Pastikan Kuku Bersih Macam Ini Sebelum Mula Masak Khusunya kepada Ibu
Nak kuku cantik dan sihat, biasanya wanita akan ke salon kecantikan atau spa melakukan manikur padikur. Tapi kalau mahu berjimat, anda boleh melakukan sendiri perawatan kuku di rumah dengan menggunakan bahan alami. Jom, cuba petua ini...
1. Bersihkan Dengan Limau Nipis/ Lemon
Tidak perlu mengeluarkan belanja besar, cukup sekadar menggunakan limau nipis atau lemon sebagai ramuan utama rawatan. Belah limau nipis atau lemon kepada dua bahagian, kemudian gosokkan pada kuku dan jari jemari. Biarkan selama dua hingga tiga minit, kemudian bilas dengan air. Lakukan dua kali seminggu, kuku dan jari tampak bersih dan cantik.
2. Minyak Zaitun/ Kelapa Dara
Kuku pecah dan kulit jari kasar membuatkan wanita kurang keyakinan diri. Usah biarkan masalah ini berlarutan. Gunakan minyak zaitun atau kelapa dara untuk merawat kuku pecah dan kulit kasar. Oles minyak tersebut pada kulit setiap malam sebelum tidur. Urut tangan dan kuku secara perlahan-lahan, ia juga membantu melancarkan perjalanan darah.
3. Khasiat Bawang Putih
Bagi anda yang mempunyai kuku rapuh dan mudah patah, cuba petua ini. Tumbuk bawang putih sehingga lumat. Kemudian, gosokkan pada kuku. Lakukan petua ini setiap hari atau selang sehari. Kuku bukan sahaja menjadi lebih kuat malah berkilat.
4. Belimbing Buluh Atasi Kuku Kusam
Kuku kusam dan kering mudah pecah dan tampak tidak elok. Jangan susah hati, lakukan petua ini. Gosok kuku dengan belimbing buluh dua kali seminggu. Selepas itu, rendamkan jari seketika di dalam air yang dicampurkan garam bukit. Kuku akan beransur sihat dan cantik dalam masa yang singkat.
5. Daun Kangkung Putihkan Kuku
Adakala kuku kelihatan comot dengan kesan kotoran yang sukar tanggal seperti dakwat pen dan minyak hitam. Ia meninggalkan kesan yang mencacatkan penampilan wanita. Bagi membersihkan dan memutihkan kuku, gunakan daun kangkung. Tumbuk daun kangkung sehingga lumat, kemudian gosok pada kuku. Biarkan sehingga 10 hingga 15 minit. Bilas dengan air bersih.
6. Potong Kuku Secara Konsisten
Kuku panjang dan tidak bersih mudah mengundang bakteria. Pastikan kuku anda dipotong pendek dan kemas. Jangan potong kuku terlalu pendek kerana ia boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan.
7. Gunakan Sarung Tangan
Selain mengamalkan petua di atas, penjagaan kuku tangan mesti dilakukan secara berterusan. Amalkan menggunakan sarung tangan ketika berkebun dan membasuh pinggan atau barang menggunakan sabun yang mengandungi bahan kimia. Ia menyebabkan kulit menjadi kering dan kuku mudah patah.
Sumber : Mediahub