'Dia rapatkan motor dan rentap beg sandang saya' - Gadis cedera ketika cuba diragut suspek


Seorang gadis berusia 20 tahun terjatuh dari motosikal ketika cuba diragut seorang lelaki yang juga menggunakan kenderaan yang sama, lapor Harian Metro. 

Dalam kejadian jam 8.30 malam semalam di Jalan Empila, Kota Samarahan, mangsa, Aishah, 20, cedera dan menerima dua jahitan di kening kanan, selain mengalami luka di tangan dan bibirnya bengkak.  

Mangsa yang bekerja di sebuah butik berkata, ketika kejadian itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis bekerja di sebuah butik di Taman Desa Ilmu. 

Setibanya di Jalan Empila, datang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang seorang lelaki yang tiba-tiba menggunakan lampu tinggi  sehingga pantulan cahaya pada cermin sisi menyebabkan mangsa silau. 

"Lelaki itu kemudian merapat di sebelah kanan sebelum tiba-tiba merentap beg sandang menyebabkan saya tidak dapat mengawal motosikal lalu terjatuh," katanya. 

Bagaimanapun suspek gagal merampas beg sandang mangsa yang teguh dan tidak terputus ketika direntap. Suspek terus melarikan diri dna meninggalkan mangsa yang cedera. 

Aishah bersyukur dia bernasib baik kerana ketika dalam keadaan menahan kesakitan, ada satu pasangan suami isteri yang kebetulan lalu di kawasan itu, berhenti menghulurkan bantuan. 

"Saya dihantar pulang oleh pasangan itu kerana tidak dapat menunggang motosikal sebelum sepupu menghantar saya ke Hospital Jantung Kota Samarahan untuk rawatan susulan. 


"Saya sudah membuat laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa untuk mengesan lelaki terbabit," katanya.

Aishah juga turut memuat naik kejadian itu di Facebook dan viral di media sosial.