Azarul Mukhriz Akui 'Dijaga Seseorang' Di Bukit Broga


Azarul (duduk) ditemui pada kira-kira pukul 11.30 pagi Sabtu.

KAJANG: Seorang pemuda yang hilang selama tujuh hari ketika mendaki Bukit Broga di Semenyih mendakwa dia 'dijaga seseorang' sepanjang tempoh kehilangannya itu.

Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 20, menceritakan pengalamannya itu kepada bapa saudaranya, Ahmad Saad, bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai kejadian itu.

Pemuda itu hilang pada 22 Januari lalu ketika mendaki Bukit Broga sebelum ditemui selamat pada Sabtu.

Ahmad Saad, 59, berkata, Mohd Azarul Mukhriz kini dalam keadaan baik dan beliau percaya anak saudaranya itu akan segera sembuh.

"Dia tidak mahu cakap banyak mengenai apa yang berlaku, tetapi katanya dia 'dijaga' oleh seseorang ketika hilang.

"Tetapi dia tidak mahu jelaskan siapa atau bagaimana dia 'dijaga'. Dia beritahu kami dia makan buah-buahan dan minum air dari air terjun semasa kehilangannya.

"Saya hanya mampu bersyukur kerana dia telah selamat dan kembali kepada keluarga," katanya ketika ditemui di Hospital Kajang pada Ahad.

Sementara itu, abangnya, Mohd Azarul Irsyad Shafiq, 26, berkata, dia lega adiknya telah kembali ke pangkuan keluarga.

"Ibu bapa kami datang dari Kedah pada hari dia hilang. Bila dia tidak dijumpai pada hari berkenaan, saya terus maklumkan adik-beradik yang lain dan mereka bergegas ke sini untuk menyertai operasi mencari pada hari berikutnya.

"Dia seorang yang ceria tetapi dia tidak mahu banyak cakap mengenai apa yang berlaku semasa berada di dalam hutan," katanya.

Ibu Mohd Azarul Mukhriz, Rohana Saad, 49, berasa amat lega selepas akhirnya dipertemukan semula dengan anak lelakinya.

"Saya tidak mahu tinggalkan dia.

"Dia kini dimasukkan ke wad kerana dehidrasi. InsyaAllah dia segera sembuh. Kami harap dapat membawanya pulang secepat mungkin," katanya.

Mohd Azarul Mukhriz bersama lima rakannya mendaki Bukit Broga pada kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu.

Pada Sabtu, dia ditemui oleh dua pendaki warga Britian pada kira-kira pukul 9.30 pagi dan dikejarkan ke Hospital Kajang untuk mendapat rawatan.

Sumber : Mediahub