Lelaki Dakwa Putus Tunang Selepas Gambar Disalahgunakan Pihak Media


PERLIS - Seorang lelaki mendakwa, dia terpaksa berputih mata apabila pihak keluarga tunangnya telah memutuskan tali pertunangan selepas gambarnya disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan sebagai seorang penjenayah yang dikehendaki. 

Ku Aminnuddin Ku Abdul Rahman, yang didakwa sebagai Mizan Gemuk, terkejut apabila dimaklumkan oleh rakan bahawa gambarnya telah digunakan oleh akhbar tersebut. 

Pada 25 September jam 8 pagi, dia dimaklumkan oleh rakannya melalui laman Facebook bahawa gambar miliknya telah digunakan oleh pihak akhbar tersebut yang bertajuk 

"MIZAN GEMUK DIBURU"


"Mereka telah menggunakan gambar saya sedangkan Mizan Gemuk yang tertera dalam akhbar tersebut bukan saya. Saya juga menafikan segala kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak media tersebut," katanya. 

Ekoran itu, mangsa membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan dirinya dan tidak berpuas hati gambar dirinya telah disalahgunakan. Mangsa juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit, selain meminta pihak media itu memperbetulkan semula kenyataannya. 

"Perkara ini telah menyebabkan saya hampir dibuang kerja, memburukkan reputasi saya sehingga keluarga saya dikecam. Malah, keluarga tunang saya telah memutuskan tali pertunangan kami dan saya juga mengalami trauma yang teruk," katanya dalam laporan polis yang dibuat. - The Reporter