'Barang kemas untuk diperlihatkan saja, Rosmah tak beli satu pun' - Peguam


Kenyataan mendakwa Datin Seri Rosmah Mansor membeli puluhan barang kemas dari tukang emas Lubnan, Global Royalty Trading SAL menggunakan wang curi adalah tidak benar dan tidak berasas.

Peguamnya, Datuk K Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent dalam satu kenyataan berkata barang kemas itu tidak dibeli sebaliknya hanya diperlihatkan kepada Rosmah.

Justeru, mereka menyangkal laporan sebelum ini mengatakan anak guam mereka membeli barang perhiasan berharga jutaan ringgit itu menggunakan wang curi. 

"Bagi pihak Datin Seri Rosmah Mansor, kami merujuk kepada laporan media berhubung saman difailkan sebuah syarikat tukang emas dari Lubnan kepada anak guam kami.

"Kami ingin tekankan bahawa semua barang kemas itu dihantar kepada klien kami (Rosmah) untuk dilihat dan beliau tidak membeli satu pun barang kemas itu.

"Dakwaan tersebar mengatakan barang kemas itu telah dibeli, menggunakan duit curi pula adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

"Kami sebagai peguam kepada Rosmah perlu mengambil pendekatan untuk mempertahankan beliau," katanya menurut kenyataan itu. 


Baru-baru ini, nama isteri bekas Perdana Menteri itu hangat diperkatakan selepas syarikat tersebut menyaman beliau dan menuntut 44 barang kemas dipulangkan semula atau membayar ganti rugi hampir RM 60 juta.

Kerajaan pula dijangka memohon kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk mencelah dalam kes saman itu kerana berpendapat barang kemas itu milik negara kerana dibeli menggunakan wang curi. - Sinar Harian

BERITA BERKAITAN: