HONG KONG - Seorang lelaki ditahan tengah hari semalam untuk membantu siasatan selepas rakaman video viralnya mendera anak perempuannya berusia lima tahun, viral di media sosial.
Dalam kejadian yang berlaku kediaman mereka di sebuah flat di Sham Shui Po, suspek, Chen, 47, dan isterinya, Huang, 26, telah ditahan hasil maklumat dari orang awam
Siasatan awal pihak polis mendapati, kes dera itu berlaku pada bulan Mac tahun 2016. Mangsa yang dilahirkan pada tahun 2013 kini berusia 5 lima tahun itu pula adalah hasil perhubungan Chen dengan teman wanitanya. Namun mereka telah berpisah dan Chen kemudian berkahwin dengan Huang, 26 tahun.
Kanak-kanak perempuan yang tidak didedahkan identitinya itu difahamkan telah diselamatkan dan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Kanak-Kanak.
Bagaimanapun, rakaman video kejadian itu viral di media sosial sejak kelmarin mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang berang dan mendesak pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Chen yang juga mempunyai rekod kesalahan lampau. Malah netizen juga meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap wanita yang merakam kejadian itu, meminta polis turut mengambil tindakan tegas terhadapnya.
Berdasarkan rakaman video berdurasi 1 minit 40 saat itu, Chen berulang kali menyumpah seranah dan membuka baju mangsa sebelum dipukul tanpa belas kasihan. Chen tergamak memukul kepala, belakang badan, termasuk menendang mangsa berkali-kali. Mangsa yang tidak berdaya hanya mampu menangis dan melindungi kepala dengan kedua-dua tangannya dari terus dipukul oleh Chen.
Sementara itu, wanita yang merakam video kejadian itu dipercayai Huang, cuba meminta Chen dari terus memukul mangsa dan berulang kali berkata,
"Sudahlah. Jangan pukul lagi. Nanti mati budak tu," kata Huang.
Walaupun kejadian itu berlaku pada Mac 2016, pihak polis tetap menahan Chen dan Huang untuk membantu siasatan dan pasangan itu dijangka akan didakwa di mahkamah atas dakwaan mendera kanak-kanak.