Dr. Ainul Farahin Kamalruzzaman menyelar golongan perokok terutamanya bapa kepada anak-anak yang masih kecil yang masih lagi tegar dengan merokok. Dia merujuk kepada kes yang berlaku kepada dua orang bayi yang mendapatkan rawatan dengannya. Seorang bayi berusia 1 tahun 4 bulan dan berusia 9 bulan. Masing-masing mempunyai permasalahan yang sama, iaitu pernafasan laju dan dada berlekuk.
MALAM menghampiri jam 12, masih ada lagi beberapa kes yang menunggu untuk dipanggil. Aku panggil nama seorang pesakit sambil membaca chief complaint ni kertas triage: 'cough/fever x 1 day'
Masuk seorang ibu mendukung anak yang berusia 1 tahun 4 bulan. Comel budaknya tapi sayang, bila aku senyum kat budak tu, budak tu terus menangis. Mungkin muka aku tak cukup comel? Atau muka aku macam hantu Kak Limah yang menakutkan?
Known case of 'aku suka budak, budak tak suka aku'. Ok fine.
"Dia kenapa, mak?"
"Dia demam, batuk-batuk... "
"Berapa hari sudah?"
"Baru saja hari ini. Tapi teruk betul batuk, tidak pandai berhenti, tidak mahu tidur."
Aku perhati saja budak itu. Nafas berombak-ombak. Cepat-cepat aku selak baju beliau. Tu dia punya laju nafas dia. Lekuk-lekuk di dadanya pulak punyalah dalam. Kalau semut lalu nescaya terpeleot. Jadi sebelum semut lalu dan terpeleot, aku perlu buat sesuatu. Aku pun bagilah neb kat budak tu. Tahu tak neb itu apa? Neb itu singkatan untuk nekbat.
Sambil-sambil prepare neb, aku tanya-tanya lagi further history daripada emaknya.
"Mak, ada siapa-siapa merokok ke di rumah kamu? Atau ada siapa-siapa suka merokok dalam kereta?"
"Ada"
"Siapa?"
"Bapak dia"
(Haih... Mengeluh sekejap ak depan maknya)
"Bapak ada diluar? "
"Ada "
"Nanti saya nak jumpa dia"
Sambil melihat budak comel nombor 1 kena nekbat, aku sambung tengok kes lain. Panggil lagi satu kes. Masuklah ibu bersama anaknya berusia 9 bulan. Sekali lagi aku senyum kat budak comel nombor 2, dia bagi blank stare je. Ok fine.
Pendek cerita, kisah budak comel nombor 2 ini sebijik dengan budak comel nombor 1 kecuali yang nombor 2 ini tak demam. Nafas pun laju, semut pun ada risiko terpeleot di dadanya. Nafas pun bunyi-bunyi. Aku nekbat kan budak comel nombor 2. Tanya maknya, bapak perokok tegar.
"Nanti saya nak jumpa bapak dia ya."
Maka, bisinglah ruang asma tersebut dengan teriakan dua budak yang di'neb' sambil emak-emaknya struggle masing-masing nak pegang budak yang menggelepar menangis bagaikan diberi gas beracun. Tak paham lagi sebenarnya kenapa budak suka nangis time neb, tak selesa kut kan.
1 jam. 2 jam. Nekbat dah, sedut kahak dah, bagi oksigen dah. Namun budak-budak comel masih lagi berlekuk-lekuk. Aku pun refer doktor kanak-kanak untuk masuk wad. Selepas 2 jam, baru bapak-bapak masuk cari anak-anak.
"Encik bapak dia?" aku menyapa.
"Iya..."
"Encik, anak encik kemungkinan masuk wad malam ni, jangkitan paru-paru dia agak teruk, nafas laju sangat, perlukan oksigen. Salah satu punca jangkitan yang teruk macam ni berlaku adalah disebabkan anak encik terdedah kepada asap rokok atau habuk-habuk rokok yang melekat di langsir rumah, karpet, baju encik, kerusi kereta dan lain-lain.
“Saya nasihatkan encik untuk cuba kurangkan merokok dan kalau boleh berhenti terus. Kalau tak boleh sangat, jangan merokok dalam rumah dalam kereta, lepas merokok salin baju mandi baru main dengan anak. Tapi lebih baik kalau encik boleh berhenti untuk kebaikan anak."
1) Tahukah anda kanak-kanak yang terdedah kepada asap/habuk rokok di rumah berisiko mendapat jangkitan bronkiolitis dua kali lebih teruk dan 5x lebih tinggi risiko memerlukan bantuan mesin pernafasan (masuk tiub pernafasan). [kajian University of Liverpool]
2) Tahukah anda 20-30% perokok pasif (dia tak merokok tapi dia hidu asap rokok sebab contohnya suami/ayah merokok) mendapat kanser paru-paru dan 25-35% mendapat penyakit jantung. Ha tepuk!
3) Tahukah anda di kecemasan hospital, yang duk layan anak menangis masa neb tu majoritinya emak-emak, bapak main handphone tunggu kat luar. Dan bila masuk wad, mak-mak yang tunggu anak, bapak kalau tunggu, banyak yang kalau doktor tanya pasal anak semua tak tahu, esoknya tukar dah emaknya pula menjaga. Amboi, kamu yang merokok sampai paru-paru anak tak bagus, emak-emak yang menanggung sengsara.
4) Tahukah anda bapak-bapak sekalian, bahawasanya neb itu sebenarnya bukan nekbat? Apakah beza neb dan nekbat? Tanya la isteri anda.
5) Tahukah anda peribahasa 'sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan'? Sambungan peribahasa tu adalah 'sayang anak isteri, rokok tinggal-tinggalkan'.
Sumber: Ainul Farahin Kamalruzzaman