Air Mineral Lebih Mahal Dari Harga Minyak Masak Tak Bersubsidi - Menteri


KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, harga air mineral yang diminum setiap hari oleh rakyat di negara ini adalah lebih mahal berbanding harga minyak masak, lapor Harian Metro.

Menurut beliau, pihaknya membuat congakan bahawa setiap individu sekadar menggunakan 1.5 kilogram minyak masak sebelum. Berdasarkan anggaran itu, jika subsidi dihapuskan sepenuhnya, maka harga minyak masak naik menjadi RM4 sekilogram. 

"Jika ia dinaikkan kepada kira-kira RM4, harga minyak masak paket plastik 1 kilogram hanya bertambah RM1.50 sebulan. Ini bermakna ia hanya naik RM2.25 seorang sebulan. 

"Air mineral yang orang minum setiap hari, lebih mahal daripada harga minyak masak yang tidak bersubsidi," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bagan (DAP) Lim Guang Eng pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu terdahulu bertanya sama ada benar atau tidak rasionalisasi minyak masak akan menyebabkan kos sara hidup keluarga meningkat RM50 setiap seorang setahun, yang bermakna pertambahan RM250 untuk lima keluarga setahun.

Bermula 1 November 2016, subsidi minyak masak dimansuhkan bagi semua kategori kecuali paket plastik 1 kilogram dikekalkan pada harga RM2.50. Manakala harga untuk bungkusan lain ditentukan mengikut harga pasaran semasa. - The Reporter