Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, DSP Ismail Dollah berkata sebelum ini mangsa dilapor hilang roti dari lori yang diparkir di flatnya sebanyak 10 kali sejak Ogos lalu.
Namun kira-kira pukul 11.20 malam semalam, pemandu lori itu menerima maklumat daripada seorang jirannya yang ternampak empat individu cuba mengumpil pintu belakang lorinya.
“Mangsa yang ketika itu sedang berada di rumahnya di tingkat tiga flat itu lantas turun dan membuat pemeriksaan tetapi didapati tiada barangan yang hilang.
“Namun kerana tidak berpuas hati, dia membuat intipan. Kira-kira 10 minit kemudian, dia terlihat kelibat empat suspek terlihat di belakang lori dan cuba mengumpil pintu belakang lorinya itu.
“Mangsa lantas mengejar suspek namun hanya seorang daripada mereka berjaya ditangkap manakala tiga orang lagi dapat meloloskan diri,” kata Ismail dalam satu kenyataan.
Beliau berkata suspek yang berusia 29 tahun itu dibawa ke Balai Polis Kangkar Pulai.
Suspek yang merupakan pengganggur kini direman selama tiga hari sehingga 30 Nov ini. — Bernama
Sumber : Citeheboh