Menurut lelaki berkenaan yang menggunakan nama samaran Cairo di Facebook, kakitangan KKM yang mendakwa gambar dan maklumat peribadinya diviralkan di media sosial itu sebenarnya bukan anggota penguatkuasa yang mengenakan saman terhadapnya. Malah lelaki terbabit juga bukan anggota penguatkuasa, sebaliknya pembantu kesihatan awam di sebuah klinik di Kedah.
Melalui Facebook isteri kepada Cairo, Hazlyn Ismail, menjelaskan bahawa dalam postingnya sebelum ini, beliau tidak menyatakan kononnya mereka tidak sedar ada papan tanda larang merokok di situ dan individu berkenaan telah menokok-tambahkan cerita yang sebenar.
"Dalam posting asal saya tidak menyatakan bahawa tiada papan tanda larangan merokok di situ. Individu itu telah menokok-tambahkan cerita. Malah saya dan suami tidak berang disaman tetapi sekadar meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan cara anggota penguatkuasa yang kasar.
"Mereka tidak memakai uniform atau vest dengan beg sandang di bahu. Mereka datang seperti polis atau penarik kereta membuatkan kami terkejut dengan cara mereka.
"Suami saya meminta maaf banyak kali kerana terlupa, namun tidak dihiraukan sebelum diminta menyerahkan kad pengenalan. Apabila suami enggan memberi kad pengenalan, mereka menghubungi pihak polis yang menyatakan berlaku ketegangan. Walhal suami saya tidak meninggikan suara pun. Mereka merakam gambar kami dan kami kira itu sebagai satu provokasi.
"Bagaimanapun, kes selesai apabila suami beri kad pengenalan dan mereka keluarkan saman," katanya.
Hazlyn kesal dengan tindakan individu yang telah menviralkan dirinya seolah-olah berada di tempat kejadian pada waktu itu.
Dalam masa yang sama, seorang saksi kejadian tampil menceritakan apa yang berlaku pada waktu kejadian itu.
"Pasangan suami isteri itu dari parking lot ke Mydin dan duduk di kawasan medan selera Mydin sebelum didatangi lima lelaki berpakaian biasa yang mengaku sebagai penguatkuasa. Si suami memegang rokok yang masih menyala di tangannya ketika itu dan menyebabkan dia disaman.
"Pegawai meminta lelaki itu menyerahkan kad pengenalannya, dan lelaki itu juga meminta kad kuasa mereka kerana bimbang berlaku penipuan. Namun pegawai terbabit tidak menunjukkan kad kuasa, malah mengata lelaki itu menghalang mereka melaksanakan tugas, sebelum menghubungi pihak polis.
"Apabila lelaki itu tahu polis dalam perjalan dan diugut kalau tidak bekerjasama, dia akan dibawa ke mahkamah dan didakwa serta didena RM3,000 atau hukuman penjara, barulah lelaki itu menyerahkan kad pengenalannya. Saman diberikan oleh pegawai yang tidak memakai pakaian seragam.
"Apabila polis tiba di tempat kejadian, polis mendapati tiada sebarang unsur keganasan dan ketegangan berlakiu dan beredar. Selepas selesai mengenakan saman, penguatkuasa itu bertanya 'Adakah anda tidak puas hati dengan layanan saya?", dan lelaki itu menjawab "kes telah selesai".
"Selepas kejadian itu, ramai yang bertanya kepada mangsa yang sebenarnya yang berlaku sehingga mengundang kehadiran polis yang pada awalnya mereka sangkakan berlaku kes jenayah. Hal ini telah memalukan mangsa.
"Dari apa yang saya faham pada status isterinya, tiada membangkitkan isu saman rokok tetapi cara anggota penguatkuasa melakukan serbuan itu telah memalukan mereka," kata saksi, Khairul Habibullah.
Ketika dihubungi, Cairo juga menjelaskan dia ada meminta anggota penguatkuasa menunjukkan kad kuasa mereka, namun dari awal hingga akhir tiada kad kuasa yang ditunjuk.
"Tidak ada langsung kad kuasa ditunjukkan kepada kami, mereka hanya mengaku secara lisan sahaja," katanya.