'Betul ke 29 minggu? Saya terus ditahan wad' - Ibu lahir bayi besar tapak tangan (800 gram)


Selalu orang nasihatkan, bila mengandung jangan buat kerja-kerja berat, memanjat dan sebagainya bagi menjaga kandungan. Suami pula digalakkan mengambil alih peranan dalam menguruskan rumah tangga sehinggalah isteri selamat bersalin dan berpantang sepenuhnya. 

Berkongsi pengalamannya sendiri, Puan Fizah Sobri menasihatkan golongan ibu-ibu mengandung perlu berhati-hati dan tidak terlalu lasak dalam menjalankan aktiviti seharian. Beliau pernah mengalami keguguran di awal perkahwinan, namun Alhamdulillah diberi rezeki untuk mengandung buat kali kedua. 

Bagaimanapun, berlaku perkara yang tidak diingini pada awal kehamilannya dan hampir keguguran lagi. Mujur kandungannya selamat dan beliau selamat melahirkan bayi lelaki seberat 800 gram. Semoga si kecil membesar dengan kuat dan sihat. Semoga bermanfaat! 

PENGAJARAN untuk ibu-ibu mengandung terutamanya yang baru pertama kali mengandung. 
  1. Jangan terlalu gagah memandu, tak kira manual atau auto. 
  2. Jangan rajin sangat kemas rumah kalau tidak larat. Biarkan saja rumah seperti tongkang pecah (hahaha!).
  3. Tak payah memasak, suruh saja suami masak atau tapau. 
  4. Bakal-bakal bapa jangan sedap-sedap saja rasa isteri awak itu kuat. Walaupun dulu isteri awak itu budak sukan. 
Pengalaman yang lalu cukup memberikan kesan. Satu masa dulu, boleh kata saya agak aktif. Selepas kahwin, pernah keguguran sekali sebab berlari turun tangga tingkat empat. Gagah, kan? (Hahaha!)

Selepas enam bulan, Alhamdulillah saya disahkan mengandung lagi dan saya teruja. Tetapi kali ini turun atau naik tangga perlahan-lahan. Haruu! Setengah jam kalau nak turun atau naik. (Hahaha)

Masa ini part time study PJJ di UTHM. Gagah juga! Hujung minggu drive ulang alik pergi kelas, Kulai - Batu Pahat. Saya memandu seorang diri okey. Masa ini kandungan saya berusia 11 minggu. Saya rasa saya masih gagah tetapi tidak. Saya mengalami pendarahan semasa berada dalam kelas. Suami nak tak nak, kenalah datang ambil isteri dia, kan. 

Keesokannya, saya dimasukkan ke wad. Jalan sudah buka, saya punyalah sedih meratap nasib apabila doktor memaklumkan saya keguguran. Keesokannya pula bila diperiksa, jalan dah tutup. Masa itu punyalah gembira. 

Saya kemudian menjalani kehidupan sebagai ibu mengandung dengan gembira. Oh ya, saya tangguhkan sem sebab tak nak memandu jauh. Taubat. 

Kandungan berusia 29 minggu, saya teruja nak mengetahui sama ada saya mengandungkan bayi lelaki atau perempuan. Konon nak surprise tetapi saya tak boleh tahan. Maka bermulalah episod-episod pelik. Mungkin kesan dari pendarahan di awal kandungan. 

Bila scan, baby kecil. Doktor pun pelik, betul ke 29 minggu? Tetapi saya memang pasti. Rujuk klinik kesihatan tempat selalu buat checkup. Follow up seminggu, baby memang kecil dari usia. Terus dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. Ingatkan dirujuk begitu saja, sekali saya terus ditahan wad. 

Uri tidak melekat dengan betul di dinding rahim. Dua minggu saya tinggal di wad dengan uniform berwarna merah jambu. Jiran sebelah katil sudah bertukar lebih dari 20 orang. Saya kental. 

Kandungan berusia 32 minggu. Bila scan, aliran darah terbalik. Terus buat pembedahan kecemasan. 

17 Jun 2017, selamat melahirkan seorang bayi lelaki dengan berat 800 gram pada jam 2.40 petang.





Anak saya sebesar tapak tangan. Saya macam berkira-kira, boleh ke si kecil ini survive? Lama saya mengumpul kekuatan, sehingga saya jumpa satu group yang sangat-sangat membantu, Baby Premature Malaysia - NICU. 

Tahniah dan terima kasih kepada admin dan ahli group. Saya tak pernah post apa-apa tentang anak saya. Bukan sebab saya nak mengelak. Tetapi kalau saya post, orang cuma akan kata 'kasihannya', 'Sabar ye', 'Banyak-banyak bersabar'. 

Huh! Seriously kata-kata itu membuatkan saya lebih sedih. Mana tidaknya, saya baru nak mengumpul kekuatan, tetapi orang lain pula kata kasihan, kasihan dan kasihan. Agak-agak apa yang awak rasa? Annoying. Maaflah kalau ada yang terasa. 

Berbalik kepada anak, jantina lelaki, berat 800 gram, usia 32 minggu dua hari dilahirkan pada 17 Jun 2017, diberi nama Muhammad Hadi bin Mohamad Hanis, berada di NICU selama 51 hari. Dua bulan scn a3. Naik semula NICU selama seminggu seminggu sebab rsv virus. Turun scn sebulan. Berat drop. Transfer scn a3. Sampai genap umur tujuh bulan, discharged. 




Wehooo! Tujuh bulan duduk di wad. maksudnya tujuh bulan anak tak balik rumah. Langsung dan akhirnya, dia kembali walaupun dengan oksigen. Dua minggu di rumah, banyak perubahan positif. Harap-harap bila checkup sekali lagi dah boleh off oksigen. InshaAllah, Aminnnn. 

Last but not least. Jagalah kandungan anda. 

Sumber: Fizah Sobri