SUNGAI PETANI - Seorang bayi perempuan berusia empat bulan maut, dipercayai akibat didera oleh pengasuhnya di Kampung Jerai, Kuala Sin Bukit Selambau, Khamis lalu, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, pihaknya menerima laporan daripada doktor yang merawat mangsa pada jam 4.30 petang, 27 Oktober lalu yang memaklumkan menerima pesakit mengalami sawan dan tidak sedarkan diri serta berada dalam keadaan kritikal.
"Hasil pemeriksaan, mangsa disyaki didera berdasarkan kesan kecederaan seperti pendarahan dalam otak, keretakan tempurung kepala dan kesan darah mengalir ke bahagian mata," katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.20 pagi Isnin lalu di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Sehari selepas kejadian, polis telah menahan seorang suspek wanita berusia 40 tahun yang mengasuh mangsa sejak Ogos lalu.
Menurut Md Zukir, mangsa adalah anak bongsu daripada dua beradik (kembar), manakala ibu bapa mangsa bekerja di sebuah kilang berhampiran.
"Suspek mengaku ada menghayunkan buaian pada jam 7.30 pagi dan kepala mangsa terkena lantai. Pada masa itu mangsa masih sedar namun dalam keadaan tidak bermaya.
"Suspek kemudian menghantar mangsa ke rumah neneknya kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan tanpa memaklumkan apa-apa," katanya.
Nenek suspek kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Bukit Selambau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - The Reporter