementeriaan berkenaan. 


Dalam pada iatu, Jakim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad juga sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berhubung isu kebajikan guru serta penyelia Kafa. 


"Jakim sentiasa berbincang dan mencari jalan bagi menjaga kebajikan semua pihak di bawah jabatannya termasuk guru Kafa, selain mengharapkan sokongan serta doa supaya usaha berterusan yang dibuat oleh pihak kerajaan melalui Jakim selama ini dipermudahkan oleh Allah SWT," katanya. 


Sumber: Harian Metro

Remaja lelaki dibakar rakan kerana dituduh mencuri RM100



Seorang remaja berusia 15 tahun dilaporkan melecur di bahagian leher dan badan selepas dibakar oleh rakan dalam kejadian di Perasing Jaya, Jabor, Kemaman, Jumaat lalu, 22 Julai 2022. 


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa pulang ke rumah pada jam 3 pagi untuk meminta pertolongan dari keluarganya. 


Mangsa menangis menahan kesakitan menceritakan kepada bapanya bahawa dia telah dibakar oleh rakannya sehingga melecur dari bahagian leher hingga ke belakang. 


Siasatan awal polis mendapati, mangsa dibakar kerana dituuh mencuri wang rakannya berjumlah RM100. Mangsa disimbah dengan cecair dipercayai petrol sebelum dicucuh api yang menyebabkan badannya melecur. 


Mangsa kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang.


Susulan dari kejadian itu, polis telah menahan suspek berusia 28 tahun pada Sabtu di kediamannya. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah. 


Lima lagi suspek berusia 18 hingga 25 tahun disyaki terbabit dalam kejadian itu turut ditahan.


Kesemua suspek direman selama enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


Sumber: Harian Metro

No telefon Zalina kali terakhir aktif pada 20 November, polis giat kesan pekerja pengubahsuaian rumah



Dalam perkembangan terkini kes kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman, polis mengesahkan kali terakhir nombor telefon bimbitnya aktif adalah pada 20 November 2021, iaitu empat hari sebelum anak lelakinya cuba menghubungi wanita itu. 


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Zalina mungkin hilang lebih awal dari tarikh yang dilaporkan. 


"Kalau anaknya tidak cuba telefon, kita pun tidak tahu dia hilang. Berkemungkinan Zalina sudah hilang lebih awal, tapi tidaklah awal sangat sebab kita dah semak dan pada 20 November didapati telefon dimatikan (tiada rekod panggilan keluar atau masuk). 


"Sama ada kerana sudah kehabisan bateri, itu kita tidak dapat pastikan," katanya. 


Sementara itu, pemeriksaan dalam rumah Zalina mendapati, keadaan dalam kediaman itu tidak tersusun disebabkan ia dalam proses pengubahsuaian menjadi sebuah galeri. 




Polis kini sedang mengesan pekerja pengubahsuaian untuk membantu siasatan berhubung kes kehilangan Zalina. 


"Kita masih jalankan siasatan, kini sedang mengesan pekerja-pekerja yang terlibat dalam pengubahsuaian kediaman itu yang mungkin boleh membantu siasatan," katanya. 


Sebelum ini, jirannya, Mohammad Bokhari Shariff, 76, memaklumkan kerja-kerja pengubahsuaian di rumah Zalina terhenti beberapa bulan sebelum dia dilaporkan hilang. 


Polis percaya, Zalina masih berada di dalam negara berikutan tiada rekod pergerakan keluar masuk yang dikesan pihak berkuasa setakat ini. 


Sumber: Bernama

Owner Crackhouse Comedy Club didakwa atas 3 pertuduhan muat naik video untuk sakitkan hati orang (perkauman)



Pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizan Van Geyzel, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memuat naik video di tiga platform media sosial yang menyentuh isu sensitiviti perkauman. 


Orang kena saman (OKS), Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan tersebut dibaca di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak. 


OKS didakwa memuat naik video tersebut di Facebook, Instagram dan TikTok miliknya pada 4, 5 dan 6 Julai lalu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. 


Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM50,000 dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas sabitan. 


Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman tidak menawarkan jaminan kerana kes itu membabitkan isu serius yang menyentuh sensitiviti perkauman. Namun, pihaknya menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan itu jika mahkamah memutuskan untuk membenarkan OKS dijamin. 


Peguam OKS, Ramkarpal Singh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak OKS menghidap dyslexia selain bapanya juga menghidap kanser. 


Hakim kemudian membenarkan OKS dijamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dan memerintahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah. 


OKS juga diperintah untuk tidak membuat sebarang hantaran dan mengeluarkan komen di media sosial berhubung kes itu. 19 Ogos ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan kes. 


OKS kemudian membayar wang jaminan berkenaan. 


Sumber: Harian Metro

(Video) 'Korang rasa diorang berkawan ke?' - TikTokers rakam anggota MPV disyaki terima suapan, polis minta tampil untuk bantu siasatan

Foto dari video tular di TikTok @Stickerpro_my


Tular video di media sosial di mana seorang pengguna TikTok, @stickerpro_my, yang mendakwa ternampak sebuah Kereta Peronda Polis (MPV) disyaki mengambil suapan berdekatan stesen minyak. 


Individu terbabit sempat membuat rakaman video dan menularkannya di laman TikTok dengan kapsyen yang mengajak netizen menilai, apa yang sedang dilakukan oleh anggota MPV berkenaan. 


"Pemandu Hilux ini ditahan polis di lebuh raya. Pemandu itu kemudian datang ke stesen minyak dan lebih mengejutkan, kereta MPV itu juga berada di situ. 


"Tidak beberapa lama kemudian, dia (pemandu Hilux) berjalan menuju ke arah kereta peronda. Saya rasa mereka berkawan, berbual seketika sebelum mengucapkan selamat tinggal. 


"Korang rasa diorang berkawan ke?" kata @Stickerpro_my. 


@stickerpro_my Tiktok pls dont delete this again 😉, repost punyer... #fyp #tiktokmalaysia #peaceandlove #viral #malaysiaroar ♬ Ambition For Cash - Key Glock


Di ruangan komen, netizen berkongsi pelbagai pandangan. Ada yang mendakwa mungkin anggota berkenaan meminta tolong rakannya mengambil wang di mesin ATM stesen minyak itu. 


Susulan penularan video itu, Ketua Polis Daerah Bricksfield, Amihizam Abdul Shukor, meminta pemilik akaun TikTok Stickerpro_my tampil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan. 


"Hasil siasatan serta penelitian awal terhadap klip video berkenaan mendapati, kejadian berkenaan mungkin berlaku di Stesen Minyak Shell Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, menghala ke pusat bandar berhampiran pintu gerbang sempadan Kuala Lumpur - Selangor. 


"Usaha untuk mengesan serta mengambil keterangan pemilik akaun TikTok berkenaan sedang dijalankan bagi membantu siasatan. 


"Pihak polis menyeru pemilik akaun TikTok tersebut mahupun orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan tarikh dan masa kejadian serta nombor pendaftaran Kereta Peronda Polis berkenaan untuk tampil ke hadapan," katanya. 


Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.