Seorang wanita Argentina berusia 26 tahun ditahan selepas memotong kemaluan kekasihnya dengan gunting kebun, lapor Daily Mail.
Menurut media tempatan, Brenda Barattini, bekerja sebagai arkitek, menyerang mangsa berusia 40 tahun pada pagi Ahad lalu di kediaman mereka di Cordoba ketika mangsa sedang tidur.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital selepas kehilangan banyak darah, namun kini keadaannya dilaporkan stabil.
Polis kemudian menahan Barattini dan wanita itu mengaku melakukan perbuatan jenayah itu, lapor Los Andes.
Walaupun keadaan sebenar masih belum diketahui, namun polis tidak percaya bahawa Barattini tinggal di rumah mangsa sebelum melakukan serangan itu. Sebaliknya polis percaya Barattini menceroboh masuk ke rumah mangsa pada awal pagi sebelum menyerangnya.
Tidak jelas sama ada pegawai perubatan berjaya mencari alat kelamin mangsa yang terputus itu. Laporan juga tidak menjelaskan bagaimana pihak perkhidmatan kecemasan dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Polis kini sedang menyiasat motif Barattini melakukan serangan itu.