Suami mana yang tidak mahu melihat isterinya cerita, gembira dan bahagia, kan? Bukan dibahagiakan dengan harta benda, tetapi cukuplah sekadar perbuatan yang mudah dan ringkas sudah mampu membuatkan hati mereka berbunga-bunga.
Seperti yang dikongsikan oleh saudara Bijen Mohd, pakailah cincin kahwin yang diberi oleh isteri semasa kahwin. Jangan disimpan pula dalam peti harta karun. Tetapi kalau jari jemari sudah 'berisi', usahlah pakai. Nanti terpaksa panggil bomba pula. Semoga bermanfaat.
TIDAK lama lagi, inshaAllah genaplah lima tahun usia perkahwinan saya dan isteri. Saya lihat di jari, masih tersemat cincin perkahwinan kami. Romantik, bukan? Err...
Bagi orang perempuan, pakai cincin kahwin itu adalah perkara biasa. Tetapi bagi orang lelaki, cukuplah pakai sebulan atau setahun dua sahaja. Bukan apa, tugas harian seorang lelaki membuatkannya tidak berapa relevan untuk memakai cincin sentiasa. Tak percaya? Cuba periksa jari jemari mereka, berapa kerat saja yang masih ada cincin kahwin di jari? Boleh dikira dengan jari.
Saya sebenarnya pun sama, rasa geli. Sehinggalah pada satu hari ketika daurah kitab Syamail Muhammadiah, tuan guru mensyarahkan bab cincin Nabi. Beliau beritahu cukup seseorang itu memakai cincin pinjam walau seketika, dia sudahpun mendapat pahala.
Maksudnyanya di sini, Ali berjumpa dengan Abu. Ali berkata pada Abu bahawa dia mahu meminjam cincinnya. Abu melurut keluar cincin dari jarinya dan diberi kepada Ali. Ali menyambut cincin tersebut lalu menyarungkan ke jari manisnya.
Selepas beberapa saat, Ali pun menanggalkan dan memulangkan kepada Abu dengan ucapan terima kasih. Itupun sudah dikira mendapat pahala Sunnah. Wahh! Mudah sangat nak mendapat pahala.
Selepas mendengar saja perkara itu, saya terus bersemangat nak beramal. Bila pulang ke rumah, saya pun carilah apa cincin yang ada sehinggalah saya terjumpa cincin kahwin dulu kala. Saya tabahkan hati memakainya. Niat nak amal Sunnah semata-mata.
Nak dijadikan cerita, bila isteri tengok kita pakai cincin kahwin yang dia berikan dulu, hatinya pun mula berbunga-bunga. Amboi!
Rupa-rupanya orang perempuan ini bahagia bila kita memakainya. Mungkin dia rasa kita akan sentiasa ingat pada dirinya ataupun sebagai petanda kepada makwe-makwe di luar sana bahagia lelaki tersebut sudahpun berpunya.
Sekurang-kurangnya kalau lelaki dia nak pergi karaoke sewaktu dia sedang berpantang, tengok cincin, teringatlah juga. Eh!
Tapi seriuslah, bila pakai cincin kahwin ini rasa macam cinta itu segar bugar saja. Rasa macam baru kahwin pun ada. Sudahlah amal Sunnah dapat pahala berganda, gembirakan hati isteri pun ada pahalanya.
Orang perempuan, setujukah anda?
Pengantin baru anak dah dua
p/s: ini heart beat cinta kanda bila teringatkan dinda