PETALING JAYA - Seorang wanita yang sakit bersalin terpaksa diusung dengan kerusi malas dari tingkat 15 di sebuah pangsapuri Taman Putra Damai PPR Lembah Subang, kerana perkhidmatan lif sudah 26 hari tidak berfungsi.
Penduduknya, Ainzarina Zakaria, meluahkan rasa kecewa dan kesal tiada sebarang tindakan segera dari pihak pengurusan bangunan menangani masalah itu.
"Lif di flat ini sudah rosak 26 hari, hampir sebulan tidak dibaiki. Terpaksa usung jiran yang sakit bersalin dari tingkat 15 ke bawah dengan menggunakan kerusi malas untuk dibawa ke hospital," katanya.
Menurut Ainzarina, sudah puas penduduk di situ membuat aduan mengenai perkhidmatan lif tersebut, namun mereka hanya disuruh menunggu dan terus menunggu.
"Sampai bila harus kami terus menunggu agar lif ini diperbaiki? Bagaimana jika ada hal-hal kecemasan, orang sakit tenat, lumpuh, ibu mengandung, anak-anak pergi ke sekolah, ibu yang nak hantar anak ke pra sekolah itu semua?
"Takkan nak biarkan anak kecil ini turun naik tangga tanpa ditemani ibu bapa seawal umur 5-6 tahun? Takkan nak tunggu ada kematian baru nak bertindak?
"Apa yang paling menyedihkan, penduduk dijanjikan bahawa lif akan diperbaiki pada tahun hadapan. Kegilaan apakah ini? Lif adalah jentera pengangkutan penting, bukan boleh diperlekehkan," katanya.
Justeru beliau menuntut hak-hak penduduk di flat berkenaan agar perkhidmatan lif segera dibaiki segera untuk kemudahan orang ramai. - The Reporter