Pasangan Diserang Buaya Ketika Mandi Di Kolam Renang Hotel


KARIBA, ZIMBABWE - Satu pasangan yang sedang menikmati mandi manda di kolam renang hotel terkejut apabila seorang buaya dengan kepanjangan 6 kaki menyerbu dan menyerang mereka, lapor Daily Mail.

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan menunjukkan haiwan pemangsa itu merangkak menghampiri dua mangsanya yang sedang seronok berbual di tepi kolam. 

Buaya itu kemudian terus masuk ke dalam kolam dan cuba menerkam mangsanya. 

Terkejut dengan kehadiran haiwan berkenaan, si lelaki segera melompat keluar dari kolam dan meninggalkan pasangannya bersendirian. 

Wanita berkenaan cuba menjauhkan diri dari buaya itu dengan berenang menghampiri tebing kolam. Namun buaya itu terus meluru ke arahnya dan sempat mengigit tangan mangsa. 

Pasangan wanita itu difahamkan datang semula dan cuba menyelamatkannya keluar dari kolam tersebut. 

Video kejadian itu tersebar di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mendakwa lelaki itu sebagai pengecut kerana meninggalkan pasangannya bersendirian menghadapi haiwan ganas itu. 


Namun, tampil beberapa netizen yang mempertahankan lelaki berkenaan bahawa, tiada sesiapa yang boleh berfikir secara rasional dalam detik cemas seperti itu. 

"Anda semua hanya pandai bercakap sahaja, bukannya pernah menghadapi situasi cemas seperti itu," kata netizen. - The Reporter