TELUK INTAN - Demi cinta, seorang isteri tergamak bersekongkol dengan teman lelakinya warga Nepal untuk membunuh suaminya di rumah mereka, Jumaat lalu, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, wanita berusia 30 tahun itu datang sendiri ke Balai Polis Hutan Melintang, Bagan Datoh untuk membuat laporan.
Menurutnya, wanita terbabit berkata suaminya yang merupakan seorang pemandu lori ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu kediaman mereka di Kampung Mutiara, Batu 10, Jalan Hutan Melintang.
"Hasil siasatan mendapati, mangsa berusia 40'an itu maut dipukul dengan objek tumpul dipercayai besi di bahagian belakang kepala," katanya.
Wanita itu juga turut ditahan pada hari kejadian, manakala teman lelaki serta abang kepada awanita itu yang berusia 31 tahun ditahan pada keesokkan harinya.
"Semasa disoal siasat, kedua-dua suspek membuat pengakuan membunuh mangsa. Motif pembunuhan ini dipercayai disebabkan oleh percintaan tiga segi antara isteri mangsa dengan lelaki warga Nepal itu.
"Barang-barang kes pembunuhan juga turut ditemui," katanya yang percaya kes tersebut telah berjaya diselesaikan.
Kesemua suspek berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - The Reporter