Panduan Dalam Islam Untuk Wanita Yang Bekerjaya


Memiliki kerjaya bagi wanita yang sudah berkeluarga pada hari ni bukan lagi perkara baru. Bahkan golongan wanita ini memiliki kerjaya yang sama tinggi dan rendahnya dengan kaum lelaki.
Jika suatu ketika dahulu pembabitan golongan ini dilihat asing, tetapi situasi hari ini telah mengajak golongan ini untuk sama-sama membanting tulang dalam menyumbang kepada tabung ekonomi keluarga.
Hari ini juga peranan wanita dalam bidang ekonomi sangat ketara sehinggakan sudah tidak ramai lagi wanita yang memilih untuk berada di rumah, walau secara tradisinya seseorang wanita yang telah berumahtangga sangat bertanggungjawab besar dalam mengurustadbir rumahtangga dan memastikan didikan yang sempurna kepada anak-anaknya.

Bagaimana Menurut Islam?

Dalam hal wanita berkerjaya ini, Islam tidak menghalang dan menghukum haram untuk wanitanya bekerja dan bekerjaya di luar rumah secara total. Apatah lagi jika ianya merupakan keperluan diri dan keluarga.
Islam juga menganggap pekerjaan yang dilakukan oleh setiap penganutnya sebagai suatu ibadah selagi dikerjakan dengan niat yang ikhlas dan tidak tergelincir daripada landasan Islam.
Mengambil contoh peranan wanita semasa zaman Rasulullah SAW, Asma binti Abu Bakar yang berkerja bersama-sama suaminya sebagai pengembala kambing, bahkan Khadijah binti Khuwailid sebagai usahanita yang sangat berjaya.

Adakah Terdapat Syarat untuk Golongan Wanita Bekerjaya?

Ada. Namun syarat tersebut tidaklah terlalu ketat dan menghukum, tetapi lebih melindungi para wanita Islam. Oleh itu, setiap syarat dan halangan yang diajarkan oleh Islam seharusnya dipratikkan oleh wanita ketika bekerja di luar rumah iaitu;
1. Memilih kerjaya yang bersesuaian sebagai muslimah.
2. Menjaga aurat dan pergaulan.
3. Bijak memilih antara kewajipan terhadap keluarga dengan kerjaya.
4. Masih bertanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya.
5. Bijak membahagi masa untuk urusan keluarga.
6. Sentiasa menjaga maruah diri, suami dan keluarga.
Imam al-Qaradhawi turut menggariskan beberapa syarat untuk wanita bekerja iaitu:
1. Pekerjaan yang dilakukan itu adalah halal
2. Wanita Muslimah perlu mempunyai kemahuan dan komitmen tinggi dalam menjaga etika syariat dari sudut pemakaian, cara berjalan, percakapan dan pergerakan.
3. Pekerjaan yang dilakukan tidak mengorbankan kewajipan terhadap suami dan anak-anak.
Jadi, walaupun berperanan besar dalam jawatan dan setiap kerjaya sekalipun, wanita muslimah tidak seharuskan menunjangkan bidang kerjaya melebihi tanggungjawabnya terhadap keluarga.
Keredaan suami dan tanggungjawab terhadap keluarga adalah kutamaan yang melebihi segalanya, yang paling penting adalah keberkatan Allah SWT yang menjadikan rumahtangga tersebut sebuah syurga dunia.
“Maka perempuan-perempuan yang saleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama.”
Al-Nisa: 34

Sumber: Tazkirah.net

via Bin Usrah