Bapa Dera Anak Dah Dijatuhkan Hukuman Penjara 5 Bulan, Tapi Tak Maklumkan Pada Netizen



JOHOR BAHRU - Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan lelaki yang didakwa mencederakan anaknya seperti yang disiarkan oleh Hannah Azzara, telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, Khamis lalu, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis dari wanita berkenaan pada jam 8.41 malam, 28 Oktober lalu dan pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Pada jam 1 tengah  hari, 31 Oktober, polis telah menahan suspek yang berusia 37 tahun dan kes itu dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan pada 2 November lalu. 

Pada 3 November, bekas suami Hannah Azzara didakwa di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan pada kanak-kanak. Lelaki itu mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh mahkamah.

Sejak kelmarin, pendedahan Hannah itu viral di media sosial dan juga mendakwa laporan polis yang dibuatnya tidak diendahkan oleh polis. 

Sehubungan itu, Sulaiman berkata, Hannah sepatutnya membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan di laman sosial kerana bimbang ia bercanggah dengan fakta sebenar. - The Reporter