'Aku dah kabor pasal produk ni dulu, tapi degil tak nak dengar' - Denda RM25K atau penjara 3 tahun jika jual produk ini


Iklan produk-produk kesihatan di sepanjang lebuh raya semakin menjadi-jadi bagi mempengaruhi pengguna yang saban hari menggunakan lebuh raya berkenaan. Tetapi sejauh mana selamatnya produk berkenaan?

Terbaru dalam pendedahan Khairul Yoi, seorang pengedar produk ubat kurus di Melaka ini diberikan surat amaran kerana memiliki produk Lemonex yang disyaki tidak berdaftar. 

Surat amaran yang dikeluarkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, bertarikh 31 Januari 2018 menyatakan pemeriksaan mendapati pengedar terbabit memiliki produk Lemonex yang disyaki tidak berdaftar. 

"Penjualan, pengimportan atau pemilikan bukan keluaran berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan produk kosmetik yang tidak bernotifikasi adalah satu pelanggaran di bawah Peraturan 7 dan Peraturan 18A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. 

"Ketidakpatuhan terhadap Peraturan ini boleh menyebabkan pihak berkenaan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama, kata kenyataan dalam surat tersebut. 



Sementara itu, Khairul Yoi di laman Facebooknya berkata, beliau pernah berkongsi tentang produk tersebut sebelum ini, tetapi ramai yang tidak mengendahkannya. 

"Ini kisah seller Lemonex yang malang. Aku dah khabar tentang Lemonex dulu, tak nak dengar, degil. Haa, kan dah kena. 

"Disebabkan pihak Lemonex tidak membuat kenyataan awam bagi menyatakan produk mereka sepatutnya tidak boleh dijual kerana tidak berdaftar, maka seller, ejen, stokis yang mana terlibat dalam urusan jual beli Lemonex terkena tempias. 

"Denda RM25,000 bukannya sikit. Boleh guna duit itu untuk kahwin ,pergi berbulan madu di Korea, make love di Paris, beranak di London dan membesar di Malaysia Darul Kilo. 

"Cuba kau minta RM25,000 dari founder untuk bayar denda. Aku nak tengok dia bagi ke tidak. 

"Mana-aman seller atau ejen atau stokis yang masih menjual Lemonex, sila berhati-hati sebelum korang pula kena warning dengan KKM. Jangan pula kata 'Khairul Yoi kaki fitnah, pelingkup bisnes Melayu'," katanya.