Sebak terasa hati ini tatkala membaca perkongsian dari pemuda ini. Langsung teringat pada ibu yang berada di kampung. Bila kali terakhir kita bertanya khabar pada ibu kita sendiri? Ingatlah anak-anak sekalian, tiada perkara yang lebih indah dari membahagia dan menyenangkan ibu kita sendiri.
Semoga perkongsian dari saudara Fakhrul Anwar ini membuka hati dan mata anda untuk menghargai ibu bapa anda yang mungkin sudah lama tidak dihubungi.
Oleh Fakhrul Anwar
Selama ini aku tengok saja orang duk cerita tentang ibu bapa mereka. Ambil gambar selfie dengan mak, peluk mak dan cium mak, kelihatan begitu bahagia. Tetapi itu ketika mak sihat, boleh berjalan dan bercakap dengan kita. Bagaimana kalai tiba-tiba mak sakit satu hari nanti, tak boleh bercakap, masak dan buat apa yang selalu mak buat untuk kita? Adakah masih sama layanan kita untuk mak? Mari, aku cerita kisah aku dengan mak.
"Tengok, mak aku sihat dan tembam tak walaupun sakit, Hehehe!"
Semuanya bermula tiga tahun yang lalu, ketika aku agak hanyut dengan dunia, ketika aku tidak mempedulikan sangat perasaan, hati dan apa yang mak aku sedang fikirkan setiap hari. Sebagai anak lelaki, banyak perkara sebagai anak yang aku abaikan. Dari bab duit, makan pakai dan urusan mak. Aku lebih pada dunia aku. Walaupun aku tak pernah sekali tinggikan suara pada mak, namun aku tahu mak kecewa dengan sikap dan perangai aku dalam diam. Mungkin kerana agak lama mak memendamkan rasa terhadap sikap anak-anaknya.
Suatu hari, semuanya berubah bila mak tiba-tiba jatuh dan pitam. Ketika itu akulah orang pertama yang membawa mak ke hospital dan itulah titik perubahan aku dalam hidup.
Semasa dalam ambulans, dalam perjalanan ke hospital, bila melihat perubahan mak dengan perlahan dari boleh bercakap ke semakin sukar bercakap, anak mata mak hanya memandang sekeliling dan memandang aku tanpa ada sedikit air mata. Apa yang aku masih ingat, tangan kiri mak yang boleh bergerak memegang tangan aku dan seperti satu panahan halilintar membuatkan aku tersedar dari lena yang panjang. Aku terasa seperti terpukul, perut rasa tak selesa dan senak seperti mahu muntah. Barulah aku sedar bahawa ini adalah pesanan dari Allah buat aku, betapa aku telah mengabaikan tanggungjawab sebagai anak.
Tiba-tiba air mata bergenang melihat mak tetapi mak tak menangis. Dia hanya memandang aku sehinggalah kami sampai ke Jabatan Kecemasan.
Di hospital, bermulanya satu lagi satu cerita baru. Kuasa Allah dari satu jam ke satu jam, tiba-tiba banyak perubahan yang aku alami. Di hospital, doktor mula memeriksa. Mak dicucuk dan ditekan dan yang paling aku tak tahan ialah melihat mak meraung bila wayar makanan dijolok ke dalam hidung. Air mata bercucuran dan aku terpaksa menggagahkan tangan memegang erat tangan mak sebagai tanda sokongan moral.
Setelah selesai semua, mak dimasukkan ke wad dan bermula lagi satu fasa. Aku perlu menjaga mak dan kerja memang sudah dibiarkan. Diri sendiri memang aku abaikan. Pada masa itu apa yang aku tahu hanyalah menjaga mak. Penyesalan bertubi-tubi menerpa benak fikiran menyebabkan aku menjadi separuh gila. Seminggu tak mandi, makan pun tidak. Apa yang aku tahu hanyalah memastikan mak rasa selesa.
Harapan aku setiap kali mak buka mata, mak kembali seperti biasa. Namun itu tidak berlaku dan aku kecewa. Aku tidak tahu apa nak difikirkan. Ketika itulah aku mula muhasabah diri dan seperti projektor aku mula menayangkan segala kesilapan demi kesilapan aku pada mak selama ini. Semua itu memberi aku tonik dan kekuatan untuk bangkit semula.
Selepas mengharungi peperangan dengan jiwa serta emosi untuk menghadapi keadaan mak selama dua minggu di hospital, akhirnya mak dibenarkan pulang ke rumah. Di rumah, satu lagi fasa baru untuk aku hadapi iaitu aku tidak bekerja, tanpa pendapatan dan menjaga mak 24 jam. Memang banyak halangan, dugaan, air mata, sakit jiwa, hinaan, cercaan, buruk sangka dan pelbagai aku tohmahan yang aku hadapi sepanjang menjaga mak.
Pernah tiga bulan aku hanya makan nasi dengan garam, pernah guna plastik sampah serta kain batik untuk dijadikan sebagai lampin mak. Dalam banjiir besar 2014, azab dan perit memikul mak. Terasa manis bila dikenang.
Itu semua mengajar aku banyak perkara. Aku tidak pernah menyesal dan ralat dengan keputusan yang aku ambil, ada hikmah di sebaliknya. Paling ajaib, aku rasa setelah menjaga mak, Allah tunjukkan aku mana kawan mana lawan, mana saudara mana syaitan, mana orang boleh terima aku mana tak boleh. Allah tunjukkan pada aku siapa hipokrit dan siapa yang ambil kesempatan. Segala permainan dunia aku faham.
Jadi usahlah mengeluh apabila mak meminta apa-apa dari kita. Jangan pernah sesekali berpura-pura dengan ibu bapa. Kita tidak tahu bila mereka benar-benar memerlukan kita. Paling penting, bersediakan kita untuk menggalas tugas mak kita suatu ketika dahulu?
Fikirkanlah seketika, jika berjauhan dengan mak, telefonlah mak sekejap. Jika duduk bersama mak, pergilah pada mak dan pegang tangannya. Rasailah panahan itu yang mungkin akan sedarkan kamu dari lena.
Paling penting, mak aku berisi dan sihat. Ajak selfie, mengamuk tak nak. - Fakhrul Anwar | The Reporter