(Video) Pasangan pengantin dikritik sengaja melambatkan majlis, rupa-rupanya...



Setiap individu mempunyai pengalaman yang berbeza ketika majlis akad nikah berlangsung. Ada pihak lelaki yang tersasul menyebut nama, hantaran, gementar dan sebagainya. Perasaan berdebar-debar dan gemuruh pula merupakan perkara biasa yang dihadapi oleh semua pengantin baru terutamanya bila melafazkan akad nikah dan juga sesi membatalkan air sembahyang.


Terdahulu, beberapa video tular memaparkan beberapa orang selebriti dan juga pasangan-pasangan yang lain sebelum ini kelihatan malu ketika sesi membatalkan air sembahyang. Ada yang memuji sikap sedemikian yang dilihat pandai menjaga adab dan batas. Tetapi ada juga yang mengkritik kerana melambatkan sesi majlis. Tidak kurang juga, ada yang mengatakan sepatutnya sesi demikian dilakukan di luar majlis sahaja.


Terbaharu, tular pula satu rakaman video yang memaparkan pengantin lelaki yang dilihat terketar-ketar ketika mahu menyarungkan cincin kepada pengantin perempuan. Pengantin lelaki mengambil masa yang lama untuk berbuat demikian. Berbeza dengan pengantin perempuan, pengantin perempuan kelihatan tenang sahaja.


Melihat kepada situasi itu, seorang wanita tampil membantu bagi memudahkan serta mempercepat sesi itu.


Rakaman video sesi berkenaan bagaimanapun dikritik oleh netizen. Mereka menuduh pengantin lelaki jenis yang mengada dan sengaja melambatkan sesi itu yang sepatutnya boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. Sebahagian netizen juga mengkritik pengantin lelaki itu yang cukup mudah apabila mengucup dahi isterinya sebanyak dua kali berbanding sesi menyarung cincin.


Namun ada sumber yang memaklumkan, pengantin perempuan merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), manakala pengantin lelaki pula merupakan dalam kategori yang sama.


"10 saat pertama, aku dah rasa cringe (meluat) gila. Aku paused video, scroll replies. Ada yang kata, mungkin pasangan OKU. Semoga hubungan pasangan ini terus kekal dirahmatiNya," kata Mag.


"Tak baik macam tu. Aku rasa pengantin perempuan macam orang kelainan upaya je. Mungkin kedua-duanya OKU, so normal la kot diorang takut sebab berbeza dengan benda harian diorang," kata Bella Hadidn’t.


Walau apa pun, tidak sepatutnya majlis berbahagia sebegini dikritik, sebaliknya doa-doa yang baik perlu disertakan kepada pasangan yang baru mendirikan rumahtangga.


Sumber: Bella Hadidn’t, Mag

Warga emas kantoi layan dadah, beri alasan kononnya nak pergi beli roti canai untuk elak ditahan

FOTO Izad Thaqif Hassan


Demi melepaskan diri daripada ditahan, seorang lelaki warga emas sanggup memberi alasan kononnya dia datang ladang untuk membeli roti canai, bagi mengaburi pihak berkuasa yang melakukan serbuan di Ladang Kelapa Sawit Kampung Batu Lima, kelmarin. 


Warga emas terbabit terdahulu dilihat sedang menunggang motosikal menuju ke lokasi yang menjadi 'port' penagih dadah untuk mendapatkan dadah bagi melepaskan gian. 


Dia bagaimanapun telah ditahan oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang sudah mengepung kawasan itu bermula jam 8 pagi untuk melaksanakan Op Tapis Khas. 


Ketika disoal siasat, warga emas itu memberi alasan dia kononnya dalam perjalanan untuk membeli roti canai. Namun alasannya itu tidak masuk akal kerana lokasi ladang terletak jauh dari jalan utama dan kedai. 


Cubaannya untuk mengkelentong anggota polis gagal menyebabkan dia ditahan serta-merta untuk tindakan lanjut. 


Penahanan lelaki itu diketahui oleh ahli keluarga yang kemudian datang bertemu dengannya. Isteri dan anak perempuannya sempat berpelukan, menangis sambil bermaafan sebelum dibawa ke lokap IPD menaiki trak polis. Dia juga turut berpesan kepada mereka agar jangan bersedih. 


Selain warga emas berkenaan, ada juga penagih lain yang memberi alasan mahu mencari isteri, rakan, termasuk mendakwa mereka kononnya tersesat jalan. Malah, ada seorang penagih yang ditahan memberitahu dia sengaja datang ke lokasi itu untuk memantau serta menasihati rakannya untuk menjauhi dan tidak menghisap dadah. 


Sumber: Harian Metro

(Video) Kanak-kanak ditemui terperangkap dalam kontena selama 5 hari



Tular di media sosial video penemuan seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Fahim, dalam sebuah kontena yang baru tiba di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Rabu lalu. 


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja operasi perkapalan yang memaklumkan penemuan kanak-kanak berkenaan. 


Berdasarkan laporan, pengadu yang ketika itu sedang menguruskan kapal masuk ke Dermaga Perlabuhan Barat dan memeriksa sebuah kontena kosong, terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena sebelum mendapati seorang kanak-kanak berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya di dalamnya. 


Tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang ditemui dengan mangsa dan dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan. 


Siasatan lanjut mendapati, kontena tersebut dibawa oleh sebuah kapal MV Integra yang membawa kontena-kontena mengandungi muatan barangan am itu bertolak dari Chittagong, Bangladesh pada 12 Januari lalu dan tiba di Pelabuhan Barat pada 17 Januari. 




Mangsa dipercayai masuk secara haram dalam kontena ketika kapal berkenaan berlabuh di Chittangong. 


Namun, mangsa pula menjelaskan dia sebelum itu sedang bermain bersama rakan-rakannya di Chittagong dan masuk ke dalam kontena yang kemudian terkunci menyebabkan dia terperangkap dalam kontena itu selama enam hari sebelum ditemui pengadu. 


Selepas selesai mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil, mangsa telah dihantar pulang ke negara asal semalam, menggunakan kapal yang sama. 


Sumber: Harian Metro

Mohd Irfan yang laporkan hilang sejak Jumaat lalu dikesan berada di Tampoi, Johor



Seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu dikesan berada di sekitar Tampoi, Johor. 


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, Mohd Irfan Hakimi dikesan berada di negeri itu berdasarkan rekod tansaksi kad debit miliknya. 


Semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran juga mendapati lelaki itu bersama dengan seorang individu lain yang dipercayai rakannya. 


Motosikal milik Mohd Irfan, jenis Yamaha LC135 turut ditemui di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.


"Jadi, kita percaya pelajar berkenaan pergi menaiki bas menuju ke Johor," katanya. 


Isnin lalu, ahli keluarga pelajar berkenaan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar, Sabak Bernam, berhubung kehilangan Mohd Irfan yang dikatakan tidak pulang ke rumah selepas menunaikan solat Jumaat. 


Susulan maklumat awal itu, keluarga pelajar berkenaan telah dimaklumkan dan kini dalam perjalanan ke Johor untuk mencari anak mereka. 


Siasatan turut mendapati Mohd Irfan tidak mengalami sebarang masalah peribadi atau berada dalam keadaan murung. 


Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki itu untuk tampil menghubungi balai berhampiran untuk membantu siasatan. 


Sumber: Sinar Harian

Ibu muda akui tertekan, tekup & cekik bayi sendiri sehingga mati



Seorang bayi lelaki berusia setahun enam bulan ditekup dan dicekik sehingga mati oleh ibunya berusia 20 tahun.


Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta itu telah ditahan bersama teman lelakinya di kondominium di Cyberjaya pada 12 Januari lalu. 


Siasatan awal mendapati, suspek yang sedang dalam proses perceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya (penganggur), mendakwa mangsa terjatuh dari sofa sebelum dibawa ke Hospital Cyberjaya pada jam 11.30 pagi untuk mendapatkan rawatan. 


Doktor yang menerima kes itu mendapati, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal, selain mengesan berlaku pendarahan di kedua-dua belah anak mata yang dipercayai kesan dari penderaan. 


Mangsa bagaimanapun dilaporkan telah meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan dan kematian mangsa dilaporkan kepada pihak polis.


Bertindak di atas laporan, polis cuba menghubungi ibu mangsa untuk membantu siasatan, tetapi wanita itu gagal dihubungi. Cubaan polis untuk mencarinya di alamat kediaman yang diberi juga tidak berjaya. 


Jam 12.15 pagi, 16 Januari 2023, polis yang mendapat maklumat hasil dari risikan telah menyerbu sebuah flat di Putra Perdana, Dengkil dan menahan suspek. Suami suspek turut ditahan pada hari yang sama. 


Suspek mengaku telah menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana dia mengalami tekanan perasaan berpunca dari masalah rumah tangga serta keluarga. 


Bedah siasat yang dlakukan ke atas mayat mangsa mendapati, terdapat kesan kecederaan di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan, serta kesan calar di pipi kiri dan leher disyaki akibat dicekik. 


"Punca kematian disebabkan asfiksia ataupun kekurangan oksigen dipercayai berpunca dari tindakan ibu mangsa menekup muka anaknya," katanya. 


Suami suspek yang berusia 20 tahun dibebaskan kerana dipercayai tidak terlibat dalam kes itu berikutan tiada di lokasi semasa kejadian itu berlaku. 


Teman lelaki suspek yang juga pelajar kolej berusia 21 tahun turut menafikan dirinya terlibat. 


Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 


Sumber: Harian Metro