IPOH - Gara-gara tidak melayani permintaan pelajar senior, seorang pelajar tingkatan 1 di sebuah sekolah sekolah agama berhampiran Sekolah Jelapang Jaya, patah tulang rusuk dan lebam di belakang badan selepas dibelasah 11 pelajar senior dalam kejadian tiga minggu lalu.
Norizzal Ramli, bapa kepada mangsa, Aiman, 13, tidak menyangka niat menghantar anaknya ke sekolah berasrama itu agar anaknya menjadi lebih baik, bertukar menjadi penyesalan yang tak sudah.
Difahamkan, mangsa dibelasah oleh 11 pelajar senior hanya kerana enggan memberi air kotak selepas dipinta oleh salah seorang kumpulan pelajar senior berkenaan.
Pada awalnya, mangsa tidak berani membuka mulut mengenai apa yang berlaku. Namun setelah puas didesak oleh ibu bapanya, akhirnya mangsa menceritakan perkara sebenar yang berlaku. Malah, mangsa pernah 'dipau' oleh para pelajar senior terbabit.
Selain kecederaan patah tulang rusuk dan lebam belakang badan, dagu, tangan, dada dan tulang pinggang turut lebam dikerjakan. Malah kepala mangsa turut mengalami luka kerana dipukul dengan botol air. Akibat kecederaan itu, mangsa menghubungi bapanya pada jam 1.30 pagi kerana kesukaran bernafas.
Ekoran kejadian itu, ibu bapanya melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah. Bagaimanapun menurut Norrizal, pihak sekolah tidak memandang serius kejadian yang berlaku terhadap anaknya.
Tidak puas hati dengan respon tersebut, Norrizal memuat naik gambar kejadian yang menimpa anaknya di media sosial dan telah membuat laporan polis. Malah ibu bapa mangsa sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak sekolah.
Para pelajar yang terlibat dalam kejadian itu kini dalam siasatan pihak polis dan difahamkan kesemua mereka telah dibuang sekolah.
Norrizal menganggap pihak sekolah mengambil tindakan yang mudah bagi menutup kes itu. Malah sehingga kini pengetua sekolah berkenaan masih belum menghubunginya, katanya.
"Saya sudah menunggu sehingga ke minggu ketiga, namun tiada juga panggilan dari pihak sekolah yang bertanyakan tentang khabar anak saya. Yang ditanya, ada ke yuran yang belum dibayar," katanya.
Mangsa kini sudah beransur pulih, namun masih trauma dengan kejadian yang berlaku.
Susulan kejadian itu juga, Norrizal dan isterinya, Salbiah Shamsuddin tidak mahu lagi menempatkan anaknya di sekolah tersebut. - The Reporter