Hancur Hati isteri Bila Terjumpa Gambar Suami Nikah Wanita Lain dalam Facebook
BESAR dugaan untuk orang berkasih dan bercinta jika tidak betul-betul sabar dan tawakal kepada Allah. Apa lagi yang hendak dibuat melainkan reda dengan ketentuan Ilahi dan berserah kepada Allah yang Esa, moga diberi kekuatan untuk terus hidup.
Setiap cinta, tidak semua berakhir dengan perkahwinan tetapi harapan dan janji manusia itu yang sering dipertikaikan oleh pasangan kekasih yang gagal dalam percintaan mereka terutama apabila salah seorang mungkir janji.
Inilah kisah yang saya pilih minggu ini untuk dikongsi dengan pembaca.
Kisah benar yang meruntun jiwa seorang gadis ditinggalkan kekasihnya dan bernikah dengan wanita lain. Ini ceritanya.
“Saya perkenalkan diri saya sebagai Shila (bukan nama sebenar).
Berusia 29 tahun, eksekutif sebuah bank dan lulusan universiti luar negara.
“Saya anak kedua dalam adik beradik seramai lima orang, tiga perempuan dan dua lelaki. Abang sulung telah berkahwin dan mempunyai sepasang cahayamata. Adik-adik masih menuntut di kolej. Ayah pesara kerajaan dan ibu, suri rumah sepenuh masa.
“Semasa di universiti, saya berkenalan dengan seorang lelaki, Mirza (bukan nama sebenar). Kami berkawan, menjadi rapat dan akhirnya jatuh cinta. Biasa bagi pasangan kekasih untuk berjanji sehidup semati apabila telah bekerja. Begitu juga dengan kami.
“Saya dan Mirza juga ingin hidup bersama secara sah. Dan hajat itu akan kami tunaikan setelah masing-masing bekerja. Alhamdulillah, habis belajar kami mendapat tawaran kerja. Murah rezeki kami, dan tentunya jodoh kami juga akan sampai, itulah doa saya setiap hari.
“Saya mula himpun duit untuk kahwin. Hubungan kami macam biasa, keluarga kedua-dua pihak juga sudah maklum akan hajat kami. Ada kelapangan Mirza datang ke rumah. Bagitu juga saya, tetapi tidaklah selalu ke rumahnya.
“Setelah dua tahun bekerja, saya bertanya Mirza tentang hubungan kami. Sampai bila saya harus tunggu sedangkan kami telah bekerja.
Jawabnya, dia belum bersedia dan tidak cukup duit. Dia minta saya bersabar.
“Saya faham dan bagi masa setahun lagi. Sampai tempoh setahun, saya masih tidak nampak jalan ke arah itu, bila diajukan soalan, jawapannya tetap sama. Saya pelik, ke mana pergi duit gajinya semua?
“Bila sesak duit, dia cari saya. Sebagai kekasih, tentu saya akan tolong, sebab sayang. Keadaan makin tidak nampak cahayanya apabila masuk tahun keempat. Mirza masih gagal memenuhi kata-katanya. Dia buat selamba sahaja bila saya tanya tentang janjinya untuk melamar saya.
“Sejak itu, saya tidak bertanya lagi. Dia tetap datang ke rumah, macam biasa walaupun saya mula dingin terhadapnya. Ayah dan mak selalu tanya, tapi saya diamkan diri. Saya beritahu, Mirza tak cukup duit lagi. Dia belum bersedia.
“Akhirnya mak dan ayah terus diam. Dan Mirza macam tidak bersalah, terus datang ke rumah saya walaupun saya sudah mula bosan dan letih dengan gelagatnya. Allah Maha Kaya, Dia tahu apa yang terbaik untuk saya. Oleh kerana tidak tahan dengan sikapnya dan malas lagi hendak menunggu, saya minta hubungan kami diputuskan. Dia tidak kata setuju dan tidak pula kata tidak.
“Tetapi sebagai perempuan, saya anggap sudah putus. Saya mula jemu untuk berjumpa dengan dia. Tidak sampai tiga minggu hubungan kami putus, seorang kawan menelefon saya dan memaklumkan Mirza sudah berkahwin.
“Kata kawan saya itu, gambar persandingannya ada dalam FB (Facebook). Kawan-kawan sama universiti yang tahu hubungan kami mengirim mesej dan WhatsApp memaklumkan pernikahan Mirza. Saya tidak melatah. Saya tidak tahu apa nak kata, sama ada hendak menangis atau tidak.
“Setelah melihat FB dan membelek-belek WhatsApp dan mesej yang dikirim kawan-kawan, memang sah Mirza sudah berkahwin. Tidak salah lagi. Dia nampak ceria, bahagia dengan isterinya. Langsung tidak ada perasaan bersalah. Pada hal dia tahu saya, kawan-kawan dan keluarga saya akan melihat gambar persandingannya itu.
“Saya tidak menangis, sebab kalau menangis air mata darah sekalipun, semuanya sudah terjadi. Dia sudah jadi suami orang. Dia mungkir janji.
“Dia lelaki tidak berhati perut. Dia biarkan saya tunggu selama empat tahun, tetapi akhirnya dia bernikah dengan orang lain.
“Maknanya semasa masih bersama saya, dia sudah bermain kayu tiga dengan perempuan lain tanpa pengetahuan saya. Tergamak dia hancurkan harapan saya, kecewakan orang tua saya serta musnahkan janji kami untuk hidup bersama. Empat tahun saya dipermainkan lelaki ini.
“Tetapi saya reda, sebab saya sudah nampak pengakhirannya untuk kami dengan sikap Mirza yang tidak ikhlas dalam perhubungan kami.
Mak dan ayah terdiam apabila saya maklumkan Mirza sudah bernikah. Mak menangis kerana kasihankan saya yang sangat setia dengan Mirza dan menolak pinangan orang lain.
“Ayah juga marah. Saya sangat sedih kerana Mirza telah menggunakan kebaikan saya dan keluarga untuk kepentingan dirinya sebelum ini. Saya tidak akan jadi bodoh untuk menangis dan meratapi nasib saya. Saya bersyukur kerana Allah tunjukkan warna sebenar lelaki yang pernah saya cintai ini.
Saya doakan dia bahagia.
“Saya berpegang kepada kata-kata mak, Allah akan hadiahkan saya lelaki yang lebih baik daripada Mirza, doa selalu kata mak. Mintalah kepada Allah, insya-Allah Dia akan makbulkan. Semoga Allah bagi kekuatan kepada saya untuk terus bangkit dan melupakan apa yang telah berlaku,” Shila menamatkan ceritanya.
Terkedu saya seketika. Saya sangat bersimpati dengan apa yang Shila lalui. Tetapi saya tahu, ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Allah menduga hambaNya yang dia sayang. Bertabahlah Shila. Lupakan semua yang pahit, fokus dan terus melangkah ke hadapan. Saya doakan Shila akan sentiasa dilindungi Allah SWT.
Menamatkan catatan, pesanan saya, jangan terus menangis kerana kecewa tetapi belajarlah untuk kembali ketawa supaya dapat terus menghargai hidup dan mensyukuri nikmat Allah. Bersabar dan bertabahlah kerana Allah ada ganjaran lebih besar untuk mereka yang bersabar dan reda dengan ujianNya.
Salam.
- See more at: http://ift.tt/2jFNd6Q
Sumber : Mediahub