Berang selalu diperli dan didesak menceraikan isteri, seorang lelaki hilang kesabaran lalu memukul kepala isterinya dengan tukul besi beberapa kali sehingga hilang nyawa.
Suspek, Saadi Muksin, 47, yang tidak bekerja ditahan pihak polis kerana disyaki membunuh isterinya, Lely Lismayati, 39, di rumah mereka di Bekasi Utara, dalam kejadian Khamis lalu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Metro Bekasi Kota Wijdonaro berkata, pasangan berkenaan selalu bertengkar kerana Saadi malas mencari kerja dan suspek juga mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain selepas wanita itu kerap mendesak dia menceraikannya.
Difahamkan, pasangan berkenaan telah berkahwin selama 17 tahun dan mempunyai dua cahaya mata. Malangnya dalam tempoh itu, Saadi tidak pernah bekerja menyebabkan Lely terpaksa bekerja di sebuah kilang tayar untuk menyara kehidupan keluarganya.
"Suspek tersinggung kerana mangsa sering menyindirnya yang tidak mempunyai pekerjaan.
"Kebelakangan ini, pasangan berkenaan dilaporkan semakin kerap bertengkar. Namun kali ini suspek hilang kesabaran selepas mangsa meminta wang dan menariknya menyebabkan mereka terjatuh.
"Berang dengan tindakan mangsa, suspek terus mengambil tukul besi di lantai dan memukul kepala mangsa beberapa kali sehingga mati.
"Jiran yang mendengar jeritan mangsa meminta pertolongan segera menghubungi pihak polis. Malangnya mangsa telah mati dalam keadaan berlumuran darah ketika polis tiba di lokasi kejadian," katanya.
Suspek terus melarikan diri selepas kejadian itu. Beberapa jam selepas itu, suspek tampil ke balai polis untuk menyerah diri.
Dalam satu sidang media di ibu pejabat polis Bekasi kelmarin, Saadi mengaku dia menyesal dengan perbuatannya selain terkenang nasib dua anaknya yang masih bersekolah.
"Menyesal pak. Saya khilaf, emosi. Saya terfikir mengenai nasib dua anak saya," katanya.
Suspek akan didakwa mengikut akta keganasan dalam rumah tangga dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama 15 tahun.