'Lebih malang, semalaman para pelajar tahfiz tidur dengan bau masam dan busuk dari lauk basi ini'


Sedih apabila masalah seperti ini masih lagi berlaku dan inilah sikap segelintir masyarakat kita pada hari ini yang masih menganggap pusat tahfiz ini pusat menghabiskan sisa makanan. Makanan tak habis, hantar ke tahfiz atau surau. Sudahnya,  makanan menjadi basi dan para pelajar tahfiz pula yang kena membuang, membasuh periuk dan bekas-bekas makanan itu. 

Kata orang, kalau hendak memberi sedekah makanan kepada orang lain, berilah kaupan pertama dari makanan kita. Bukannya lebihan atau sisa makanan yang tidak dapat dihabiskan dari majlis/kenduri. 

Para pelajar tahfiz itu juga adalah manusia, yang mahu menjamah makanan-makanan yang baik, bukannya menghabiskan sisa makanan orang. Hentikanlah perbuatan yang tidak bertanggungjawab seperti ini. Bayangkan jika anak-anak anda berada di tempat mereka, mahukah dilayani seperti itu? 

"Bersedekah makanan, biarlah makanan yang masih bagus dan boleh dimakan. Bukan disedekahkan makanan lebihan yang hampir basi atau busuk.

"Baca ini dan ambil iktibar. Kenduri oh kenduri, hakikat apa yang diraikan? Ini luahan dari seorang Mudir Tahfiz," kata pengendali laman Facebook Kasih Till Jannah.

BUKANLAH menyombong ataupun besar diri, tetapi inilah hakikatnya mengapa saya sering menolak lauk lebihan kenduri bila dihantar ke madrasah. Lauk lebihan kenduri yang sayang untuk dibuang akhirnya dihantar ke madrasah dengan alasan tidak mahu membazir. Tetapi sebenarnya ketika dihantar lauk ini sudahpun separuh basi. Hantar jam 6 petang, jam 7 petang sudah basi dan berbuih.

Lebih malang lagi semalaman pelajar tidur dengan bau masam dan busuk dari lauk-pauk basi ini. Malah pagi-pagi buta lagi para pelajar tahfiz terpaksa menyelesaikan pula masalah 'tuan rumah kenduri' semalam iaitu buang lauk pauk. Di mana kami nak buang lauk yang berperiuk-periuk ini?

Hampir setiap minggu inilah rutin harian kami. Bukan tidak menolak tetapi ketika hantar tuan lauk begitu memaksa. Akhirnya kami mengalah dan inilah yang kami tanggung setiap kali. 




Saya pernah menyebut dalam kuliah-kuliah saya tentang perkara ini berkali-kali. Namun ada suara-suara yang mengatakan saya sombong dan sebagainya. 

Sering saya katakan kalau sayangkan pelajar tahfiz atau betul-betul mahu berkongsi makanan dengan kami, hantarlah pada waktu tengah hari ketika lauk pauk masih panas dan menyelerakan. Kalau sibuk, kami boleh datang ambil. Tetapi kalau takut makanan tidak cukup, tak perlu risaukan kami. Di madrasah pun setiap hari kami masak. 

Alhamdulillah anak-anak tahfiz sentiasa cukup makan. Kadang-kadang ada juga orang yang upah katering dua tiga malam berturut-turut untuk menjamu anak-anak syurga ini. tidak kurang juga yang sering menghantar beras, minyak, telur, ayam, kambing dan macam-macam bahan mentah untuk kegunaan dapur madrasah. 

Alhamdulillah ahli-ahli Quran sentiasa dijaga rezeki mereka oleh Allah. Oleh sebab itulah kami selalu mengelak lauk lebihan kenduri. 

Apa pun, saya ucapkan terima kasih kerana tuan rumah masih lagi ingat kami. Walaupun di hujung-hujung hari. Kami juga mengucapkan terima kasih sebab bersusah payah menghantar lauk pauk walaupun setelah penat seharian melayan tetamu. Terima kasih sebab tidak lupakan kami. 

Kami sentiasa mendoakan agar tuan-tuan dimurahkan rezeki dan diberkati. Bagi pengantin, semoga berbahagia sehingga ke akhir hayat. Aminn. 

Mudir Tahfiz (tak perlulah disebut ye).