Harapkan penerbangan selamat, wanita baling duit syilling dalam enjin pesawat


PUDONG, CHINA - Berharap penerbangannya selamat, seorang wanita warga tua membaling beberapa keping duit syilling ke dalam enjin kapal terbangnya menyebabkan penerbangan pesawat itu terpaksa ditunda, lapor Shanghaiist

Semasa memasuki kapal terbang, penumpang China Southern Airlines yang dijadualkan berlepas dari Shanghai ke Guanzhou ternampak seorang wanita warga tua bernama Qiu membaling duit syilling ke enjin pesawat, lalu segera melaporkan perkara itu kepada polis lapangan terbang. 

Beberapa penumpang yang menceritakan semula kejadian itu di laman Weibo berkata, wanita warga tua itu berbuat demikian atas alasan berharap agar penerbangan pesawatnya ke destinasi selamat. 

Wanita terbabit yang merupakan pengganut agama Buddha telah ditahan untuk disiasat. 

Pekerja lapangan terbang terpaksa menghabiskan masa selama empat jam untuk memeriksa dan mencari duit syilling dalam enjin pesawat tersebut. Hasilnya, mereka menemui lapan keping duit syilling di sekitar enjin dan hanya sekeping duit syilling sahaja yang termasuk ke dalam enjin pesawat. 


Menurut juruterbang pesawat berkenaan, meskipun hanya sekeping duit syilling yang termasuk dalam enjin, ia boleh mengakibatkan bencana besar jika duit syilling itu tidak dikeluarkan. 

Ekoran kejadian itu, penerbangan yang sepatutnya berlepas jam 12.40 tengah hari ke Guangzhou itu terpaksa ditunda dan berlepas selepas lima jam kemudian.