'Najib akan disiasat jika ada bukti melakukan kesalahan' - Mahathir


Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau bersedia mengheret Presiden UMNO ke muka pengadilan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh petang ini. 

Bagaimanapun, tindakan itu dilakukan sekiranya Najib didapati melakukan kesalahan, bukannya kerana mahu membalas dendam terhadap bekas Perdana Menteri Keenam itu. 

"Seperti saya jelaskan semalam kami tidak akan membalas dendam. Kami tidak akan menghukum orang kerana mereka tidak sependapat dengan kami. Bagaimanapun, saya akan pastikan undang-undang akan dikuatkuasakan sepenuhnya di negara ini.

"Sebelum ini Malaysia umpama tiada undang-undang... orang ramai boleh ditangkap kerana mengeluarkan kenyataan membuat laporan mengenai penyelewengan kepada kerajaan.

"Sekarang kita akan mengikut apa yang ditetapkan undang-undang sepenuhnya. Jika undang mengatakan Najib melakukan perbuatan menyalahi undang-undang, dia akan berdepan tindakan undang-undang dan hukuman ditetapkan," katanya memetik laporan Berita Harian.

Menggulas mengenai kenyataan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali yang mahu kekal sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan PH, Mahathir menyifatkan kenyataan Apandi itu mengarut. 

"Saya fikir apa yang pendakwa awam atau peguam negara kata hari ini berkaitan menasihatkan kerajaan sebagai bullshit," katanya tanpa menyebut nama Apandi secara langsung.

Sebelum ini Apandi berkata, tiada sebarang bukti diperoleh daripada mana-mana siasatan agensi penguat kuasa undang-undang yang menunjukkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) digelapkan.