PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan terhadap seorang remaja lelaki yang terlibat dalam kejadian samun di hadapan sebuah pondok pengawal di Kelana Jaya, September lalu.
Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap remaja berusia 17 tahun itu selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Kelana Jaya, hujung September lalu.
Lapor Harian Metro, remaja berkenaan yang tidak bersekolah itu bersama rakannya R Pirabagaran, 20, mengaku tidak bersalah untuk tiga pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, Pirabagaran tetap mengekalkan pengakuannya tidak bersalah dan mahkamah menetapkan 29 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap remaja berkenaan kerana mengambil kira keseriusan jenayah yang dilakukannya pada usia muda.
Namun, peguam remaja berkenaan, Muhamad Asri Abdul Hamid, memohon anak guamnya itu dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia tidak bekerja dan masih muda.
Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang terhadap Mohamad Rasul Mohd Zukri, 26, dengan merampas kad pengenalan, kad Touch 'n Go dan sebuah kereta jenis Honda Civic milik mangsa.
Mereka juga didakwa melakukan kesalahan yang sama menggunakan parang terhadap Ain Nina Marji, 23, dengan merampas kad pengenalan, kad penguasa kastam, dua kad bank, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM200.
Kesemua jenayah itu dilakukan di tempat, waktu dan tarikh sama iaitu 3.45 pagi di Stesen Minyak Petronas Jalan SS4B/10, Kelana Jaya, 23 September lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.