Ezlynn dan Adam Fahmy bercerai talak satu


KUALA LUMPUR - Penyanyi, Ezlynn atau nama sebenar Azline Ariffin, 36, bercerai talak satu dengan suaminya, Adam Fahmy Shamsuddin, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro

Adam Fahmy melafazkan cerai terhadap Ezlynn di hadapan Hakim Syarie Noor Byetty Nasir, pada jam 10.30 pagi. Dalam prosiding itu, sebelum Adam melafazkan cerai, Noor Byetty mengarahkan dia dan Ezlynn bermaafan. 

Permohonan cerai secara baik itu difailkan oleh Ezlynn pada 7 April lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur 1984. 

Ezlynn dan Adam Fahmy mendirikan rumah tangga pada 21 November 2011, namun belum dikurniakan cahaya mata. 

Sebelum ini, Ezlynn mendakwa rumahnya telah diceroboh oleh suaminya sendiri sehingga pagar rumah juga dibuka dan ditinggalkan dalam rumah. Selain itu beberapa barangan berharga miliknya juga turut diambil.

Bagaimanapun, Adam Fahmy menafikan dakwaan itu kerana rumah berkenaan adalah milik mereka bersama.


BACA: 'Aku kerja hari-hari, penat cari duit, kau ambil semua duit aku!! Suami tak guna' - Ezlynn

Lapor mStar Online, Adam Fahmy akan memfailkan nusyuz terhadap Ezlynn dalam masa terdekat bagi membuktikan kepada mahkamah bahawa segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sebelum ini adalah fitnah. 

Malah katanya, Ezlynn juga ingkar untuk kembali taat kepadanya walaupun dia telah menyerahkan surat tuntutan untuk berbuat demikian kepada Ezlynn pada 15 Ogos lalu. 

"Demi menyelamatkan rumah tangga kami, saya minta dia kembali taat dan berpindah ke rumah kelamin baru kami di Cheras, tetapi dia tidak mengendahkannya. Malah saya minta dia tidak lagi melakukan perkara-perkara tanpa izin dan di luar pengetahuan saya, namun semuanya diabaikan. 


"Dia juga tidak henti-henti menyebarkan fitnah tentang saya walaupun saya sudah menegurnya tidak boleh mengaibkan suami, namun semuanya dilakukan untuk mendapatkan simpati masyarakat," katanya. 

Dalam laporan itu juga, Adam berkata dia mengambil keputusan untuk bercerai secara baik kerana tidak tahan menjadi mangsa fitnah bekas isterinya itu sehingga dia dan keluarganya mendapat malu. 

Jelasnya lagi, dia sudah cuba menyelamatkan perkahwinan mereka dengan pendamaian, tetapi Ezlynn tetap nekad untuk bercerai. 

"Dia telah melakukan pelbagai perkara dengan niat untuk mendapatkan dan mempercepatkan proses perceraian termasuk memutarbelitkan fakta kes dengan tujuan fitnah dan memburukkan dan menghina saya, suaminya sendiri," katanya. 


Sementara itu, Ezlynn berkata, Adam boleh meneruskan proses tuntutan nusyuz itu kerana itu adalah haknya. 

"Suka hati dia. Dia boleh cakap apa sahaja dan kita tengok sahaja nanti. Dia hendak kata saya abaikan dia, dia dahulu yang mengabaikan saya, perasaan saya dan peluang telah diberikan terlalu lama. 

"Apa-apa pun saya tenang dan lega, Alhamdulillah Allah permudahkan urusan saya hari ini," katanya.