Mayat wanita dikerat dan disumbat dalam 2 bagasi


Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan mengerikan di mana badannya dikerat kepada beberapa bahagian sebelum diletakkan dalam dua bagasi di tebing Sungai Gombak, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam, lapor Harian Metro

Bagasi berkenaan ditemui oleh seorang lelaki yang sedang menyiram pokok dan ternampak kaki manusia terjulur keluar dari bagasi tersebut, pada jam 12 tengah hari, sebelum memaklumkan penemuan itu kepada polis. 

Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui sebuah lagi bagasi yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi beg pertama ditemui. 

Sebuah lagi bagasi juga ditemui di tebing bersebelahan dengan lokasi penemuan bagasi pertama, namun hanya mengandungi pakaian sahaja. 

Bagasi pertama mengandungi bahagian tangan, kaki dan kepala, manakala bagasi kedua pula mengandungi bahagian badan mangsa. 






Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada dua lelaki dan seorang wanita dipercayai gelandangan berusia 20-an dan 30-an untuk membantu siasatan. 

"Buat masa ini, belum dapat dipastikan sama ada anggota badan yang ditemui dalam kedua-dua bagasi berkenaan adalah daripada individu sama. Malah identiti dan jantina mayat berkenaan belum dapat dikenal pasti," katanya. 

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. 


Justeru, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.