Susulan Dikenakan Caj RM20 Di Dua Pintu Masuk Darat Ke Johor – Tambak Johor, Ini Tindakan Singapura


SINGAPURA - Singapura akan melaksanakan tindakan yang sepadan dengan langkah Malaysia mengenakan caj jalan raya (RC) sebanyak RM20 di dua pintu masuk darat ke Johor – Tambak Johor dan Link Kedua - yang berkuatkuasa hari ini, lapor Channel NewsAsia.

Memetik kenyataan Kementerian Pengangkutan, laporan itu berkata, caj jalan raya yang dikenakan Malaysia "adalah satu diskriminasi terhadap kenderaan yang didaftarkan di Singapura kerana ia hanya terpakai di pusat pemeriksaan Singapura."

Menurut laporan itu, butiran terperinci mengenai langkah yang akan diambil itu akan diumumkan kementerian berkenaan tidak lama lagi.

Pada 29 Okt, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata,‎ kerajaan Malaysia tidak pernah bersikap diskriminasi dalam melaksanakan RC bagi kenderaan berpendaftaran luar negara dari Singapura yang memasuki Malaysia kerana ia juga akan dilaksanakan di pintu masuk dari negara lain secara berperingkat.

Menurut Tiong Lai, pelaksanaan RC itu telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada rakan sejawatan beliau dari Singapura.

"Singapura telah mengenakan RC terhadap kami sejak beberapa dekad lepas. Kami baru sahaja hendak memulakannya sekarang.

Tidak ada diskriminasi. Kami akan kenakan caj jalan raya bukan sahaja di sempadan kami dengan Singapura, tetapi juga di sempadan kami dengan Thailand,

Brunei dan Indonesia pada kadar sama iaitu RM20 bagi setiap kereta," kata Tiong Lai. yang dipetik dalam satu laporan media sebelum ini.

Setiap hari, purata 20,000 kenderaan yang didaftarkan di Singapura memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Link Kedua. - Bernama