'Ada yang dicaj sehingga AUD$10,000 untuk mohon visa' - Wanita dedah segelintir rakyat Malaysia berhijrah ke Australia menjadi mangsa scammer


PERHATIAN: RAKYAT MALAYSIA YANG MAHU DATANG BEKERJA DI AUSTRALIA 
Cara mengelakkan diri dari tertipu dengan ejen yang tidak diiktiraf dan berdaftar. 

Saban tahun ramai rakyat Malaysia yang ingin berhijrah ke Australia sama ada untuk bekerja dan terus menetap di sini. Disebabkan lambakkan dan permintaan yang tinggi rakyat Malaysia yang ingin ke sini telah menyebabkan segelintir rakyat kita yang tidak bertanggungjawab, yang telah lama berada disini mengambil peluang untuk menipu dan memperbodohkan mereka dengan menjanjikan visa untuk bekerja di Australia.

Ada segelintir mereka menjanjikan dan menyediakan perkerjaan terutama di sektor perladangan dengan mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi atau nilai yang tidak sepatutnya. Untuk mendapatkan perkerjaan dan pengurusan untuk ke sini ada sebahagian ejen yang tidak berdaftar/scammer mengenakan caj pengurusan sebanyak RM3,500-RM10,000 kepada seorang individu. Nilai ini sangatlah tinggi dan berunsur penipuan serta penganiayaan ke atas individu yang menjadi mangsa. 


Untuk makluman, bagi mendapatkan pekerjaan di Australia, tiada sebarang bayaran pendahuluan yang perlu dibayar untuk mendapatkan kerja.

Rata-rata penipuan ini berlaku ke atas individu yang ingin datang ke Australia dan bekerja di ladang. Tidak dinafikan untuk mengenakan caj atas usaha menguruskan mereka ke Australia, namun biarlah kena pada harga dan tidak terlalu tinggi yang melampaui batas. Kebanyakkan mereka yang nak datang bekerja di sini adalah dalam keadaan terdesak dan janganlah gunakan kesempatan ini untuk menangguk ikan di air yang jernih. Kasihanilah mereka, jangan menipu dan letakkan bayaran yang tidak sepatutnya.

PROTECTION VISA - BRIDGING VISA

Fenomena kedua yang berlaku di Australia adalah menawarkan perkhidmatan untuk memohon “Protection Visa Subclass 866 (XA)” @ lebih dikenali Bridging Visa di kalangan rakyat Malaysia. 

Rata-rata ramai tertipu dan kurang faham apa visa ini. Ada sebahagian memohon visa ini tanpa memikirkan masalah yang akan berlaku di masa akan datang. Ada individu yang tidak bertanggunjawab telah mengenakan caj perkhidmatan AUD$300-AUD$5,000 untuk satu permohonan. 

Untuk makluman, harga sebenar visa ini adalah AUD$35 sahaja. Bagi pendapat peribadi saya, AUD$300 untuk servis caj masih boleh diterima atas alasan pihak 'ejen' perlu menyiapkan kertas kerja dan sebab-sebab yang hebat untuk pemohon. Namun jika melebihi AUD$500, itu adalah satu penganiayaan dan penindasan terhadap orang sendiri. Ditambah lagi, mereka tidak memberikan infomasi yang lengkap untuk visa ini, menyebabkan masa depan pemohon dalam keadaan samar seandainya visa ini gagal/refuse.

Sepintas lalu. Apa itu protection visa? Protection visa ini didefinisikan untuk mereka yang mempunyai masalah di negara sendiri, yang memerlukan perlindungan dari kerajaan Australia atas sebab seandainya mereka pulang ke Malaysia, mereka akan dihukum, dibunuh, atau berlaku kekecaman ke atas mereka sama ada secara fizikal atau mental. 


Terdapat beberapa faktor yang menjadi kayu ukur dalam memohon visa ini iaitu disebabkan penukaran agama, perbezaan politik, kewarganegaraan atau berminat untuk menjadi gay/lesbian. Setiap pemohonan visa ini haruslah mengemukakan bukti yang kukuh. Misalnya, anda memerlukan perlindungan disebabkan anda berhutang dengan Ah Long, ceti haram. Jika anda pulang, nyawa anda terancam. Semua sebab diberi haruslah dikemukan bukti yang jelas dan tepat.

Namun pada tahun 2017 ini, lambakkan rakyat Malaysia yang memohon visa ini telah menyebabkan 98% ditolak. Ini kerana Malaysia adalah negara kelas pertama yang mempunyai kestabilan politik yang bermaksud, tiada keganasan/peperangan, mempunyai perlembagaan iaitu jika mereka terjebak dengan ceti haram/Ah Long, ada badan yang akan melindungi mereka iaitu seperti polis dan lain-lain. 

Kesilapan berlaku di sini apabila ramai yang tidak faham fungsi protection visa. Untuk mendapatkan visa ini sangat sukar dan banyak akan diuji untuk mendapatkan visa ini. Jangan pohon visa ini jika anda masih muda atau  berumur lingkungan 18-35 tahun kerana kita tidak tahu apa akan berlaku di masa akan datang.

Untuk makluman, setiap permohonan visa ini segala maklumat akan disimpan dan direkod di dalam pangkalan data imigresen. Justeru ini akan menyukarkan keluarga anda seandainya anda meletakkan segala butiran keluarga, adik-beradik dan ibu-bapa di dalam permohonan ini. Misalnya, anda memohon protection visa dan visa anda telah ditolak dan anda menetap di Australia secara haram. Apabila salah seorang ahli keluarga anda ingin ke Australia, kebarangkalian untuk tidak dapat masuk adalah tinggi kerana rekod lampau anda yang tidak cantik. Besar kemungkinan juga akan menyukarkan mereka masuk dan memohon lain-lain visa.

Kepada pemohon visa, inilah kesan dan akibat yang akan berlaku di masa akan datang. Sukar untuk mendapatkan pertolongan daripada mana-mana agensi untuk memohon visa lain. Jika anda telah memohon protection visa ini, secara automatik anda tidak layak untuk memohon atau menukar kepada student visa. Anda tidak lagi berpeluang untuk meneruskan kehidupan di sini/Australia sekiranya visa protection anda ditolak. Tiada lagi peluang anda di sini jika visa anda gagal.

Nasihat saya, jika masih muda janganlah mohon visa ini kerana kita belum tahu jika sekiranya kita ingin kembali semula ke Australia di masa akan datang. Pilihlah jalan yang cerah dan yang akan membantu kita untuk masa depan dan kehidupan akan datang.

Sila fahami, ambil tahu sebelum membuat permohonan visa ini. Jangan terikut-ikut dengan budaya ikut kawan dan sebagainya. Jika kita ingin membina kerjaya untuk masa depan, ingin berjaya di masa akan datang, pilihlah jalan dan laluan yang betul. Bina kerjaya di jalan yang betul, buatlah investment yang betul untuk masa depan.

Ada yang terkeliru Protection Visa vs Bridging A,B,C,D,E. Rata-rata mereka tidak faham apa itu bridging dan beranggapan bridging itu adalah visa mereka telah lulus untuk menetap di Australia.

Bridging Visa dalam ayat paling mudah adalah visa menunggu yang diberikan kepada pemohon ketika pihak imigresen dalam proses untuk meluluskan permohonan visa yang dipohon. Sebagai contoh, memohon protection visa, sementara pihak imigesen membuat keputusan sama ada lulus/gagal, mereka diberikan bridging ini dan bridging ini akan mendapat segala kebaikan sama seperti visa yang kini sedang dipohon.


Contoh dari segi visa condition: 
  • Mendapat hak untuk bekerja
  • Hak untuk hidup di Australia tanpa ganguan
  • Hak untuk belajar dan sebagainya.

Kategori Bridging terbahagi kepada beberapa bahagian, paling banyak adalah Bridging A, Bridging C. 

Bridging A adalah permohonan yang dibuat sebelum visa sebelum tamat. Contoh Visa ETA belum tamat, mereka memohon protection visa/student visa dan secara automatik mereka akan dapat bridging A.

Bridging C adalah pemohon yang membuat permohonan ketika visa sebelum telah tamat tempoh atau mereka telah menjadi illegal.

Untuk lebih mendalami info, sila rujuk laman imigresen Australia.

TIPS NAK ELAK DITIPU
  1. Sebelum memohon apa-apa visa sila gunakan carian engine Google untuk mendapatkan info yang tepat
  2.  Jangan mohon visa sebelum tahu kebaikan, keburukan visa tersebut di masa akan datang
  3. Rujuk laman Department of Immigration and Border Protection Australia untuk mengetahui segala info
  4. Rujuk kepada orang yang bertauliah seperti peguam, migration agent, study agent untuk sebarang info tambahan
  5. Jangan buat pembayaran jika 'ejen/scammer' tidak memberi anda info yang tepat
  6. Jangan semudahnya memberikan wang kepada mereka untuk membuat permohonan visa
  7. Pastikan anda tidak mengikut kawan untuk memohon apa-apa visa
  8. Pastikan anda kaji dan selidik terlebih dahulu latarbelakang 'orang' yang akan membuat permohonan anda
  9. Pastikan anda sentiasa berhati-hati sebelum membuat apa-apa keputusan
  10. Sentiasa bertanya dan cuba ambil tahu keadaan visa semasa, bukan terikut trend yang hot sahaja.


Semoga info di atas bermanfaat kepada mereka yang bakal atau telah pun berda di Australia. Dan kepada 'ejen/scammer', janganlah membuat penipuan dengan menaburkan janji-janji manis kepada mereka yang terdesak untuk terus menetap di Australia bagi mencari rezeki yang halal.

Pada penghayatan dan pengalaman saya, ambillah keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke sini menjadi satu titik point untuk membina kerjaya di sini secara sah. Laluan sebagai pelajar di sini sangat cerah untuk membina kerjaya di masa depan. 

Saya ucapkan selamat maju jaya yang ingin menjadi anak rantau. InshaAllah di lain masa saya akan menulis lagi dari sudut seorang anak rantau yang ingin berjaya membina kerjaya di masa depan di bumi Australia.

Sekian anak rantau. Terima kasih kerana membaca, sila kongsikan kepada rakan anda.