Kes HFMD meningkat, 10 buah taska diarahkan tutup


Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang mengarahkan 10 buah taska di negeri itu ditutup sejak minggu lalu berikutan peningkatan kes jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), lapor Bernama. 

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, 10 buah taska itu membabitkan masing-masing lima di Georgetown dan Butterworth dan kesemuanya diarahkan ditutup selama 10 hari. 

"Sejak awal tahun hingga 4 Julai, sebanyak 45 buah taska (termasuk 10 buah taska yang terkini) diarahkan tutup kerana HFMD. Penyakit itu meningkat sejak dua minggu lalu, maka kami mengambil langkah segera dengan membuat pemeriksaan di taska yang kanak-kanaknya dijangkiti penyakit itu. 

"Penutupan dibuat bagi memboleh pengusaha menjalankan kerja pembersih serta untuk memastikan kanak-kanak lain tidak dijangkiti HFMD daripada mereka yang telah dijangkiti," katanya. 

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, sebanyak 1,555 kes HFMD dicatatkan oleh JKN Pulau Pinang sepanjang tahun ini sehingga Khamis berbanding 1,050 bagi tempoh sama tahun lalu. 

"Bagi tahun 2018 sehingga kini sebanyak 53 buah taska, tadika, tabika, pra sekolah melaporkan kluster HFMD di premis mereka. Peningkatan banyak 381 peratus berbanding hanya 11 kluster dilaporkan pada tempoh yang sama pada tahun 2017," katanya. 

Penyakit HFMD adalah penyakit yang mudah berjangkit terutamanya pada kanak-kanak yang ditempatkan di pusat asuhan. 

Penyakit HFMD disebabkan oleh jangkitan virus khasnya dari Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) yang merebak secara kontak dengan liur, cecair lepuh dan najis pesakit. Kebiasaannya jangkitan adalah ringan dan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. 

Walaupun hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga sepuluh hari, namun jangkitan EV71 berisiko menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis. 

Orang ramai terutamanya pengusaha premis penjagaan kanak-kanak dan ibu bapa diingatkan sentiasa memastikan kebersihan premis dan peralatan yang digunakan kanak-kanak. 

Bagi anak-anak yang mempunyai tanda-tanda penyakit HFMD dinasihatkan tidak dihantar ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada mereka yang lain dan melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.