KUALA TERENGGANU - Berang disaman atas kesalahan merokok di zon yang telah wartakan sebagai zon larangan merokok, pasangan suami isteri meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial terhadap seorang Pegawai Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
H.I, memuat naik status di Facebook yang menyatakan dia terkejut apabila dia dan suaminya didatangi 3 hingga 4 Penguatkuasa KKM yang mengenakan saman terhadap suaminya kerana melakukan kesalahan merokok di zon larangan, di medan selera, Mydin Mall, Kuala Terengganu.
"Hilang mood nak makan. Masuk-masuk kedai saja dah kena serbu sampai 3-4 orang. Ingatkan SB ke, polis ke berpakaian preman, rupanya budak-budak kesihatan baru nak up. Sebabnya, suami kepit rokok masuk kedai, tak ingat nak buang," katanya.
H.I mendakwa, penguatkuasa yang menahan mereka pada waktu itu berlagak dan melayani mereka seperti penjenayah dan memalukan mereka di tempat awam.
Malah, dia kesal tindakan penguatkuasa itu telah menghalang dia dan suaminya berlibur pada malam itu selepas seharian penat bekerja.
"Inilah yang buat rakyat marah kepada kerajaan. Sudahlah minyak naik, kena bayar saman lagi," katanya.
Bagaimanapun, status itu telah dipadamkan H.I yang mendakwa beberapa Penguatkuasa Kesihatan 'meroyan' dan menyerang Facebooknya itu.
Dalam masa yang sama, suaminya yang menggunakan nama C.B juga turut memuat naik status dan gambar yang meminta orang ramai berjaga-jaga bila pergi ke medan selera berkenaan.
C.B mendakwa, dia telah dianiaya dan diperangkap kerana penguatkuasa yang bertugas pada malam itu tidak memakai pakaian khas. Malah mendakwa tindakan penguatkuasa menjalankan operasinya di medan selera itu telah menyebabkan peniaga merungut berikutan tiada pelanggan yang mahu 'melepak' di situ.
Bagaimanapun, Penguatkuasa KKM, Mat Yoe, yang terlibat dalam operasi itu tampil memberi penjelasan dan menafikan beberapa dakwaan pasangan itu kononnya mereka dianiaya.
"Alang-alang muka saya dah viral atas tiket pengkhianat kepada Kerajaan Malaysia, di sini saya ingin membersihkan nama baik saya.
"Individu yang bertindak menularkan gambar saya adalah seorang wanita dan juga seorang penjawat awam. Beliau tidak berpuas hati kerana suami beliau telah disaman oleh anggota KKM atas kesalahan merokok di Medan Selera, Mydin Mall Kuala Terengganu.
"Beliau mendakwa bahawa tiada papan tanda larangan merokok di kawasan terbabit, walhal ada dua papan tanda dilekatkan berhampiran pengadu.
"Pengadu juga tidak memberikan kerjasama sewaktu penguatkuasa KKM ingin menjalankan tugas. Pengadu mendakwa beliau telah dimaulkan di khalayak ramai dan hak untuk beliau berlibur setelah seharian bekerja telah disekat," katanya.
Mengulas mengenai status yang dimuat oleh H.I, Mat Yoe mengaku bahawa beliau telah tampil memberi penjelasan di status wanita itu sebelum kedua-dua pihak berhubung di Facebook Messenger.
Mat Yoe berkata, wanita itu telah memutar-belitkan kenyataan dan memuat naik gambar dan profil peribadinya untuk tujuan viral di media sosial.
Menurut Mat Yoe, lelaki itu mungkin tidak akan disaman jika dia mengakui kesalahan yang dilakukan.
"Jika dia mengakui kesalahannya, bercakap dengan nada yang sopan, mungkin dia akan dilepaskan tanpa mendapat 'surat cinta'. Namun tindakan memuat naik gambar, profil peribadi pegawai di Facebook adalah salah di sisi undang-undang, malah mengeruhkan lagi keadaan," katanya.
Sementara itu, laman IK (Inspektor Kesihatan) Logic menegaskan, mana-mana individu yang merokok di kawasan larang adalah salah di sisi undang-undang.
"Menurut Peraturan 11(1)(n), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, mana-mana individu dilarang merokok di mana-mana kawasan di dalam kompleks membeli belah.
"Tidak perlu nak menegakkan benang yang basah. Ini bukan budak-budak baru nak up, tetapi operasi penguatkuasaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang tidak mematuhi larangan merokok di zon larangan," katanya.
Difahamkan, anggota penguatkuasa yang menjadi mangsa viral berkenaan mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap pasangan berkenaan di atas penularan gambar dan maklumat peribadinya yang dimuat naik dengan tujuan mengaibkannya.