'Krisis di Perlis, contoh kenapa anak muda meluat dengan UMNO' - Mas Ermieyati


Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin kesal dengan krisis perebutan jawatan Menteri Besar Perlis sehingga menyebab Raja Perlis murka dengan tindakan 9 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih rakyat bertindak memboikot majlis pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka itu melalui Twitternya berkata, kepimpinan UMNO di Perlis sepatutnya bersepakat, bukannya menimbulkan masalah sehingga mendatangkan kesan buruk kepada parti.

"Negeri sebesar daerah, tapi ada DUN, MB, Ahli Parlimen di kalangan UMNO dan ada Raja. Perlis sepatutnya sepakat.

"Tapi disebabkan sikap berebut kuasa yang tak pernah habis, Perlis sekadar negeri contoh mengapa anak muda meluat dengan UMNO," tulisnya.

Terdahulu, 9 ADUN UMNO Perlis bertindak memboikot majlis pelantikan dan angkat sumpah Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar bagi pengal kedua. Hanya 3 ADUN Pakatan Harapan dan dua ADUN PAS yang hadir.

Azlan mengangkat sumpah jawatan di depan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Tidak berapa lama selepas itu, Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menuntut Azlan dipecat sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta. Shahidan juga telah memaklumkan perkara itu kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin.

Menurut Shahidan, pelantikan itu sepatutnya dibuat kerana Azlan tidak mendapat sokongan majoriti. Keputusan pemecatan Azlan akan diputuskan oleh UMNO pusat esok.

Difahamkan, sebelum ini Shahidan dan BN negeri mengemukakan adik Shahidan iaitu Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar. Malangnya pencalonan itu ditolak istana Arau dan Raja Perlis mahu mengekalkan ADUN Bintong itu sebagai MB untuk penggal kedua.

Cara Shahidan bertutur di dalam sidang media khas yang diadakannya untuk membantah pelantikan Azlan sebagai MB jelas sekali menunjukkan yang beliau tidak berasa hairan atau gentar bahawa Raja akan murka dengan tindak tanduknya itu.

Malah beliau dalam nada yang agak keras mengherdik:"Kalau hendak lantik MB tidak ikut mandat parti yang menang dua pertiga lebih baik jangan buat pilihan raya. Lantik saja siapa yang suka sebagai MB."

Dan apabila menjawab soalan wartawan apakah tindakannya ini akan mencetus kemurkaan Raja, Shahidan jawab: "Apa itu murka?" Bagi tahu saya apa yang dimaksudkan dengan murka. Kami bertanding pilihan raya kami berhak menentukan siapa yang patut jadi menteri besar kami."

"Saya merayu kepada Raja supaya menghormati perlembagaan dan tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri. Saya juga merayu kepada PM supaya campur tangan dalam urusan seperti ini," tegas Shahidan.


Sumber: mStar Online, Astro Awani, MalaysiaKini